Berita besar minggu ini ialah Elizebeth Holmes, pengasas syarikat Theranos didapati bersalah dalam 8 pertuduhan menipu pelabor ke dalam syarikat beliau. Syarikat yang hanya beberapa tahun yang lalu diberikan penilaian mencecah $6 bilion kerana dipercayai akan mengubah bagaimana ujian kesihatan dilakukan di dunia. Janji manis Theranos ialah pelbagai jenis penyakit dapat dikesan lebih awal dengan hanya mengambil sampel darah yang sedikit dengan mencucuk hujung jari dan bukanlah satu balang darah seperti yang dilakukan di hospital sekarang.

Kita sudah tahu Elizabeth Holmes bersalah berbohong tetapi bagaimana beliau dibenarkan berbohong dan taktik yang digunakan untuk menyorokkan kebenaran adalah cerita yang lebih menarik. The Inventor: Out for Blood in Silicon Valley bukanlah dokumentari baharu tetapi sudah lebih setahun ditayangkan di HBO GO. Jadi ada baiknya jika ia ditonton sekarang kerana ia mungkin dokumentari yang menarik untuk melihat bagaimana kegilaan mencari penyelesaian menggunakan teknologi canggih berjaya menipu insan-insan yang boleh dikategorikan sebagai tokoh bijak pandai dunia.

Dokumenteri diarahkan oleh Alex Gibney yang sudah cukup terkemuka kerana turut mengarahkan Enron : The Smartest Guys in The Room, Going Clear : Scientology & The Prison of Belief dan Taxi to The Darkside yang aku sudah sarankan anda semua tengok pada September tahun lalu. Tumpuan diberikan sepenuhnya kepada Elizabeth Holmes yang sejak dari kecil menyimpan hasrat untuk mengubah dunia. Selepas berjaya memasuki Universiti Stanford, beliau mendapat idea untuk mengubah bagaimana ujian kesihatan dilakukan di Hospital. Ia bukan sahaja mahal tetapi menakutkan orang ramai kerana banyaknya jumlah darah yang perlu diambil.

Idea beliau beberapa kali dikatakan mustahil oleh beberapa pensyarah di Stanford tetapi Holmes tidak mengenal erti menyerah kalah dan mustahil seperti Barney Stinson. Akhirnya seorang pensyarah bersetuju dengan idea beliau dan Theranos ditubuhkan semasa Holmes hanya berusia 19 tahun. Sejurus selepas itu Holmes berhenti daripada Stanford untuk memberikan tumpuan sepenuhnya kepada Theranos.

Berbekalkan idea yang boleh mengubah dunia dan kemampuan untuk meyakinkan tokoh seperti Henry Kissinger, Betsy Devos, James Mattis dan Robert Kraft untuk melakukan pelaburan ke dalam Theranos. Ratusan juta berjaya dikumpul dan Holmes cuba membuktikan perkara yang dianggap mustahil boleh menjadi realiti sekiranya kajian dilakukan dan dana mencukupi. Sebagai hanya sebilangan kecil wanita di dunia yang menjadi CEO syarikat yang ditubuhkan sendiri di Lembah Silikon, Holmes segera menjadi idola di dalam dunia teknologi yang didominasi lelaki.

Beberapa eksperiman awal gagal mencapai sasaran yang ditetapkan. Pekerja makmal mula berhadapan dengan isu bahawa impian tidak boleh melawan hukuman fizik dan hukum biologi. Kerana enggan berhadapan dengan kegagalan Holmes mula menipu, berahsia, tai chi dan mengelak dari menjawab soalan mengenai teknologi rahsia yang dibangunkan untuk merealisasikan impian yang dianggap mustahil.

Apa yang menjadi dokumentari ini menarik ialah pendedahan bagaimana Lembah Silikon berfungsi. Kemampuan untuk meyakinkan pelabur dalam majoriti situasi adalah lebih penting berbanding realiti. Sudah menjadi tradisi dalam sejarah Amerika Syarikat untuk berbohong sehingga berjaya. Thomas Edison memanipulasi media di Menlo Park sehinggalah mentol berfungsi berjaya dihasilkan selepas ribuan kali gagal. Steve Jobs pula meyakinkan kakitangan Apple dengan visi beliau menggunakan reality distortion field yang kini mencapai tahap legenda.

Jadi tidaklah mengejutkan Holmes meniru gaya Steve Jobs dengan harapan apa yang mampu dilakukan pengasas Apple boleh juga digunakan beliau. Sejauh manakah penipuan dilakukan oleh Holmes? Aku tak mahu bercerita dengan lebih panjang kerana kemampuan Holmes untuk sembang kencang sehingga memperdayakan pelabur adalah cukup menakjubkan. Malang bagi Holmes ialah beliau boleh meniru gaya Steve Jobs, tetapi tidak mempunyai nasib yang sama seperti Thomas Edison yang akhirnya menemui penyelesaian kepada masalah yang dihadapi.

Tonton The Inventor: Out for Blood in Silicon Valley untuk melihat bagaimana penipuan boleh memakan diri sehingga Holmes kini boleh dipenjara sehingga 20 tahun. Tonton juga untuk memahami mengapa orang yang pandai boleh dibohongi oleh individu yang tidak habis belajar berbekalkan imej yang dipinjam dari Steve Jobs semata-mata.

The Inventor: Out for Blood in Silicon Valley boleh ditonton menerusi HBO GO.

Sohor Kini