Sony Interactive Entertainment hari ini telah mengumumkan yang sesi pra-tempahan untuk versi fizikal bagi Horizon Forbidden West yang akan dilancarkan pada tahun depan akan bermula esok di pengedar rasmi PlayStation dan juga Sony Store.
Seperti diumumkan sebelum ini, ia akan tiba dalam 4 edisi iaitu Standard Edition, Special Edition, Collector’s Edition dan Regalla Edition.
Bagi Standard Edition yang ditawarkan dengan harga RM249 untuk PS4 dan RM299 untuk PS5 akan menawarkan kosmetik iaitu Nora Legacy Outfit dan Nora Legacy Spear. Bagi Special Edition yang ditawarkan dengan harga RM299 untuk PS4 dan RM339 untuk PS5 akan mendapat tambahan SteelBook, buku karya dan juga muzik runut secara digital.
Walaupun harga untuk versi PS4 dan PS5 adalah berbeza, seperti diumumkan sebelum ini setiap versi PS4 akan menerima naik taraf percuma ke versi PS5 secara percuma, yang juga permainan terakhir akan mendapatkannya.
Manakala untuk pilihan yang lebih mahal adalah Collector’s Edition yang selain menawarkan seperti Special Edition ia juga akan meyertakan figura Tremortusk dan juga Aloy. Selain itu terdapat juga barangan di dalam permainan termasuk juga kostum. Ia ditawarkan dengan harga RM839.
Seterusnya adalah Regalla Edition yang ditawarkan dengan harga RM1,099, selain penawaran seperti Collector’s Edition ia mempunyai penambahan replika untuk ‘Focus’, 2 kad karya, replika untuk Sunwing dan Clawstrider Machine Physical Strike Pieces, dan peta.
Berbeza dengan versi Standard dan Special yang akan menerima cakera, pemain akan mendapat permainan dalam bentuk digital untuk Collector’s Edition dan juga Regalla Edition, ia mungkin kerana dua edisi ini tidak mempunyai pilihan PS4 ataupun PS5.
Sebagai tambahan, setiap pra-tempahan juga akan berpeluang untuk mendapatkan penghias kunci ‘Focus’, topi Horizon Forbidden West atau ‘Tremortus 3D Puzzle’, namun ia adalah selagi stok masih ada di tempat anda melakukan pra-tempahan.
Horizon Forbidden West akan dikeluarkan untuk PlayStation 4 dan PlayStation 5 pada 18 Februari 2022.