Tahun 2021 sepatutnya menjadi tahun pertama kita memasuki era generasi konsol yang baharu dengan PlayStation 5 dan juga Xbox Series kedua-duanya dilancarkan pada akhir tahun lepas. Saya telah bernasib baik untuk berjaya mendapatkan kedua-dua konsol dan melalui perkongsian ini, saya akan cuba memberi gambaran terkini mengenai keadaan semasa untuk kedua-dua konsol tersebut.
Boleh dikatakan sebagai kad laporan tahunan untuk mereka.
Kad laporan ini di bahagikan kepada beberapa bahagian, iaitu Stok, Permainan, Teknologi dan Komuniti, di mana, setiap bahagian ini akan saya akan berikan skor sendiri dari A ke D mengikut status bahagian tersebut untuk tahun ini. Hari ini saya akan kongsi-kan untuk PlayStation 5, anda boleh bacak untuk Xbox Series di pautan ini – Kad Laporan Tahun 2021 – Xbox Series.
Kebolehdapatan – Skor: D
Walaupun sudah memasuki satu tahun yang penuh pelancaran untuk PlayStation 5 akan tetapi boleh dikatakan mustahil untuk melihat konsol PlayStation 5 ditawarkan secara terbuka di kedai-kedai permainan video ataupun kedai Sony sendiri. Jika adapun adalah di tempat-tempat seperti Plaza Lowyat yang menjualnya dengan harga jauh lebih mahal berbanding harga dicadangkan.
Nasihat saya, jangan sesekali dapatkannya dengan cara ini.
Satu-satunya perkara yang positif saya boleh katakan adalah hampir setiap bulan, bekalan baharu akan disediakan dengan setiap pengedar rasmi akan menerimanya untuk dijual. Namun, kebanyakan kedai hanya menghadkan konsol tersebut kepada yang sudah berada di senarai menunggu dari tahun lepas lagi dan hampir mustahil untuk didapatkan kepada yang baru merancang untuk membelinya.
Benar, ini mungkin boleh disalahkan kepada scalper akan tetapi bagi saya jumlahnya adalah kecil dan masalah sebenar sudah semestinya masalah rantaian bekalan yang mengganggu bekalan komponen, selain itu pandemik Covid-19 masih lagi satu masalah pada tahun ini yang juga mengganggu kelancaran produksi konsol.
Oleh itu, buat masa ini stok ataupun bekalan untuk PlayStation 5 masih lagi rendah berbanding permintaan dan walaupun agak mustahil untuk mendapatkannya bagi pembeli baharu akan tetapi sekurang-kurangnya setiap bulan akan sentiasa ada pengguna baharu.
Permainan – Skor: B
PlayStation 5 pada tahun ini telah menerima pelbagai permainan, dan saya boleh katakan jika anda membeli konsol ini, tidak akan mempunyai masalah “tiada permainan”. Jika bercakap mengenai permainan eksklusif, tahun ini, ia telah menerima permainan seperti Demon’s Soul, Deathloop, Ratchet & Clank: Rift Apart, Returnal dan Marvel’s Spider-man: Miles Morales.
Selain itu, terdapat juga beberapa permainan yang dikeluarkan khusus untuk PlayStation 5 yang membawa kelebihan tersendiri seperti Final Fantasy VII Remake Intergrade dan Ghost of Tsushima Director’s Cut.
Namun, saya tidak boleh menutup mata untuk beberapa permainan yang telah ditunda dan tidak tiba pada tahun ini seperti dua permainan besar oleh PlayStation Studios iaitu Horizon Forbidden West dan juga God of War Ragnarok. Satu bahagian positifnya, kita akan mempunyai satu tahun yang baik pada tahun depan.
Selain permainan, saya juga ingin menyentuh mengenai harga dan peralihan ke ‘harga generasi baharu’ masih lagi satu perkara yang akan dirasai oleh kebanyakan pemain. Sebelum ini harga permainan RM249 sudah dikatakan mahal, kini ia mencecah RM299 menjadikan ia lebih sukar untuk didapatkan.
Kos naik taraf juga masih tidak menentu, dengan Sony mengumumkan yang Horizon Fobidden West adalah permainan terakhir yang akan menerima naik taraf percuma. Perkara ini juga memberi masalah seperti penawaran Marvel’s Spider-man, yang tidak boleh menerima naik taraf walaupun secara berbayar melainkan ia didapatkan bersama dengan Miles Morales.
Jika perkara ini dilakukan dengan lebih konsisten, ia akan menjadi lebih mudah untuk difahami oleh pengguna. Sesuatu yang saya jangkakan akan menjadi lebih baik pada tahun 2022.
Teknologi – Skor: B
Antara perkara yang mengejutkan berbanding jangkaan awal saya adalah teknologi yang hadir melalui DualSense, pada awalnya saya merasakan ia akan menjadi fungsi yang hanya diguna pakai oleh permainan-permainan oleh PlayStation sendiri sahaja, akan tetapi ia tampaknya diguna pakai oleh kebanyakan permainan walaupun secara ringkas sahaja bagi tahun ini.
Sudah semestinya permainan dari PlayStation Studios menggunakan dengan lebih menyeluruh akan tetapi berdasarkan apa yang diperlihatkan buat masa ini, DualSense mempunyai potensi untuk menjadi satu alat kawalan yang akan memberikan pengalaman bermain yang lebih baik.
Teknologi utama yang saya sangat suka mengenai konsol generasi terkini sudah semestinya adalah penggunaan SSD, saya sudah tidak lagi mempunyai sebarang rungutan mengenai skrin pemuatan yang terlalu lama. Bahkan, apabila saya bermain permainan di Nintendo Switch contohnya, ia terasa sangat menjengkelkan lebih lagi berbanding sebelum ini.
Bagi grafik pula, ia adalah seperti dijangkakan akan tetapi kebanyakan permainan masih lagi dibangunkan bukan sahaja untuk PS5 tetapi juga untuk konsol generasi sebelum. Ke hadapan, dengan pembangun beralih ke konsol generasi terkini sahaja, kita mungkin akan dapat melihat peningkatan grafik yang lebih jelas.
Seperti permasalahan kekeliruan naik taraf, PlayStation 5 juga mempunyai masalah dari segi kelangsungan sesi permainan dari PS4 ke PS5, kebanyakan permainan boleh menggunakan kemajuan yang sama akan tetapi ia sedikit leceh di mana pemain perlu memasang terlebih dahulu versi PS4, membuat pemindahan dan memasang pula versi PS5. Ia adalah langkah-langkah yang tidaklah rumit tetapi jika permainan yang mempunyai saiz pemasangan yang besar, ia akan menjadi perkara menjengkelkan.
Komuniti – Skor: A
Bermula dari PlayStation 3, dan diperkuatkan lagi dengan kehadiran PlayStation 4, komuniti PlayStation dengan senangnya boleh dikatakan sebagai komuniti terbesar di kalangan pemain. Tidak kira di laman media sosial yang mana, ia adalah mudah untuk mencari pendapat, pertolongan dan juga sekadar berhubung dengan pemain-pemain lain yang mempunyai konsol yang sama.
Ini secara langsung memudahkan pemain untuk membeli permainan, termasuk juga permainan terpakai kerana terdapat ramai pemain yang akan menyediakannya. Ini ditambah lagi, Sony dan PlayStation mempunyai sokongan rasmi di Malaysia dan ia memudahkan urusan jual beli dan juga menyelesaikan isu waranti. Ia diteruskan lagi untuk PlayStation 5, walaupun masih ramai yang tidak berpuas hati kerana masih sukar untuk mendapatkan konsol akan tetapi yang sudah ada sudah cukup untuk memeriahkan komuniti ini.
Bagi komuniti permainan dalam talian pula, saya boleh katakan ia tidak sebaik seperti PlayStation 4 buat masa ini, tetapi sudah mencukupi untuk menjadikan pengalaman bermain tidak terlalu terjejas. Contohnya, FIFA 22, pada awalnya saya sering bermain versi PS4 kerana ia lebih mudah untuk mencari lawan, akan tetapi bermula bulan ini, saya sepenuhnya bermain versi PS5 dan tidak mempunyai sebarang masalah.
Ia masih lagi bergantung kepada waktu anda bermain, dan juga ada masa kualiti sambungan internet adalah kurang baik berkemungkinan kerana terpaksa mencari pemain yang lebih jauh kerana kekurangan pemain yang berdekatan. Ia masih boleh dipertingkatkan lagi dengan lebih banyak PS5 di tangan pemain tetapi buat masa ini ia sudah mencukupi.
Keseluruhan – Skor: B
PlayStation 5 telah membawa satu era baharu di dalam permainan video, terutama memberi akses kepada lebih ramai pemain untuk mendapatkan kualiti permainan yang terbaik, tanpa perlu berbelanja besar untuk membina satu PC. Ia juga mempunyai pelbagai potensi dengan teknologi-teknologi yang disertakan. Penggunaan SSD walaupun nampak satu perkara yang ringkas, dan ia juga hadir dengan kekurangan saiz storan yang kecil akan tetapi sudah memberikan pengalaman bermain yang jauh lebih baik.
Kesediaan stok berbanding permintaan masih jauh berbeza yang mengakibatkan ia boleh dikatakan sebagai mustahil untuk mendapatkan PS5 tanpa perlu berbelanja lebih dari sepatutnya, namun oleh kerana ini adalah masalah yang berlaku untuk hampir setiap komponen elektronik di setiap negara, ia sesuatu yang tidak dapat dielakkan lagi. Dengan ada yang mengatakan ia akan terus sukar pada tahun hadapan kita hanya mampu berharap sahaja buat masa ini.
Harga naik taraf dan juga bagaimana proses peralihan dari PS4 ke PS5 juga tidak berlaku dengan baik, ia masih sukar untuk menggunakan fail simpanan yang sama, harga juga masih tidak menentu terutama apabila bercakap mengenai kos naik taraf. Memasuki tahun 2022, bagi kos naik taraf ia mungkin akan menjadi lebih baik, sekurang-kurangnya lebih konsisten manakala teknologi di sebalik fail simpanan adalah sesuatu yang sudah terbina, jadi ia akan terus berkekalan melainkan Sony berjaya menambah-baiknya.
Oleh itu, boleh dikatakan walaupun PlayStation 5 baru sahaja memasuki satu tahun penuh, ia sudah memperlihatkan pelbagai kelebihan yang hadir, akan tetapi beberapa masalah yang hadir, dan sesetengahnya bukan juga sesuatu yang boleh diperbetulkan oleh Sony sedikit mengecewakan. Namun, tahun 2022 sudah semestinya tahun yang menarik untuk konsol ini.