Semalam kami telah melaporkan yang Ghost of Tsushima telah terjual sebanyak 8 juta unit, membalas kepada laporan tersebut Jeff Ross iaitu pengarah Days Gone yang meninggalkan Bend Studio pada tahun 2020 mengatakan semasa beliau meninggalkan studio tersebut, Days Gone telah terjual sebanyak 8 juta unit, beliau juga mengatakan ia telah terjual sekurang-kurangnya 1 juta unit di PC.

Walaupun ia adalah satu jumlah yang baik, beliau mengatakan yang permainan tersebut masih dianggap sebagai satu kegagalan, tambahan lagi Sony tidak meminta permainan susulan untuknya sebaliknya Bend Studio sedang membangunkan IP baharu.

Berbeza dengan Ghost of Tsushima yang juga terjual dengan jumlah yang sama akan tetapi dianggap sebagai satu permainan yang sangat berjaya. Ini mungkin berkait dengan apa yang dikatakan oleh John Garvin iaitu pengarah bersama untuk Days Gone yang juga sudah meninggalkan Bend Studio yang mengatakan lebih ramai pemain membeli Days Gone semasa ia ditawarkan dengan harga promosi berbanding harga penuh.

Days Gone sudah dikeluarkan untuk PlayStation 4 dan boleh dimainkan secara keserasian belakang di PlayStation 5, ia juga sudah dikeluarkan untuk PC dan anda boleh baca ulasan kami di pautan ini; Days Gone Di PC – Versi Terbaik Untuk Permainan Yang Berulang.

Sohor Kini