Skip to main content

Tahun 2021 sepatutnya menjadi tahun pertama kita memasuki era generasi konsol yang baharu dengan PlayStation 5 dan juga Xbox Series kedua-duanya dilancarkan pada akhir tahun lepas. Saya telah bernasib baik untuk berjaya mendapatkan kedua-dua konsol dan melalui perkongsian ini, saya akan cuba memberi gambaran terkini mengenai keadaan semasa untuk kedua-dua konsol tersebut.

Boleh dikatakan sebagai kad laporan tahunan untuk mereka.

Kad laporan ini di bahagikan kepada beberapa bahagian, iaitu Stok, Permainan, Teknologi dan Komuniti, di mana, setiap bahagian ini akan saya akan berikan skor sendiri dari A ke D mengikut status bahagian tersebut untuk tahun ini. Hari ini saya akan kongsi-kan untuk Xbox Series, dan anda boleh baca kad laporan untuk PlayStation 5 di sini – Kad Laporan Tahun 2021 – PlayStation 5.

Kebolehdapatan – Skor D

Xbox Series tidak kira Xbox Series S ataupun Xbox Series X juga mempunyai masalah seperti mana-mana peralatan elektronik di luar sana, ia mempunyai masalah untuk memenuhi permintaan yang tinggi diakibatkan masalah rantaian bekalan. Boleh dikatakan walaupun sehingga sekarang, ia adalah mustahil untuk mendapatkan konsol yang tersedia di pasaran. Jika ada, berkemungkinan besar dengan harga yang lebih mahal ataupun konsol terpakai.

Masalah Xbox Series lebih terasa kerana ia tidak dilancarkan secara rasmi di Malaysia oleh itu agar sukar untuk mendapat informasi sama ada ada stok baharu yang tiba, ataupun bila seterusnya ia akan tiba. Pemain yang ingin dapatkannya perlu bergantung harap kepada penjual tidak rasmi yang sendiri akan mempunyai kesukaran untuk memenuhi segala permintaan.

Oleh itu, keadaan kebolehdapatan untuk Xbox Series adalah di tahap yang paling kurang baik lagi, walaupun sudah dikeluarkan sudah melebihi setahun. Bagi meningkatkan perkara ini, sudah semestinya bekalan perlu ditambah lagi akan tetapi pada masa yang sama Microsoft juga perlu merancang untuk menghadirkan diri dengan lebih menyeluruh di pasaran Malaysia.

Mereka sebelum ini sudah hadir dengan laman Facebook yang khusus untuk pasaran Asia Tenggara, akan tetapi selain berkongsi beberapa penulisan di dalam Bahasa Malaysia, tiada penambah-baikkan lain yang disertakan, yang bagi saya sangat mengecewakan.

Permainan – Skor B

Microsoft telah melakukan perbelanjaan besar untuk mendapatkan banyak studio-studio permainan video untuk menjadi sebahagian daripada Xbox Game Studios yang sasaran utama mereka sudah semestinya adalah menghasilkan permainan yang eksklusif untuk platform mereka. Ini termasuk juga studio yang boleh dikatakan sebagai antara terbesar di dalam industri ini iaitu Bethesda.

Sedikit mengecewakan kebanyakan permainan-permainan yang dirancangkan tidak lagi bersedia untuk dikeluarkan dan ada yang tertunda kerana pandemik Covid-19 masih lagi bermasalah. Walaupun begitu, permainan-permainan yang mereka keluarkan, boleh dikatakan adalah permainan yang sangat baik antaranya Microsoft Flight Simulator, Psychonauts 2, Age of Empires IV, Forza Horizon 5 dan sudah semestinya Halo Infinite yang walaupun tidak menjadi permainan dilancarkan bersama dengan konsol ia masih lagi permainan yang dinanti-nantikan tahun ini.

Kekurangan permainan dari pihak pertama, telah dibantu dengan satu perkhidmatan yang bagi saya adalah game changer untuk industri permainan video iaitu Xbox Game Pass. Walaupun tidak banyak permainan eksklusif, akan tetapi saya boleh katakan pada tahun ini saya meluangkan lebih banyak masa bermain permainan di Xbox Series X kerana mencuba pelbagai permainan yang ditawarkan di Xbox Game Pass termasuk juga permainan-permainan baharu.

Xbox Game Pass juga menjadi penyelesaian kepada peningkatan harga permainan baharu, melaluinya sudah pastinya pemain yang melanggan tidak perlu berbelanja tambahan untuk mendapatkan permainan-permainan baharu terutama yang dari Xbox Game Studios. Ia juga boleh dijadikan sebagai perantaraan bagi pemain yang ingin menunggu sehingga harga mungkin ditawarkan dengan lebih murah.

Teknologi – Skor: A

Berbanding DualSense, alat kawalan Xbox Series hanya membawa rekaan sedikit berbeza dengan alat kawalan generasi lepas, perkara yang baik mengenainya adalah ia mengekalkan sokongan untuk alat-alat kawalan lama tanpa memerlukan penggantian secara menyeluruh. Namun, ia masih mengecewakan kerana DualSense contohnya, benar-benar membawa pengalaman yang berbeza semasa bermain.

Itu sahaja perkara yang saya boleh katakan kekurangan bagi Xbox Series dari segi teknologi, selebihnya saya boleh katakan mereka mempunyai pelbagai fungsi yang menjadikan ia lebih berguna. Contohnya adalah Smart Delivery, yang menyelesaikan masalah hadir di PS5 mengenai fail simpanan, melalui teknologi ini, tidak kira fail simpana, pencapaian dan juga kemajuan akan di bawa ke generasi baharu dan boleh dikatakan tanpa sebarang tindakan dari pemain.

Seterusnya. satu lagi perkara yang Xbox masih lagi mendahului berbanding mana-mana konsol lain adalah sokongan keserasian belakang. Ia bukan sahaja memfokuskan kepada permainan dari generasi lepas iaitu Xbox One akan tetapi sehinggakan Xbox yang pertama. Mereka mengumumkan yang tidak lagi akan menambah permainan baharu untuk sokongan ini akan tetapi senarai yang sedia ada sudah cukup untuk memenuhi kehendak ramai pemain. Sokongan ini juga bukan sekadar membolehkan ia dimainkan, akan tetapi Microsoft juga telah menambah baik dengan sokongan seperti HDR serta resolusi yang lebih besar.

Seperti saya nyatakan di atas, saya sering mencuba beberapa permainan yang ditawarkan di Xbox Game Pass, oleh itu bertukar-tukar permainan adalah menjadi perkara biasa, ada masa saya juga sedang bermain permainan yang sedang di ulas. Oleh itu, fungsi Quick Resume sangat berguna kerana ia memastikan saya dapat meneruskan sesi permainan untuk beberapa permainan secara serentak.

Komuniti – Skor: B

Xbox tidak mempunyai sebarang sokongan rasmi di Malaysia, akan tetapi sejak saya menggunakannya untuk lebih setahun, saya tidak mempunyai masalah untuk mendapatkan mencari ataupun mendapatkan bantuan mengenai konsol ini. Komuniti yang hadir untuk Xbox mungkin tidak sebesar komuniti PlayStation ataupun PC di Malaysia, namun ia mencukupi.

Facebook Group seperti Xbox Series X/S Malaysia Gang secara sendirinya sudah mencukupi untuk mendapatkan bantuan. Terutama kerana tiadanya sokongan rasmi, bermakna tiadanya gedung digital rasmi di Malaysia untuk mendapatkan permainan-permainan ataupun melanggan perkhidmatan seperti Xbox Game Pass dan juga Xbox Live Gold, menjadikan ia sedikit sukar dan tidak boleh dilakukan secara terus.

Namun, dengan bantuan daripada komuniti lain, pengalaman saya melanggan mana-mana perkhidmatan ataupun membeli permainan boleh dikatakan lebih kurang sahaja dengan pengalaman saya membeli permainan di PlayStation ataupun PC.

Antara masalah yang saya hadapi akibat jumlah komuniti yang lebih kecil adalah bermain permainan dalam talian, terutama permainan berbayar seperti FIFA. Jika di PS5 ia kurang ‘meriah’ berbanding PS4, ini ditambah lagi untuk Xbox Series. Saya boleh katakan jika anda ingin bermain permainan seperti FIFA, Xbox Series bukanlah platform terbaik. Namun saya tidak mempunyai masalah untuk permainan percuma dan juga permainan yang menyokong fungsi rentas platform.

Masalah ini tidak terkesan kepada saya kerana saya lebih menyukai membeli permainan digital, akan tetapi bagi yang inginkan permainan fizikal, ia mungkin sedikit sukar berbanding mendapatkan permainan-permainan di platform lain dan ia lebih memfokuskan kepada permainan-permainan mercu sahaja dan ini secara langsungnya memberi kesan kepada pasaran permainan terpakai.

Keseluruhan – Skor: B

Seperti PlayStation 5, Xbox Series juga telah membawa pemain ke era baharu di dalam permainan video, dan bagi Xbox Series ia adalah sesuatu yang sudah dimulakan sebelum hadirnya konsol ini lagi. Fungsi-fungsi yang mereka sertakan adalah sesuatu yang diusahakan dari konsol-konsol lepas lagi yang lebih disempurnakan melalui Xbox Series. Fokus utama Microsoft juga berbeza jika ingin dibandingkan dengan PlayStation dan Nintendo, sama ada ia berjaya ataupun tidak kita hanya boleh nantikan.

Seperti rungutan sejak pelancaran Xbox One lagi, Microsoft masih tidak menawarkan konsol ini secara rasmi di Malaysia. Ia akan memberi masalah di dalam pembelian konsol, permainan dan juga melanggan perkhidmatan-perkhidmatan mereka. Namun, hadirnya komuniti yang walaupun tidak besar, masih cukup untuk membantu dan memastikan pengalaman yang lebih baik, walaupun bukan secara rasmi.

Kekurangan teknologi di alat kawalan digantikan dengan pelbagai fungsi berguna yang lain seperti Smart Delivery, Quick Resume yang sangat berguna walaupun tanpa disedari oleh pemain. Sokongan keserasian belakang juga memastikan permainan-permainan lama yang anda miliki tidak terbazir, ini ditambah lagi Microsoft juga menambah-baik permainan-permainan tersebut.

Bagi tahun ini, permainan dari Xbox Game Studios mungkin tidak banyak, akan tetapi apa yang dilancarkan boleh dikatakan sebagai penanda kualiti permainan yang akan hadir daripada mereka. Selain itu, ia juga mempunyai perkhidmatan yang bagi saya adalah sesuatu yang benar-benar membawa pemain ke generasi baharu iaitu Xbox Game Pass yang membolehkan pemain mencuba pelbagai permainan dengan satu bayaran bulanan sahaja.

Xbox Series sudah bermula dengan baik untuk tahun pertama ini, akan tetapi ia masih memerlukan lebih banyak peningkatan terutama dari segi kebolehdapatan dan juga permainan-permainan dari studio mereka. Selepas berbelanja besar, keputusan perlu hadir dengan segera agar tidak ketinggalan. Tahun 2022 adalah satu tahun yang menarik untuk Xbox Series untuk melihat apa yang akan ditawarkan oleh mereka.

Sumber Gambar: Microsoft dan Billy Freeman

Leave a Reply