Jika tidak dikawal, permainan yang mempunyai pembelian di dalam aplikasi akan menjadi satu masalah yang besar, ia akan menjadi lebih teruk jika tidak menyedari mengenainya. Itulah yang berlaku kepada seorang bapa di Singapura yang dikejutkan dengan hutang kad kredit sebanyak S$20 ribu (~RM61 ribu) kerana permainan Genshin Impact.

Berdasarkan laporan The Straits Times, dia telah menyambungkan kad kredit ke akaun Grab anaknya untuk penggunaan pengangkutan akan tetapi ia digunakan untuk membeli Genesis Crystal di dalam permainan Genshin Impact.

Genesis Crystal adalah mata wang di dalam permainan tersebut yang kemudiannya boleh digunakan untuk pelbagai perkara lain termasuk juga menikam watak-watak Genshin Impact.

Bapa tersebut mengatakan yang dia sudah menghubungi pihak bank akan tetapi oleh kerana ia adalah satu transaksi yang sah tiada apa yang boleh dilakukan oleh mereka, dengan kata lain dia terpaksa di membayarnya.

Masalah perbelanjaan anak-anak di dalam permainan video yang tidak disedari oleh ibu bapa adalah satu perkara yang malangnya sering berlaku. Ini adalah kerana walaupun ibu bapa mengawal penggunaan di peranti, akan tetapi sesetengah permainan mempunyai pelbagai cara lain untuk melakukan pembelian di dalam aplikasi.

Sebelum ini, App Annie telah melaporkan yang pemain permainan mudah alih telah berbelanja lebih RM7 bilion setiap minggu di App Store dan juga Play Store, oleh itu RM60 ribu oleh seorang individu adalah tidak mengejutkan.

Genshin Impact sudah dikeluarkan untuk PlayStation 4, PlayStation 5, PC, iOS dan Android. Ia adalah permainan percuma dan menyertakan pembelian di dalam aplikasi.

Sohor Kini