Samsung adalah antara jenama pertama yang membawa pilihan baharu kepada pengguna telefon pintar melalui penawaran Galaxy Z Fold dan Galaxy Z Flip iaitu telefon dengan skrin yang boleh lipat menjadikan telefon yang menawarkan skrin bersaiz besar tetapi dengan rekaan bentuk yang lebih kecil. Ia sudah semestinya perkara yang baik bagi pengguna yang memerlukan pilihan skrin yang lebih besar tetapi tidak menyukai telefon besar, ini termasuk juga untuk pemain permainan mudah alih.

Sejak bulan lepas, kami sudah diberi peluang untuk mencuba sendiri Samsung Galaxy Z Fold3 5G, iaitu model terbaru untuk model ini. Ia diumumkan pada bulan Ogos lepas dan ditawarkan dengan harga RM6699 untuk storan 128GB dan RM7099 untuk storan 256GB.

Berikut adalah spesifikasi ringkas untuk Samsung Galaxy Z Fold3 5G;

  • Skrin:
    • Depan – 6.2″, Dynamic AMOLED, 120Hz, 2260 x 832
    • Dalam – 7.6″ Dynamic AMOLED, 120Hz, 2208 x 1768
  • Cipset: Qualcomm Snapdragon 888 (5G)
  • Ram: 12GB RAM
  • Storan: 256GB
  • Kapasiti Bateri: 4400mAH
  • Pengecasan Pantas: 25W

Untuk bacaan dan juga maklumat lanjut mengenai peranti ini anda boleh baca artikel pengumuman yang kami kongsi sebelum ini – Samsung Mengumumkan Galaxy Z Fold3 Dan Z Flip3 Secara Rasmi – Snapdragon 888, Skrin 120Hz Dan 5G.

Dengan penawaran yang unik dari segi saiz skrin, Samsung Galaxy Z Fold3 sudah semestinya menjadi antara tarikan untuk peminat-peminat permainan mudah alih, oleh itu saya sudah menguji peranti ini untuk bermain beberapa permainan mudah alih. Seperti biasa, saya akan kongsi-kan pengalaman umum, dan juga pengalaman berdasarkan permainan-permainan tertentu iaitu Genshin Impact, PUBG New State, Magic: The Gathering, Pokemon Unite dan Fire Emblem Heroes.

Pengalaman Umum

Melalui perkongsian saya sebelum ini mengenai Pengalaman Bermain Permainan Mudah Alih Di Galaxy Tab S7 FE, saya telah mengatakan yang tablet memberi pengalaman yang berbeza berbanding telefon pintar untuk bermain permainan video, manakala Galaxy Z Fold3 pula membawa perkara yang baik dari telefon pintar dan juga perkara yang baik dari tablet iaitu memberi paparan yang lebih luas dengan peranti yang mesra kocek. Bagi saya saiz paparan untuk Fold3 adalah saiz yang sangat baik untuk permainan mudah alih.

Ia lebih memberi ruang kepada paparan permainan dan apabila bermain yang memerlukan kawalan berterusan seperti permainan PUBG Mobile, ia tidak sangat mengganggu dan jari jemari tidak menghalang aksi yang sedang berlaku. Selain itu, ia juga menggunakan antara paparan terbaik oleh Samsung dengan panel AMOLED yang bagi saya adalah sangat berkualiti meningkatkan lagi pengalaman bermain.

Selain itu, skrin juga menyokong kadar segar semula 120Hz, namun tidak banyak permainan yang menyokongnya, kebanyakan permainan utama di pasaran tidak menyokong kadar kelancaran ini oleh itu ia hanya adalah untuk penggunaan biasa sahaja, namun ia adalah sesuatu yang baik untuk ada, agar ia menjadi future-proof. Kedua-dua skrin mempunyai kualiti yang sama akan tetapi skrin bahagian depan bukanlah untuk bermain permainan mudah alih. Saya akan kongsikan lanjut melalui percubaan saya bermain Fire Emblem Heroes.

Oleh kerana ia adalah skrin yang boleh lipat, bahagian lipatan tersebut akan mempunyai kesan yang pada awalnya sangat menganggu pengalaman saya melihatnya. Namun, setelah menggunakan untuk satu jangka masa yang lama, ia tidak sangat ‘jelas’ dan tidak mengganggu seperti awal penggunaan.

Satu lagi perkara yang mengecewakan mengenai Samsung Galaxy Z Fold3 adalah kapasiti bateri yang disertakan iaitu 4400mAH sahaja, yang lebih kecil jika ingin dibandingkan dengan Galaxy S21 Ultra. Oleh kerana semasa bermain permainan mudah alih, saya akan menggunakan skrin dalaman, ia akan menggunakan bateri yang lebih banyak dan ditambah lagi dengan sokongan kadar segar semula yang lebih tinggi memberi ketahanan bateri yang sederhana sahaja. Namun, ia sekurang-kurangnya mempunyai pengecasan pantas 25W yang akan mengambil 1 jam 20 minit untuk pengecasan penuh dari 0%.

Walaupun Galaxy Z Fold3 terasa agak tebal apabila ditutup, ia adalah terasa sangat selesa untuk dipegang apabila dibuka, oleh kerana ini adalah cara utama untuk bermain permainan mudah alih, ia sangat memberi pengalaman yang baik. Tambahan lagi dengan berat sekadar 271g sahaja, ia sangat selesa untuk dipegang termasuk juga dengan satu tangan sahaja walaupun buka satu yang saya galakkan.

Genshin Impact

Jika dibandingkan dengan peranti-peranti Android yang saya cuba sebelum ini, saya boleh katakan yang Genshin Impact dimainkan di Galaxy Z Fold3 memberikan pengalaman yang terbaik. Bukan sahaja kerana saiz skrin yang baik akan tetapi kerana saya juga boleh ‘memaksa’ untuk memainkan permainan ini dengan tetapan tertinggi termasuk juga kadar kelancaran tanpa sebarang masalah yang besar.

Saya menggunakan tetapan tertinggi ini untuk melakukan pelbagai aktiviti seperti mengembara di kawasan-kawasan Liyue ataupun Inazuma, bertempur di dalam pelbagai domain serta melawan Stormterror Dvalin atau La Signora tanpa sebarang masalah walaupun dengan pelbagai partikel kuasa yang terpapar. Ada masa kadar kelancaran terganggu tetapi tidak sangat memberi kesan kepada keseluruhan sesi permainan.

Menggunakan tetapan ini, ia menggunakan 30% bateri untuk sesi selama sejam, yang bagi saya adalah sedikit tinggi oleh itu, jika anda ingin menjimatkan sedikit bateri mungkin boleh mengurangkan sedikit tetapan. Namun, jika bateri bukan satu masalah, tetapan tertinggi adalah pilihan terbaik.

Kepanasan peranti juga saya boleh katakan tidak mempunyai masalah yang besar. Ia terasa sedikit panas apabila sesi yang lama terutama di bahagian gril pembesar suara, namun ia tidak menjadi masalah sehinggakan menyebabkan saya berhenti bermain dan saya juga merasakan ia akan berkurangnya jika menggunakan kerangka.

PUBG: New State

Sebagai permainan battle royale, PUBG: New State juga memerlukan kualiti paparan yang baik untuk lebih memudahkan sesi permainan dan juga meningkatkan kualiti permainan, dan dengan panel yang baik di Galaxy Z Fold3 ini, ia bukanlah satu masalah. Tambahan lagi, saya juga boleh menggunakan tetapan tertinggi iaitu Ultra untuk grafik dan Max untuk kadar kelancaran.

Sepanjang saya bermain, tidak kira kawasan apa yang dilawati, saya tidak menyedari sebarangan pengurangan kadar kelancaran, ada masa kualiti tekstur sangat rendah akan tetapi saya merasakan ia adalah masalah permainan berbanding peranti. Oleh itu, saya boleh katakan yang telefon ini dapat menggerakkan permainan ini dengan baik sekali.

Menggunakan tetapan di atas, ia menggunakan lebih kurang 25% bateri untuk sesi permainan selama sejam, yang bagi saya berpatutan akan tetapi mungkin boleh jadi lebih baik jika Samsung menggunakan bateri yang berkapasiti lebih besar. Kepanasan juga sama seperti Genshin Impact, selepas satu sesi permainan yang lama, ia terasa sedikit panas di bahagian tetapi.

Magic the Gathering Arena

Magic the Gathering Arena adalah versi digital untuk permainan kad popular ini, ia tidak mempunyai sebarang tetapan grafik akan tetapi seperti Legends of Runeterra, ia juga mempunyai kesan kuasa yang sangat pelbagai dan semasa sesi percubaan saya di telefon ini, tidak kira jenis animasi ataupun kejadian semasa permainan ia tidak memberi sebarang tanda yang prestasi akan bermasalah.

Manakala saiz skrin yang mencukupi pula memudahkan lagi untuk melihat kad-kad serta kuasa mereka tanpa perlu hover untuk membacanya. Saya sangat menyukai pengalaman bermain dan menjadikan Fold3 sebagai peranti utama untuk bermain permainan kad sejak menerimanya.

Bagi tetapan tersedia, ia menggunakan lebih kurang 12% sahaja bateri untuk sesi bermain selama sejam, selain itu ia juga tidak terasa panas dan mungkin sedikit rasa suam apabila mencecah sesi permainan melebihi sejam.

Pokemon Unite

Satu lagi permainan yang benar-benar mendapat kelebihan daripada skrin yang lebih besar adalah Pokemon Unite, semasa bermain saya boleh melihat segala aksi dan kejadian yang belaku tanpa terasa terganggu dengan jari sendiri. Kualiti paparan juga membantu untuk memperlihatkan Pokemon-Pokemon serta kesan kuasa yang sangat menyerlah.

Saya boleh menggunakan tetapan yang tertinggi untuk Pokemon Unite dan tidak bermasalah untuk mendapatkan kelancaran yang stabil. Di dalam permainan ia memperlihatkan 59FPS, akan tetapi oleh kerana ia tidak naik ataupun turun, saya boleh katakan ia adalah kadar yang ditetapkan.

Bagi tetapan ini, ia menggunakan lebih kurang 15% bateri untuk sesi permainan selama sejam dan selain itu ia juga tidak terasa panas semasa bermain walaupun untuk sesi yang lama.

Fire Emblem Heroes

Fire Emblem Heroes bukanlah permainan yang memerlukan grafik yang tinggi, akan tetapi saya memilih permainan ini untuk memperlihatkan sesi permainan menggunakan kedua-dua skrin di Galaxy Z Fold3. Saya boleh katakan ia boleh dimainkan dengan baik di skrin depan akan tetapi pengalaman bermain adalah kurang baik dan menggunakan skrin dalam adalah jauh lebih baik.

Ia adalah kerana skrin depan menggunakan resolusi yang lebih memanjang membuatkan permainan kelihatan kurang baik dan terasa tulisan adalah kecil untuk dibaca. Penukaran dari skrin depan ke skrin dalam juga tidak menentu, ada masa ia berfungsi dengan baik ada juga masa saya perlu untuk membuka semula permainan.

Bagi penggunaan bateri, tidak mengejutkan ia menggunakan sedikit sahaja iaitu lebih kurang 10% untuk sesi permainan selama sejam dan tidak langsung terasa panas membolehkan ia boleh dimainkan dengan sesi yang lama.

Rumusan

Samsung Galaxy Z Fold3 adalah satu peranti yang unik dan ia memberikan pengalaman bermain permainan mudah alih yang terbaik untuk satu telefon pintar dengan mempunyai paparan yang lebih besar tetapi masih mengekalkan saiz peranti yang boleh diterima. Kualiti paparan yang dibawa olehnya juga adalah antara yang terbaik di pasaran meningkatkan lagi kualiti pengalaman.

Dengan menggunakan cip pemprosesan yang antara terbaru dan RAM sehingga 12GB, ia juga memberi prestasi yang terbaik untuk mana-mana permainan mudah alih, termasuk juga untuk permainan berat seperti Genshin Impact yang membolehkan saya bermain dengan tetapan tertinggi tanpa masalah besar.

Namun saya sedikit kecewa dengan kapasiti bateri yang disertakan kerana ia adalah satu saiz yang kecil jika kita ingin mengambil kira saiz skrin utama untuknya. Oleh itu, pengecasan yang kerap adalah diperlukan untuk anda yang sering bermain, sekurang-kurangnya ia mempunyai pengecasan pantas yang tidak memerlukan penantian yang lama.

Selain pengalaman bermain permainan mudah alih, anda boleh ketahui pengalaman-pengalaman lain untuk penggunaan Samsung Galaxy Z Fold3 melalui ulasan di Amanz – Ulasan Samsung Galaxy Z Fold3 5G – Lebih Hebat dan Lebih Munasabah ataupun anda juga boleh tonton video ulasan di bawah.

Sohor Kini