Tahun 2021 ialah tahun yang secara peribadinya adalah sangat tinja bagi aku. Berat badan naik macam nilai Bitcoin tetapi tidak pula menjunam turun seperti harga semasa. Mak meninggal kerana kanser dan aku mengalami tekanan mental kerana menjaga arwah sehingga hembusan nafas terakhir. Kesihatan juga agak teruk keran badam sudah menyerupai Baron Harkonnen dengan jantung menunjukkan bibit-bibit akan ditamatkan seperti Cowboy Bebop Netflix.

Mungkin ada diantara pembaca yang mempunyai tahun 2021 yang cemerlang. Aku ucapkan tahniah kepada anda semua kerana mampu melawan arus. Tetapi hakikatnya bagi majoriti 2021 hanyalah sekadar 2020 V 2.0 tetapi lebih teruk.

Death to 2021 (DT2021) ialah filem satira Netflix yang merupakan sambungan kepada Death to 2020. Tahun ini Charlie Brooker yang juga merupakan penulis siri Black Mirror tidak kembali dan digantikan pula oleh Ben Caudell yang merupakan penulis kepada siri Cunk on Britain, The 11 O’Clock Show dan Screenwipe. Bagi 99% pembaca, kesemua siri ini mungkin langsung tidak pernah anda tonton kerana hanya ditayangkan di UK. Tetapi aku boleh katakan The 11 O’Clock Show ialah siri kultus yang menghasilkan watak legenda seperti Ali G dan tempat Ricky Gervasi memulakan kerjaya TV beliau. Semasa zaman belajar di UK dahulu, siri ini banyak membentuk humor sarkasis yang aku ada sekarang.

Screenwipe pula ialah rancangan yang menjadi Charlie Brooker popular di UK kerana beliau mengkritik kesemua aspek industri TV, perfileman dan masyarakat tanpa belas kasihan. Kalau ada masa sila tonton beberapa episod Screenwipe yang dimuat naik secara haram di YouTube hari ini. Charlie Brooker adalah di tahap dewa dalam siri ini jika dibandingkan dengan Black Mirror.Dari Screenwipe siri tahun Charlie Brooker Year Wipe diterbitkan oleh BBC dengan Brooker melakukan rangkuman tahunan kesemua topik yang menjadi perbualan di UK sepanjang tahun.

Jadi kenapa mukadimah Sinema Sampah Sabtu kali ini lebih panjang berbanding majoriti artikel di Aksiz? Kerana aku tak faham bagaimana Ben Caudell yang mempunyai pedigri yang baik menghasilkan rancangan yang kelakar bersama Charlie Brooker boleh menghasilkan Death to 2021 yang sampah?

Kenapa aku katakan sampah? Pertama sekali tiada humor. Langsung tidak kelakar walaupun anda menonton dalam keadaan high sekalipun. Aku boleh akui aku sudah mencuba menonton dalam keadaan high kerana diberikan ubat oleh doktor yang mengandungi candu. Hugh Grant, Tracy Ullman, dan Cristin Milioti adalah tiga pelakon dalam filem parodi ini. Kesemuanya mempunyai bakat komedi yang tidak dapat dinafikan lagi (lebih-lebih-lebih lagi Ullman) tetapi watak yang dimainkan oleh tiga nama besar ini kesemuanya langsung tidak kelakar.

Seperti tahun lalu, watak fiksyen “ditemubual” oleh pengarah untuk memberikan pendapat mengenai berita-berita terhangat 2021. Insiden serangan Capitol 6 Januari, vaksinasi peringkat global, Kate dan Harry, Covid-19, perubahan iklim, Afganistan dan pop culture disentuh. Komentar yang diberikan oleh insan-insan yang ditemubual sepatutnya kelakar tetapi 99% daripadanya adalah membosankan ataupun lapuk.

Lapuk kerana kita sekarang hidup dalam dunia TikTik dan YouTube. Berita hanya 10 minit lalu telahpun diparodi pengguna kreatif 9 minit yang lalu. Then naturally we move on to the next hot topic to get our panties in a twist. Inilah masalah DT2021 kerana kesemua jenaka yang dipaparkan di skrin sudah aku dengari berpuluh kali beberapa bulan yang lalu. Ya Donald Trump jahat dan penyokong beliau yang menyerang Capital Hill adalah Taliban versi Amerika. Tetapi ini diulang beberapa kali dengan jenaka diminishing return.

Tracy Ullman mislanya memainkan watak Madison Madison, hos rancangan seakan Fox News yang pro sayap kanan. Menafikan vaksin, perubahan iklim dan keganasan penyokong Trump. Setiap kali beliau muncul aku terasa seperti mahu menonton kerana walaupun watak yang dimainkan fiskyen, insan kepala bangang yang dijadikan parodi ini wujud dalam bentuk Tucker Carlson. Tucker Carlson tidak kelakar dan versi parodi beliau juga tidak kelakar.

Satu-satunya watak yang kelakar secara konsisten ialah Gemma Nerrick lakonan Diane Morgan. Diane Morgan ialah pelakon yang memainkan watak Philomena Cunk dalam kesemua episod Screenwipe, Cunk on Britian dan Charlie Brooker Year Wipe. Gemma Nerrick dalam DT2021 hanyalah Philomena Cunk dengan nama berlainan. Mungkin Netflix tidak mendapat hak untuk menggunakan watak ini dari BBC. Setiap komen dari Diane Morgan adalah kelakar. Aku mempunyai teori Ben Caudell dapat menulis kandungan kelakar untuk Diane Morgan kerana beliau sudah mengenali watak ini sejak 2007 sedangkan watak lain hanya ditulis untuk DT2021.

Masalah utama DT2021 pada hemat aku ialah ia terlalu tertumpu kepada Amerika Syarikat. Charlie Brooker Year Wipe dan Screenwipe yang merupakan templat kepada Death To 2021 serta Death to 2020 membincangkan kesemua berita utama dunia. Dalam aku ketawa sampai menangis menonton Charlie Brooker Year Wipe, aku mempelajari perkara baharu mengenai dunia seperti politik dinastik Korea Utara, isu kemiskinan di Dhaka dan mengapa Eropah adalah benua yang barai. Kualiti penulisan DT2021 bukan sahaja tidak kelakar tetapi juga tidak mengembangkan minda seperti Charlie Brooker Year Wipe.

Usai menonton DT2021 aku terasa kosong dam marah sahaja. Kosong kerana tiada maklumat baharu mengapa insiden tertentu berlalu terjadi tahun lalu. Marah kerana insiden-insiden yang dibincangkan mengingatkan aku bahawa dunia ini diambang kehancuran. Dosa terbesar DT2021 ialah ia ingin menjadi the next Charlie Brooker Year Wipe tetapi tanpa hos dan penulis asal yang menjayakan kandungan asal. Jangan buang masa menonton DT2021. Lebih baik anda ke YouTube dan tonton kesemua episod Screenwipe atau Charlie Brooker Year Wipe seperti yang aku lampirkan di atas. Kenapa beli kasut ASADI kalau anda mampu membeli kasut ADIDAS.

Death to 2021 boleh ditonton di Netflix sekarang.

Sohor Kini