Pengarah untuk Valorant iaitu Joe Ziegler telah mengumumkan yang beliau telah melepaskan jawatan tersebut yang kini dipegang oleh Andy Ho. Namun walaupun meninggalkan pembangunan permainan tersebut beliau masih lagi bersama dengan Riot Games dan akan membangunkan satu permainan baharu yang masih lagi dirahsiakan.

Joe Ziegler menjadi Pengarah Valorant sejak tahun 2019 akan tetapi beliau telah terlibat dengan pembangunan Valorant dari awal lagi iaitu pada 8 tahun yang lepas, sebagai Pereka Kanan.

Beliau menyertai Riot Games pada tahun 2010 sebagai Pereka Permainan, di mana portfolio beliau sebelum itu adalah bersama dengan Killspace Entertainment, dan Pandemic Studio di bawah EA yang membangunkan permainan seperti The Saboteur yang bagi kami antara permainan perlu dihidupkan semula.

Andy Ho juga terlibat dengan Valorant sejak dari awal lagi, di mana dia menyertai Riot Games pada tahun 2009 sebagai Pereka, beliau meninggalkan Riot Games untuk menyertai Phoenix Labs pada tahun 2016 untuk membangunkan permainan Dauntless, tetapi kembali menyertai Riot Games dan juga Valorant pada tahun 2017, manakala Phoenix Labs kini menjadi hak milik penuh Garena.

Walaupun beralih ke projek baharu, Joe Ziegler mengatakan yang beliau masih lagi akan berhubung dengan pasukan Valorant dan akan terus menyokong mereka.

Valorant sudah dikeluarkan untuk PC. Ia adalah permainan percuma dan menyertakan pembelian di dalam aplikasi. Riot Games juga sebelum ini telah mengumumkan Valorant Mobile sedang dibangunkan.

Sohor Kini