Pada bulan Jun lepas, permainan Final Fantasy XIV telah “kehabisan” versi digital dan pemain baharu tidak dapat membelinya, ia adalah kerana Asmongold iaitu strimer popular buat pertama kali mencuba permainan tersebut dan telah menarik minat ramai pemain baharu.

Terkini, dengan pelancaran penambahan terbaru iaitu Endwalker, Square Enix terpaksa menghentikan penjualan versi digital untuk permainan tersebut iaitu untuk FINAL FANTASY XIV Starter Edition dan Complete Edition kerana kesibukan pelayan yang berterusan sejak 2 minggu pelancaran Endwalker secara akses awal.

Selain itu, mereka juga telah menutup sementara untuk pendaftaran bagi sesi percubaan dan pemain yang tidak mempunyai langganan ataupun membeli permainan tersebut hanya boleh log masuk di luar waktu puncak iaitu selepas tengah malam dan awal pagi.

Bagi mengelak sebarang kekeliruan, mereka juga mengatakan akan menghentikan segala promosi untuk permainan ini, kecuali pengiklanan yang sudah bermula dan masih lagi berjalan.

Langkah ini akan diteruskan untuk beberapa hari sehinggalah mereka merasakan yang pelayan boleh menampung jumlah pemain yang ingin bermain permainan tersebut.

Final Fantasy XIV dilancarkan pada tahun 2013 (versi A Realm Reborn) dan terus menjadi antara permainan MMORPG paling popular sehingga sekarang di tambah lagi dengan pelbagai kandungan baharu disertakan dari semasa ke semasa.

Di acara The Game Awards 2021 sebelum ini, Final Fantasy XIV telah memenangi anugerah Permainan Berterusan Terbaik dan mengalahkan permainan seperti Apex Legends, Fortnite, Genshin Impact dan Call of Duty: Warzone.

Final Fantasy XIV sudah dikeluarkan untuk PlayStation 4, Xbox One dan PC. Ia juga boleh dimainkan di PlayStation 5 dan Xbox Series melalui keserasian belakang.

Sohor Kini