Nintendo Switch OLED telah dilancarkan pada 8 Oktober lepas, pada awalnya ia ditawarkan dengan harga lebih mahal iaitu lebih kurang RM1849, akan tetapi berdasarkan pemerhatian saya buat masa ini, ia tampaknya sudah menurun dan boleh didapatkan dengan harga serendah RM1799. Saya telah melakukan pra-tempahan untuk Nintendo Switch OLED sebelum ia dilancarkan lagi, akan tetapi akibat masalah penghantaran ia baru sahaja tiba beberapa minggu yang lepas.
Mengambil masa lebih kurang dua minggu untuk menggunakan Nintendo Switch OLED, ini adalah pendapat saya mengenainya. Ia bukanlah satu ulasan penuh, akan tetapi sekadar perkongsian awal dan ingin menjawab persoalan sama ada ia berbaloi untuk beli jika sudah memiliki Nintendo Switch generasi lepas atau untuk menjadikan ia konsol Nintendo Switch pertama untuk anda.

Apa Di Dalam Kotak?
Nintendo Switch OLED hadir dengan kotak yang lebih kecil akan tetapi kandungan di dalam kotak adalah lebih kurang dengan apa yang disediakan di Nintendo Switch yang lepas. Perbezaan adalah ia menyertakan Nintendo Switch OLED dan juga dermaga baharu yang antara penambahan adalah mempunyai LAN Port.
Selebihnya adalah peralatan yang biasa seperti pemegang JoyCon untuk menjadikan ia satu alat kawalan biasa, dua tali tangan untuk JoyCon bagi penggunaan permainan yang memerlukan pergerakan, plug kuasa dan juga kabel HDMI.
Model yang saya beli adalah berwarna putih, oleh itu ia hadir dengan JoyCon dan dermaga warna putih. Satu lagi pilihan yang ditawarkan adalah JoyCon warna biru dan merah manakala dermaga akan berwarna hitam. Buat masa ini, JoyCon dan dermaga masih tidak dijual berasingan, tetapi Nintendo telah mengumumkan mereka akan melakukannya.

Nintendo Switch Serba Baharu?
Mungkin ramai yang kecewa apabila Nintendo Switch OLED diumumkan kerana ia sangat berbeza dengan laporan awal di mana Nintendo Switch terbaru bukan sahaja menyertakan paparan yang lebih baik akan tetapi akan turut membawa spesifikasi yang lebih berkuasa sehingga menyokong resolusi 4K menggunakan teknologi DLSS.
Manakala Nintendo Switch OLED yang dilancarkan secara rasmi sekadar membawa perubahan kepada paparan dan juga sedikit perubahan untuk dermaga. Ada laporan mengatakan yang Nintendo masih lagi sedang membangunkan sesuatu yang digelar “Switch Pro” akan tetapi Nintendo mengesahkan yang tiada model baharu dalam masa terdekat selepas pelancaran Nintendo Switch OLED.
Bagi saya, ia adalah satu penambahan yang baik, saya sangat menyukai paparan baharu ini. Saya masih memiliki kedua-dua konsol, dan sering melakukan perbandingan, secara jelas ia benar-benar memberi kepuasan yang lebih apabila bermain secara mudah alih. Namun, jika anda tidak mempunyai konsol untuk membuat perbandingan, perbezaan mungkin tidak sangat ketara.

Kelebihan utama skrin baharu ini adalah warna yang lebih jitu, walaupun Nintendo Switch masih lagi mengerakkan permainan dengan kualiti sederhana dan resolusi 720p sahaja akan tetapi OLED membantu untuk memberi perasaan yang ia satu permainan yang mempunyai kualiti grafik yang lebih baik.
Ia juga mempunyai saiz skrin yang lebih besar iaitu 7-inci berbanding 6.2-inci, ia mungkin nampak sedikit akan tetapi bagi saya ia menjadikan rekaan Nintendo Switch lebih kemas kerana kurangnya bezel hitam di bahagia sekeliling skrin. Ia masih ada, tetapi pengurangan yang cukup jelas.
Bermain permainan seperti Super Smash Bros. Ultimate dan juga The Legend of Zelda: Breath of the Wild serba sedikit memberi pengalaman baharu kepada saya.
Selain itu, ia juga mempunyai pendiri yang lebih baik, berbanding pendiri kecil untuk model lepas, pendiri baharu ini adalah hampir selebar badan konsol, dan ia juga boleh dibuka dengan lebih banyak kadar untuk memberi ketegakkan yang lebih baik berbanding satu sudut sahaja sebelum ini. Walaupun saya jarang menggunakan pendiri, tetapi rekaan baharu ini membuatkan saya tertannya-tanya apa yang difikirkan oleh Nintendo untuk rekaan yang asal.

Antara perbezaan yang saya rasakan tidak dinyatakan di mana-mana spefisikasi adalah bahagian belakang mempunyai tekstur yang berbeza dengan Switch model sebelum ini. Ia terasa sedikit “berpasir”, pada awalnya saya tidak menyukainya akan tetapi selepas penggunaan yang lama ia memberikan perasaan Nintendo Switch OLED lebih selamat untuk dipegang.
Rekaan butang juga diubah akan tetapi saya tidak boleh katakan sebagai satu naik taraf, kerana saya lebih menyukai rekaan di model yang lama kerana ia lebih mudah untuk ditekan dan juga lebih timbul memudahkan untuk mencarinya terutama apabila bermain di dalam tempat yang gelap. Namun, rekaan butang baharu menjadikan konsol lebih nampak kemas, mungkin sebab utama mereka melakukan perubahan ini.
Kekemasan rekaan juga di bawa di bahagian-bahagian lain seperti di bahagian atas, ia tidak lagi dibahagikan kepada beberapa bahagian sebaliknya semua di dalam satu bahagian. Rekaan grill untuk mengeluarkan haba juga dipertingkatkan, rekaan sebelum ini sering menerima rungutan kerana ia mudah untuk patah, akan tetapi kini ia dilakukan dengan lebih kemas dan sepatutnya lebih tahan lasak.

Kelainan seterusnya adalah storan dalaman, ia kini hadir dengan storan 64GB berbanding 32GB sebelum ini dengan storan yang boleh digunakan adalah 51GB berbanding 25.9GB. Bergantung kepada cara anda menggunakan Nintendo Switch akan tetapi bagi saya walaupun sudah menggunakan lebih 4 tahun tetapi tidak pernah menggunakan storan melebihi 50 GB, walaupun mempunyai Mikro SD 128GB.
Oleh itu, jika anda mendapatkan Nintendo Switch OLED, penambahan storan melalui Mikro SD mungkin tidak menjadi wajib seperti sebelum ini.
Bagi dermaga pula, selain penambahan LAN Port seperti saya nyatakan di atas, tidak banyak penambahan lain yang dilakukan, akan tetapi oleh kerana ia sekadar tempat untuk digunakan bagi pengecasan konsol dan juga paparan ke TV, tidak banyak yang boleh diubah.
Satu perubahan yang saya tidak gemari adalah penutup belakang untuk menutup port-port di dermaga apabila dibuka ia terus tercabut berbanding dengan dermaga yang lama panel tersebut tersambung ke dermaga. Ia mungkin dilakukan untuk mengurangkan masalah apabila digunakan di tempat yang sempit, akan tetapi saya saya tidak menyukai sesuatu yang boleh terus dicabut, kerana ada kemungkinan ia akan hilang.


Penambahan Perlu Tetapi Tiada
Selepas menggunakan Nintendo Switch untuk lebih 4 tahun, saya sedikit kecewa kerana beberapa kekurangan konsol ini tidak diselesaikan oleh Nintendo walaupun dengan pengeluaran model baharu ini. Antaranya adalah sudah semestinya spesifikasi untuknya. Selepas melihat arus kemajuan untuk kekuasaan telefon pintar, saya merasakan yang Nintendo Switch sangat ketinggalan.
Mereka mungkin tidak ingin melakukan perubahan yang besar kerana tidak terlalu ingin menghuru-harakan ekosistem pembangunan, akan tetapi saya merasakan ia adalah sesuatu yang semakin perlu. Ia mungkin tidak perlu mengejar resolusi 4K akan tetapi kualiti yang lebih baik di resolusi 720p sudah cukup memuaskan jika dilakukan dengan baik.

Seterusnya adalah WIFI, saya tidak pasti apa masalah mengenai kualiti WIFI yang terdapat di Switch, tetapi ia sering bermasalah dan perlahan jika ingin dibandingkan penggunaan WIFI yang sama di konsol-konsol lain. Nintendo Switch juga sering mempunyai masalah untuk berhubung dengan WIFI yang berada sedikit jauh, walaupun tidak menjadi masalah untuk PlayStation, Xbox ataupun telefon pintar.
Mengubah spesifikasi mungkin terlalu sukar , terutama dengan kekurangan cip buat masa sekarang, akan tetapi mempertingkatkan kualiti WIFI seharusnya tidak menjadi masalah. Menyediakan LAN Port tidak menyelesaikan masalah ini kerana Nintendo Switch adalah konsol yang dimainkan secara mudah alih.
Berbaloi?
Untuk saya, ia adalah berbaloi, kerana Nintendo Switch yang saya miliki sekarang adalah dibeli semasa konsol hibrid Nintendo ini pertama kali dilancarkan iaitu pada tahun 2017. Dengan kata lain, Nintendo Switch saya sudah berumur lebih 4 tahun, mendapatkan model terbaru selepas 4 tahun bagi saya adalah sesuatu yang tidak terlalu merugikan.
Manakala jika anda memiliki Nintendo Switch yang baru sahaja menerima naik taraf sebelum ini, ataupun baru sahaja membeli Nintendo Switch saya boleh katakan ia bergantung jika anda mendapat harga yang baik untuk menjual konsol tersebut, jika anda hanya perlu menambah lebih kurang 500 hingga 600 ringgit sahaja untuk mendapatkan OLED ini, bagi saya ia adalah naik taraf yang berbaloi.
Jika anda ingin membeli konsol Nintendo Switch pertama, model mana yang harus dibeli? Di antara Nintendo Switch dan Nintendo Switch Lite saya sudah huraikan di satu video, di mana perbezaan harga di antara Switch dan Switch Lite sedikit sahaja oleh itu anda kerugian banyak perkara seperti tidak dapat bermain di TV dan juga kekurangan pelbagai fungsi lain.
Manakala perbandingan di antara Nintendo Switch V2 dan Nintendo Switch OLED pula, bagi saya perbezaan harga sekali lagi memberikan kelebihan kepada Nintendo Switch OLED dan saya berpendapat ia berbaloi untuk belanja lebih sedikit untuk mendapatkan model terbaru ini.
Berbaloi ataupun tidak masih lagi bergantung kepada bajet yang anda ingin berbelanja, oleh kerana Nintendo memastikan kesemua model Switch dapat bermain kesemua permainan yang sama (kecuali yang memerlukan JoyCon, Switch Lite tidak dapat bermainnya tanpa pembelian JoyCon tambahan), ia akan memastikan anda tidak terlalu kerugian apabila mendapatkan mana-mana model Nintendo Switch.