Selepas penerimaan yang mengecewakan untuk Marvel’s Avengers, Square Enix mendapat peluang kedua untuk hadir dengan satu lagi permainan berdasarkan IP tersebut iaitu Marvel’s Guardians of the Galaxy. Permainan ini dibangunkan oleh Eidos Montreal yang merupakan pembangun untuk siri Deus Ex serta Shadow of the Tomb Raider menggantikan Crystal Dynamics yang membangunkan Marvel’s Avengers pada waktu itu.

Berbeza dengan nasib Crystal Dynamics, Eidos Montreal berjaya hadir dengan satu permainan yang baik dan menggunakan segala kekuatan yang hadir melalui kepelbagai watak serta dunia dari siri Guardian of the Galaxy. Namun, mereka mungkin hadir dengan satu permainan yang terlalu selamat dan merasakan banyak bahagian tidak dikembangkan di mana bagi saya terasa sedikit perkara yang merugikan.

Di dalam permainan ini, pemain akan mengawal Peter Quill ataupun Star-Lord akan tetapi penceritaan juga akan memfokuskan kepada empat lagi watak di dalam Guardians of the Galaxy iaitu Gamora, Drax, Rocket dan juga Groot. Bagi yang sudah menonton filem Guardians of the Galaxy, perwatakan untuk setiap mereka adalah lebih kurang sama, dan berkemungkinan juga sama dengan apa yang di bawakan di dalam komik.

Pada awalnya, Guardians of the Galaxy telah memasuki Quarantine Zone iaitu satu kawasan simpanan pelbagai barangan oleh Nova Corps untuk menangkap raksasa untuk Lady Hellbender. Namun, seperti dijangkakan dengan kumpulan penyelamat galaksi ini, ia akan menambah masalah berbanding berjaya apa yang disasarkan. Kali ini, masalah yang dilakukan oleh mereka adalah di luar jangkaan, apabila mereka telah mengeluarkan satu entiti misteri yang lebih bermasalah.

Penceritaan juga menjadi lebih menarik kerana ia juga dikaitkan dengan watak-watak lain yang mempunyai hubungan dengan Peter Quill dan juga watak-watak di dalam Guardians. Setiap watak seperti Gamora, Drax, Rocket dan Groot diberi peluang untuk berkembang dengan secara sendiri dan tidak sekadar memfokuskan kepada Peter Quill sahaja membantu lagi penceritaan untuk menjadi lebih baik dan ia juga membantu untuk mengembangkan perhubungan di antara mereka.

Skala penceritaan juga besar seperti yang menjadi kebiasaan bagi penceritaan untuk Guardians of the Galaxy. Pemain akan menemui pelbagai watak, pelbagai lore, pelbagai planet yang menjadikan setiap cabang penceritaan sangat menarik.

Permainan ini juga sering menggunakan pilihan dialog untuk menentukan perhubungan dengan sesuatu watak dan ia juga akan serba sedikit memberi kesan kepada perjalanan penceritaan dan misi. Namun, ia bukanlah dilakukan dengan terlalu besar sehinggakan “memaksa” untuk pemain memuat semula untuk mencubanya sekali lagi. Ia sekadar ada untuk memberi sedikit kelainan kepada pengalaman pemain.

Pembawaan watak juga dilakukan dengan baik, lakonan suara untuk setiap ahli Guardians, watak-watak sampingan lain adalah sangat berkualiti walaupun rekaan watak mungkin nampak seDdikit generik akan tetapi bagi saya sudah cukup baik untuk menghasilkan watak yang boleh diingatkan. Tambahan lagi, pemain akan berjumpa dengan pelbagai watak yang menarik seperti Lady Hellbender, Cosmo the Spacedog dan ramai lagi.

Satu perkara yang tidak boleh dikatakan sebagai generik adalah rekaan pelbagai dunia yang pemain akan mengembara seperti Knowhere. Setiap kawasan ini, walaupun mungkin akan dilawati hanya sekali masih lagi dihasilkan dengan unik menjadikan tiada kawasan yang terasa sama. Sedikit perkara yang mengecewakan adalah setiap kawasan ini adalah linear dan mempunyai sedikit sahaja kawasan untuk pemain mengembara untuk mencari kawasan rahsia yang akan memberikan collectible termasuk juga kostum berlainan untuk Guardians.

Dengan Eidos Montreal mempunyai pengalaman membangunkan permainan seperti Shadow of the Tomb Raider, dan juga jika ingin dibandingkan dengan permainan Marvel’s Spider-man oleh Insomniac Games, terasa sedikit mengecewakan pemain tidak diberikan peluang untuk mengembara dengan lebih terbuka di dunia Guardians of the Galaxy yang sudah semestinya akan menjadikan permainan ini lebih menarik.

Walaupun begitu, pengembaraan yang disediakan walaupun terhad masih lagi menarik dan dapat mengawal watak seperti Peter Quill secara sendiri sudah menarik terutama kerana sistem pertempuran yang baik.

Seperti bahagian penceritaan, semasa pertempuran juga pemain akan mengawal watak Peter Quill sahaja yang mempunyai dua jenis serangan iaitu menembak menggunakan senjata elemen dan juga serangan dekat, melee. Senjata elemen Peter Quill sangat penting bukan sahaja semasa bertempur tetapi juga di dalam pengembaraan. Ia mempunyai elemen seperti ais dan api, di mana ais boleh digunakan untuk membekukan penjahat semasa bertempur ataupun menghasilkan glasier untuk pengembaraan.

Selain itu, Peter Quill juga beberapa kebolehan seperti ‘Fan the Hammer’ yang akan menembak secara terus ataupun ‘Eye of the Hurricane’ yang akan menembak ke kawasan sekeliling. Walaupun pemain tidak dapat mengawal watak-watak lain, akan tetapi Peter Quill masih lagi boleh mengarahkan mereka semua untuk melakukan kebolehan tertentu seperti mengarah Groot untuk menyekat pergerakan seseorang penjahat.

Kepelbagaian serangan oleh Peter Quill dan juga boleh menggunakan kebolehan watak-watak lain menjadikan pertempuran adalah menarik, akan tetapi sedikit mengecewakan kerana selepas satu ketika, pertempuran terasa sama. Gaya serangan yang sama boleh dilakukan setiap situasi, walaupun ada beberapa penjahat yang memerlukan serangan elemen berbeza, akan tetapi ia tidak membawa kelainan yang besar. Ini secara langsungnya menyebabkan pertempuran terasa mendatar.

Pertempuran ‘besar’ seperti melawan raksasa tertentu ataupun bos penjahat juga terasa ringkas, dan tidak memerlukan sebarang strategi berbeza selain daripada saiz penjahat tersebut biasanya adalah jauh lebih besar berbanding ahli Guardians. Secara keseluruhannya, pertempuran masih lagi seronok dengan kepelbagaian kebolehan yang boleh digunakan dan permainan ini tidak terlalu panjang ia tidak menjadi satu perkara yang membosankan.

Saya bermain Marvel’s Guardians of the Galaxy di Xbox Series X dan ia memberi prestasi yang cukup baik, tidak kira anda memilih untuk dapatkan resolusi 4K/30FPS ataupun 1080p/60FPS kedua-duanya memberikan kualiti grafik yang memuaskan oleh itu, seperti biasa saya akan cadangkan untuk mendapatkan kelancaran yang lebih tinggi terutama kerana permainan ini mempunyai aksi yang rancak.

Tiada masalah kelancaran yang berlaku sepanjang saya bermain akan tetapi terdapat beberapa masalah lain seperti watak tersangkut di satu tempat dan memerlukan muat semula, watak NPC di dalam adegan yang rosak ataupun tekstur yang tidak di paparkan dengan sempurna. Permainan ini telah menerima beberapa kemaskini tetapi saya masih menjumpai masalah-masalah kecil ini sehingga sekarang. Ia menjengkelkan akan tetapi tidak sangat mengganggu pengalaman sepenuhnya.

Kesimpulannya, Marvel’s Guardians of the Galaxy adalah satu cubaan yang jauh lebih baik oleh Square Enix berbanding Marvel’s Avengers. Mereka lebih tahu apa yang ingin disampaikan dan menyampaikan-nya dengan sangat baik. Watak-watak di dalam Guardians of the Galaxy yang pelbagai berjaya dilakukan dengan baik dengan setiap watak diberi peluang yang baik untuk berkembang secara sendiri.

Sedikit mengecewakan kerana dunia yang direka baik oleh mereka tidak dikembangkan lagi untuk memberi peluang kepada pemain mengembara dan melakukan pelbagai aktiviti lain selain daripada melakukan tugasan untuk penceritaan sahaja. Selain itu, pertempuran juga terasa berulang akan tetapi tidak menjadi membosankan kerana keseluruhan permainan ini boleh dihabiskan kurang daripada 20 jam sesi bermain.

Marvel's Guardians of the Galaxy
Marvel's Guardians of the Galaxy adalah satu permainan yang baik, berjaya menggunakan kelebihan yang hadir melalui penceritaan dan perwatakan yang pelbagai.
Positif
Penceritaan Skala Besar Yang Menarik
Kepelbagaian Watak Yang Dilakukan Dengan Baik
Pertempuran Ringkas Tetapi Menarik
Negatif
Terlalu Linear Walaupun Dengan Rekaan Dunia Yang Pelbagai
Pertempuran Akan Terasa Berulang
8

Sohor Kini