Pilihan Aksiz: 8 Permainan Terbaik Tahun 2021

Kita sudah memasuki tahun 2022 dan bersedia untuk meneruskan tahun yang baik bagi industri permainan video, terutama dengan banyak permainan-permainan yang menarik yang sepatutnya tiba pada tahun lepas telah ditunda ke tahun ini. Namun, sebelum kita melihat ke depan, terlebih dahulu kita lihat ke belakang dan kami ingin berkongsi permainan-permainan terbaik yang dikeluarkan pada tahun lepas.

Pilihan ini adalah berdasarkan permainan-permainan yang mempunyai ulasan di Aksiz, oleh itu ia tidak akan menyertakan beberapa permainan yang baik lain kerana kami tidak sempat mencubanya ataupun kami tidak mengeluarkan ulasan untuknya.

Oleh itu, berikut adalah 8 permainan terbaik bagi tahun lepas;

1. Deathloop

Deathloop adalah satu permainan yang membawa konsep roguelite menjadikan ia lebih menarik dan menjadi tarikan untuk semua pemain yang sebelum ini mungkin tidak meminati genre ini. Selain bentuk permainan yang menarik, ia juga mempunyai rekaan grafik, penceritaan dan lakonan suara yang berkualiti, menjadikan ia satu permainan yang hampir sempuran.

Ulasan penuh: Ulasan Deathloop – Xbox Game Studios Mengeluarkan Antara Permainan Terbaik Di PS5

2. Resident Evil Village

Resident Evil Village boleh dikatakan satu keputusan kepada pelbagai uji kaji yang dilakukan oleh Capcom di dalam memilih genre untuk siri permainan Resident Evil. Resident Evil Village berjaya menggabungkan elemen seram dan juga elemen aksi untuk menjadikan ia satu permainan yang memenuhi kehendak kedua-dua genre. Ia juga mempunyai satu penceritaan dan rekaan dunia serta watak yang menarik.

Ulasan penuh: Ulasan Resident Evil Village – Seram Dan Aneh, Tetapi Tidak Memuaskan

3. Ratchet & Clank: Rift Apart

Ratchet & Clank adalah antara siri popular yang menerima sentuhan teknologi yang di bawa oleh PlayStation 5. Ia benar-benar memperlihatkan potensi yang boleh dicapai oleh pembangun dengan membangunkan permainan untuk konsol generasi baharu. Rift Apart mempunyai grafik yang sangat cantik, ditambah lagi pemuatan yang segera memberi pengalaman yang baik. Ia juga mempunyai penceritaan yang baik dengan watak yang menarik.

Ulasan penuh: Ulasan Ratchet & Clank: Rift Apart – Pengembaraan Rentas Dimensi

4. Scarlet Nexus

Scarlet Nexus adalah satu kejutan oleh Bandai Namco pada tahun ini, pada awalnya ia sekadar dilihat-kan sebagai satu lagi permainan aksi pengembaraan oleh mereka akan tetapi ia menjadi antara permainan terbaik pernah dikeluarkan oleh Bandai Namco. Scarlet Nexus selain mempunyai permainan aksi yang baik, ia juga membawa satu penceritaan fiksyen sains yang menarik, dengan watak-watak yang diingati.

Ulasan penuh: Ulasan Scarlet Nexus – Satu Kejutan Oleh Bandai Namco

5. Marvel’s Guardians of the Galaxy

Selepas permainan Marvel’s Avengers yang mengecewakan, Square Enix telah hadir dengan satu permainan yang harus dipuji iaitu Marvel’s Guardians of the Galaxy. Walaupun perlu membawa satu siri yang mempunyai ramai watak akan tetapi Eidos Montreal berjaya menghasilkan satu permainan yang mempunyai penceritaan yang baik dengan setiap watak dikembangkan dengan baik. Aksi di dalam permainan ini juga menarik walaupun ada masa terasa mendatar.

Ulasan Penuh: Ulasan Marvel’s Guardians of The Galaxy – Percubaan Kedua Square Enix Yang Berjaya

6. Returnal

Seperti Deathloop, Returnal juga telah mengambil genre roguelite dan membawanya dengan gaya tersendiri menghasilkan satu permainan yang baik dan mencabar. Sesetengah bahagian permainan boleh dikatakan sebagai menghukum, akan tetapi kerana aksi yang menarik, ia memberi alasan kepada pemain untuk terus mencuba tanpa rasa jemu. Permainan ini juga berjaya menggunakan pelbagai teknologi PS5 seperti DualSense dengan baik.

Ulasan penuh: Ulasan Returnal – Mati Untuk Hidup, Hidup Untuk Mati

7. Nier Replicant ver.1.22474487139

Nier Replicant ver.1.22474487139 adalah satu permainan yang menerima sentuhan penambah-baikkan, ia adalah permainan asal Nier sebelum siri ini dipopularkan oleh Nier: Automata. Walaupun satu permainan yang sudah dikeluarkan 11 tahun yang lepas, akan tetapi ia masih mempunyai bentuk permainan yang masih lagi menarik dan penceritaan yang mendalam. Penambah-baikkan dari segi grafik, mempertingkatkan lagi kualiti permainan ini.

Ulasan penuh: Ulasan Nier Replicant ver.1.22 – Bukan Penambah-baikkan Menyeluruh, Tetapi Masih Satu Permainan Penting

8. Hitman 3

Penutup kepada siri trilogi ‘World of Assassination’ untuk Hitman adalah satu lagi permainan yang menarik untuk sandbox pembunuh upahan ini. Ia menyertakan pelbagai peringkat dan peralatan baharu walaupun secara keseluruhan ia masih lagi terasa satu permainan yang mengambil jalan yang selamat dan tidak terlalu berbeza dengan permainan-permainan sebelum ini.

Ulasan penuh: Ulasan Hitman 3 – Penutup Yang Baik Tetapi Terlalu Selamat

Permainan-permainan Lain

Selain 8 permainan di atas yang kami nyatakan, terdapat beberapa lagi permainan terbaik yang kami tidak sempat mengeluarkan ulasan ataupun tidak pernah mencubanya lagi. Namun, berdasarkan penerima oleh pemain-pemain lain, permainan-permainan ini layak untuk disertakan bersama di dalam senarai ini.

Antara permainan tersebut adalah Tales of Arise iaitu permainan JRPG oleh Bandai Namco yang membawa nafas baharu kepada siri permainan ini, It Takes Two yang membawa genre permainan koperasi ke satu tahap yang baharu dan ia juga memenangi permainan terbaik ketika The Game Awards 2021.

Selain itu terdapat juga kejutan dari Nintendo iaitu Metroid Dread yang menjadi pengisi sebelum Metroid Prime 4 yang masih tidak mempunyai tarikh pelancaran. Selain itu, Xbox Game Studios juga hadir dengan beberapa permainan yang baik seperti Psychonauts 2 dan Forza Horizon 5.

Tahniah kami ucapakan kepada pembangun-pembangun yang hadir dengan permainan-permainan yang baik ini dan kami sudah semestinya tidak sabar untuk tahun 2022.

Sohor Kini