Pada tahun 2018, Riot Games telah disaman oleh sekumpulan pekerja yang mendakwa terdapat pelbagai kes gangguan seksual berlaku di Riot Games yang tidak diambil tindakan oleh syarikat. Perkara ini telah dilaporkan secara lanjut oleh Kotaku pada tahun tersebut.

Minggu ini, Riot Games telah dilaporkan telah bersetuju untuk menyelesaikan kes saman tersebut dengan membayar pampasan sebanyak $100 juta (~RM418 juta) di mana $80 juta akan dibahagikan kepada semua pekerja, bekas pekerja dan juga pekerja kontrak yang bersama dengan syarikat tersebut bermula November 2014 sehingga sekarang.

Selebihnya akan digunakan untuk bayaran guaman dan juga perbelanjaan lain.

Pada awalnya, Riot Games bersetuju untuk membayar $10 juta akan tetapi Badan Keadilan Pekerjaan California mengatakan yang mereka sepatutnya mendapat sehingga $400 juta.

Bersama dengan persetujuan ini, Riot Games juga mengumumkan yang akan memastikan ia menjadi satu tempat pekerjaan yang lebih baik termasuk juga melibatkan pihak ketiga untuk pemantauan.

Riot Games adalah studio penerbit dan pembangunan permainan video yang mengeluarkan permainan seperti League of Legends, dan Legends of Runeterra. Ia adalah anak syarikat kepada Tencent.

Sohor Kini