Pengulas Terkemuka John Madden Meninggal Dunia

Pengulas American Football terkemua John Madden meninggal dunia pagi ini pada usia 85 tahun. Beliau meminjamkan nama beliau untuk siri permainan popular Madden NFL sejak 1988 yang sehingga kini telah terjual lebih 200 juta unit. Tiada sebab kematian diumumkan setakat ini.

Madden memulakan kerjaya sebagai jurulatih pasukan NFL Oakland Raiders. Beliau berjaya memenangi Super Bowl sekali pada tahun 1976 sebelum bersara dan menjadi pengulas sukan American Football pada tahun 1979. Suara beliau amat sinonim dengan sukan ini seperti mana Martin Tyler dengan bola sepak. Oleh sebab itu apabila EA membangunkan permainan American Football pertama mereka, nama John Madden digunakan untuk memberikan ia kredibiliti.

Walaupun Madden telah bersara dari mengulas sejak 2009, nama beliau masih lagi digunakan dalam permainan yang dikeluarkan oleh EA sehingga sekarang. Walaupun di Malaysia liga NFL tidak begitu popular tetapi harus kami katakan Madden NFL 2002 ialah penyebab mengapa kami menjadi peminatnya sehingga sekarang.

Sohor Kini