Skip to main content

Bully 2 adalah satu permainan yang sering diura-urakan akan menjadi permainan seterusnya oleh Rockstar, pada tahun 2019 di katakan ia akan dilancarkan pada akhir tahun 2020, tetapi seperti kita sedia maklum, Rockstar Games tidak langsung berkongsi mengenainya.

Melalui beberapa laporan terbaru, Bully 2 iaitu permainan susulan untuk Bully yang dikeluarkan pada tahun 2006 telah dibangunkan sekitar tahun 2008 sehingga 2010 sebelum Rockstar Games membatalkan projek tersebut untuk memfokuskan kepada permainan seperti Max Payne 3 yang dikeluarkan pada tahun 2012 dan Red Dead Redemption pada tahun 2010.

Rockstar New England telah dilaporkan sebagai studio yang dipertanggungjawabkan untuk membangunkan Bully 2, Game Informer pada minggu lepas telah berkongsi temubual bersama dengan bekas-bekas pembangun Rockstar New England dan mereka mengesahkan Bully 2 dibangunkan oleh mereka.

Menurut mereka, Bully 2 dibangunkan untuk menjadi satu permainan yang setaraf dengan permainan besar seperti Grand Theft Auto, ia mempunyai pelbagai sistem baharu di dalam permainan. Walaupun permainan ini tidak menjadi kenyataan tetapi kebanyakan sistem tersebut digunakan oleh permainan-permainan lain.

Antara sistem yang dikatakan adalah ‘Honor System’ yang digunakan di dalam Red Dead Redemption 2. Di dalam Bully 2, apa sahaja yang dilakukan oleh Jimmy, baik ataupun buruk akan memberi kesan kepada bagaimana NPC akan berinteraksi dengannya.

Mereka juga mengatakan yang Bully 2 akan mempunyai peta yang lebih besar berbanding Bully akan tetapi ia masih lagi kecil jika ingin dibandingkan dengan GTA, namun mereka ingin membolehkan setiap bangunan boleh dimasuki oleh pemain secara biasa ataupun dengan memecah masuk.

Bagi membolehkan sistem ‘memecah masuk’ itu dilakukan, mereka juga memperkenalkan sistem pemecahan kaca yang lebih realistik, sistem ini diperlihatkan di dalam permainan Max Payne 3.

Mereka mengatakan sebelum Bully 2 dibatalkan kerana kebanyakan pembangun yang sedang membangunkan permainan tersebut telah dipindahkan untuk memberi fokus kepada Max Payne 3 serta Red Dead Redemption, ia masih memerlukan 2 hingga 3 tahun lagi sebelum dapat disiapkan.

Leave a Reply