Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) sedang menganjurkan acara Malaysia Digital Creativity Festival (MYDCF) 2021 yang akan menjadi gabungan untuk dua acara industri kreatif di Malaysia iaitu Level UP KL untuk permainan video dan Kre8tif untuk animasi.

Anda boleh ketahui lanjut dan juga melawat pelbagai booth melalui pautan ini.

Antara acara yang dianjurkan bersempena dengan MYDCF 2021 ini, adalah Junior Shoutcasting Challenge iaitu satu kejohanan untuk mencari bakat-bakat baru di dalam shoutcasting.

Kami juga diberi peluang oleh MDEC untuk temubual Aiman (Laphel) dan Mukhsith (Sith) yang menjadi ‘trainer’ ketika kejohanan ini dan juga dua nama yang seharusnya dikenali ramai terutama yang mengikuti kejohanan-kejohanan Mobile Legends. Bersama dengan mereka, adalah Fitri ataupun Sunfrost yang menjuarai kejohanan ini.

Soalan: Sedikit pengenalan diri, media sosial untuk pembaca yang ingin mengikuti lanjut

Laphel (L): Saya adalah shoutcaster untuk MLBB, dan secara eksklusifnya, saya hanya buat Professional Leagues, International Leagues. Pengalaman saya dalam gaming adalah sebagai shoutcaster, jurulatih dan juga penganalisa untuk beberapa pasukan profesional. Saya juga pernah menjadi jurulatih untuk pasukan Malaysia di SEA Games dan kita telah memenangi pingat gangsa.

Sith (S): Nama saya Mohd. Mukhsith Rejab ataupun boleh panggil saya Sith. Saya juga merupakan shoutcaster profesional untuk MLBB terutamanya untuk MPL. Saya ada juga menjadi shoutcaster untuk kejohanan antarabangsa tetapi lebih memfokuskan kepada Bahasa Malaysia. Baru-baru ini, saya juga telah menjadi pengurus untuk satu pasukan esukan.

Sunfrost (F): Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Nama saya Fitri atau lebih gemar digelari sebagai Sunfrost. Saya berasal dari Nilai, Negeri Sembilan dan saya merupakan juara untuk Junior Shoutcasting Challenge yang baru sahaja tamat dalam beberapa bulan lepas.

Soalan: Bagaimana bermula melibatkan diri di dalam industri esukan dan shoutcasting.

L: Bagi pendedahan saya kepada shoutcasting, saya mula didedahkan kepada esukan secara umum, pada waktu itu saya pun masih baru lagi dengan concept yang “main permainan video untuk menjana duit”

Pada masa tu, mentaliti saya adalah “Okey, kita tengok orang lain main game biasa-biasa jelah, it’s not all that fun.” Tapi bila tengok ada orang berbual semasa perlawanan iaitu shoutcasting, saya mula tertarik. Apa yang diorang berbual membuatkan saya tertarik dengan perlawanan yang berlaku walaupun saya tak tahu apa langsung tentang permainan tersebut.

Jadi pada waktu itu, saya tak tahu macam mana tapi minat hadir dalam diri yang membuatkan saya ingin terlibat di dalam esukan. Tak kisah sama ada sebagai pemain, pengurus, shoutcaster, saya ingin terlibat dengannya. Apa yang saya buat adalah, saya melakukan analisa berdasarkan permainan yang saya tengok. Saya kongsinya di Facebook dan selepas saya mula berkawan dengan ramai orang seperti shoutcaster lain, Team Bossku, Karakuri, Cortex, Adam Spartank.

Melalui kenalan ini MPL telah jemput saya untuk menjadi Shoutcaster bagi musim ke-4 dan sejak itu saya telah cast bersama dengan MPL sehingga musim ke-8 dan akan pergi ke World Championship.

S: Pada tahun 2018 kalau tak salah saya, tahun dimana saya bermula untuk melakukan casting. Kita terdedah dengan esukan secara umum – orang main game, pada tahun 2019, Malaysia telah didedahkan dengan esukan, dan antara salah satu cita-cita idaman saya ialah untuk menjadi pengulas bola sepak. Jadi, kalau saya tak boleh jadi pengulas bola sepak, jadi saya tukar landasan, saya pergi kepada pengulas untuk esports. Alhamdulillah, dengan bantuan daripada Laphel juga, sebab salah seorang caster pertama yang saya cast sekali adalah Laphel di satu kejohanan. Selepas itu, saya belajar, alhamdulillah sekarang saya telah mula casting untuk MPL daripada Musim Ke-6 sampai Musim Ke-8 dan juga akan pergi ke World Championship.

F: Saya pada awalnya terdedah dengan MPL yang saya lihat di kaca TV. Saya mula tertarik dengan perlawanan yang ditunjukkan tetapi bukannya daripada permainan sahaja, juga daripada shoutcasting yang dilakukan oleh professional casters. Saya dengar suara mereka menjelaskan tentang game sangat detail sangat memberikan impak besar dalam perlawanan tersebut. Jadi makin lama saya makin berminati MPL dan mula mencari cara untuk menjadi caster, cari kandungan-kandungan diorang. Kadang-kadang saya tonton sesuatu perlawanan bukan untuk melihat perlawanan tetapi saya dengar sahaja shoutcasting yang dilakukan oleh caster-caster. So, dari situlah saya mula minat dengan esukan, lebih-lebih lagi shoutcasting sampailah membawa saya ke sini.

Soalan: Adakah Sukar Untuk Bermula Sebagai Shoutcasting?

L: Ya dan tak. Dulu susah sebab kalau orang tak kenal kita siapa liga profesional tidak akan jemput, tetapi sekarang senang sedikit disebabkan setiap musim kita akan buka slot, kita akan ambil beberapa prospective shoucaster yang kita rasa ada kebolehan. Kemudian saya dan seorang lagi shoutcaster akan train beberapa shoutcaster yang ada. Kalau kita rasa dia ada potential yang besar menjadi shoutcaster untuk musim depan, kita akan bagi dia peluang untuk menjadi shoutcaster dekat dalam professional league, macam Sith sendiri pernah lalui. Cuma kenapa saya cakap tak, sebab saya dan seorang lagi shoutcaster akan jadi bak kata ‘quality control’ dan akan betul-betul handpick orang yang berkebolehan tinggi. So, kita open untuk orang join, tapi at the end of the day, selepas kita dah train dalam 6 minggu, kita akan tengok kalau performance dia bagus, dia akan masuk kepada next season, kalau tak bagus dia kena masuk kelas lagi sekali untuk season yang akan datang.

S: Sama juga macam jawapan Laphel, susah itu ya dan tak. Kalau ya itu sebab cerita-cerita dulu, dari sekarang pun kita dah nampak ramai shoutcaster sekarang tumbuh bak cendawan. Tetapi, bila saya cakap tak susah itu, bila kita bercerita tentang shoutcaster, saya suka samakan atau bandingkan dengan artis, dia sama juga dengan artis sekarang. Dulu, kita kena masuk Bintang RTM untuk mendapat nama, sekarang artis buat cover di Youtube, dapat views yang tinggi, dia dah boleh jadi artis. Sama juga dengan shoutcaster. Sekarang ini, kebanyakan game, diorang dah start buat stream ataupun buat latihan 1 pasukan lawan 1 pasukan. Jadi, ada shoutcaster-shoutcaster yang baru, dia akan cuba mengambil kesempatan atas pertandingan persahabatan ini, dan akan cast dekat situ. Maka orang boleh nampak bakat-bakat baru seperti Syed Fitri, dan apa yang dilakukan oleh MDEC ini diantara salah satu platform yang baik untuk mencari bakat-bakat macam ini, dan seperti yang dikatakan oleh Laphel , kelas-kelas macam inilah yang melahirkan shoutcaster-shoutcaster yang hebat termasuklah saya, Alhamdulillah, hasil didikan daripada Laphel.

Soalan: Persedian yang anda lakukan sebelum memulakan sesuatu tugasan shoutcasing

L: Persiapan memang kena buat disebabkan bila kita dah ada dekat dalam TV, ada banyak kritikan dekat luar sana yang akan tunggu dan tengok bila kita buat kesilapan. Jadi memang kita perlu bersedia. Perkara paling penting adalah kita perlu mempunyai pengetahuan mengenai permainan. Kita kena betul-betul faham game itu, permainan dia macam mana dekat dalam tahap yang tinggi, tak boleh nak tahap biasa-biasa atau asas, kita punya level kena sama dengan professional players. Supaya bila orang tengok, you punya performance di hadapan kamera, pengetahuan kita akan membuatkan penonton kagum. Jadi itulah nombor 1, kita perlu tahun permainan tersebut.

Kedua adalah kita kena faham tentang pemain yang bermain, terutama di peringkat profesional, kita perlu tahu cara sesuatu pasukan bermain, pemain mereka, nama mereka, semua sekali kita perlu menjadikan sebagai pengetahuan, supaya tak tersalah sebut dan tak kecilkan hati sesiapa. Akhir sekali, bila pasal shoutcasting ini, bila kita muncul di depan kamera, kita akan rasa gementar. Jadi, semua orang ada cara berbeza, semua orang akan lakukan sesuatu di depan kamera sahaja,supaya tak gementar. Bagi saya, saya akan melakukan sesuatu gerak tubuh.

Ini adalah tiga perkara yang persedian iaitu pengetahuan mengenai permainan, pengetahuan mengenai kejohanan dan juga perlu pastikan tidak terlalu gementar.

S: Ia adalah seperti apa yang Laphel cakap, 3 points yang diutarakan oleh beliau, memang benda wajib lah. Apa yang saya boleh tambah, mungkin ada dua point daripada saya. 1, kita kena sentiasa berborak dengan co-casters kita, sebab kebiasaannya bila kita masuk dalam esukan, ataupun mana-mana shoutcaster, kebiasaannya akan ada 2 ataupun 3 orang. Jadi, apabila kita berborak dengan kita punya partner, kita nak try to build the chemistry walaupun sekejap sebab kalau tiada chemistry, kita dekat depan TV nampak macam sangat-sangat ganjal, macam kita tak bersama.

Jadi itu perkara yang sangat-sangat penting, tidak kisah berborak mengenai apa, just kita nak build the momentum and chemistry. Kedua, bagi saya ini cukup-cukup penting, iaitu kita kena dapatkan tidur ataupun rehat yang secukupnya sebelum hari untuk casting sebab kadang-kadang kita tak tahu game boleh pergi daripada pagi sampai malam. Jadi, saya tahu, Laphel pun dah biasa mengalami benda ini. Tidur ataupun rehat memang sangat-sangat penting untuk kita sentiasa bertenaga sebab tugas kita selain daripada mengulas, kita sebenarnya nak menghiburkan penonton-penonton yang sedang menyaksikan pertandingan tersebut.

F: Untuk saya kesemua perkara yang dicakapkan oleh Laphel dan Sith adalah apa yang saya ikut. Sebab saya sendiri pun awalnya memang belajar daipada diorang, jadi tips semua yang saya buat memang ambil dengan diorang. Sedikit tambahan untuk saya, kena siapkan kerja sekolah dululah sebelum ada event. Kena make sure jadual semua free, and then I’m good to go lah untuk the event. Yang lain memang preparation yang sangat wajiblah, yang dicakap daripada dua shoutcasting professional tadi.

Untuk pembahagian belajar dan menjadi shoutcaster, macam orang biasa juga, sebab saya menganggap ini adalah hobi saya sendiri daripada awal. Memang sebelum saya menjadi shoutcaster jugak saya dah memang dah biasa belajar dan bermain. Sama saja bila kita main game waktu biasa dan setelah menjadi shoutcaster, waktu dia still sama. Bila study kita akan study, and then bila habis study, kita akan fokus dengan shoutcasting. Beza saya dengan orang biasa, saya buat ini sebagai saya punya career, itu sahaja.

Soalan: Adakah Shoutcaster Boleh Menjadi Satu Kerjaya Untuk Jangka Masa Yang Panjang?

L: Baru saya perasan yang saya nak masuk tahun ke-5 menjadi shoutcaster jadi ia adalah agak lama saya dah menjadi shoutcaster. Untuk jangka masa panjang, sudah semestinya akan terdapat banyak lagi peluang, disebabkan kalau kita tengok luar negara, China, America, dan beberapa negara Eropah ada beberapa shoutcasters yang telah sampai ke satu tahap dimana muka diorang akan sentiasa di dalam show itu.

Oleh itu, jika mengenai ketahanan beberapa shoutcaster yang dah lebih 20 lebih tahun dalam kerjaya shoutcasting diorang, so in terms of long term, yes. But, untuk memperluaskan lagi persepsi kita, bila masuk dalam industri esukan  ada banyak lagi peluang yang ada. Contohnya, Sith sendiri bila dia menjadi shoutcaster dia ada peluang lain di dalam perniagaannya dan sebagainya.

Saya sendiri pernah menjadi jurulatih, penganalisa, pengurus, pencipta kandungan dan sebagainya. Oleh itu, untuk menjadikan shoutcasting sebagai kerjaya jangka masa panjang, ia adalah boleh dilakukan tetapi biasanya akan ada perkara sampingan untuk menambah lagi pendapatan.

S: Mungkin saya boleh rungkaikan kerjaya dari segi shoutcaster ini, sebab kita tahu, seperti yang dikatakan oleh Laphel, daripada dulu dah ada banyak game. Kita mula-mula dengan game dekat PC, sekarang ada console, dan sekarang semua orang dah boleh main game melalui telefon pintar. Ini menunjukkan yang sesuatu akan berkembang akan tetapi shoutcaster ini, selagi manusia ada selagi itu kita akan memerlukan shoutcaster. Rakan kami ada yang bermula sebagai shoutcaster untuk esukan kini menjadi pengulas bola sepak. Jadi, dengan menggunakan skill shoutcaster dia boleh menjadi pengulas sukan yang sebenar.

F: Untuk menjadi professional caster ini memang menjadi impian dan cita-cita saya lah sebenarnya. Untuk bidang shoutcasting ini bukan sahaja bagi kita peluang untuk menjadi influencer dan boleh buat pendapatan sampingan, kita juga bagi kelebihan dekat diri kita. Kita ada soft skills, dan macam-macam skills yang boleh kita menggunakan. Sebagai seorang pelajar memang sangat bergunalah, lebih-lebih lagi nak SPM ini, banyak buat presentations, bina ayat itu semua memang banyak orang akan referkan saya, sebab bila kita bukan sahaja tulis, kita present dekat orang, dah biasa, tak lagi nervous. Lebih-lebih lagi kalau saya boleh present depan audience, bagi saya memang tak ada masalah la untuk buat depan sekolah apa semua. Jadi, memang bagi benefit yang sangat besar la untuk diri sendiri walaupun kita kecundang dalam bidang ini, sangat senang untuk kita adapt dalam bidang lain dengan adanya skill-skill sebagai seorang shoucaster.

Soalan: Apa persepsi orang sekeliling bila berkecimpung dalam bidang shoutcasting?

L: Saya ada 2 persepsi yang berbeza. Satu daripada bahagian keluarga dan satu daripada bahagian kawan-kawan. Saya adalah orang Johor, jadi saya bekerja shoutcasting dekat kawasan Selangor, jadi bila saya balik Johor diorang macam, “Eh main game dapat duit eh? Hahaha” dan apabila saya terangkan mengenainya, diorang hanya jawab balik “Ohhh, OK. Kemudian bila MPL masuk TV seperti apa yang Fitri pun nampak, pastu diorang macam “Eh, tau tak yang awak masuk TV?” pastu saya pun macam “Yang mana satu?”.

Itulah persepsi daripada keluarga sendiri, mereka pun terkejut, dan bukan sahaja keluarga terdekat, saudara-mara saya semua, diorang pun terkejut mengenainya, jadi mereka rasa bangga la dengan pencapaian saya. Kawan-kawan yang sekeliling, diorang sangat positif, sebab dulu bila saya susah nak dapat kerja dan sebagainya. Jadi bila dapat kerja sebagai shoutcaster ia telah memberi pelbagai kelebihan kepada diri saya termasuk juga dikenali ramai. Oleh itu, persepsi orang terhadap saya menjadi shoutcaster adalah sangat positif dan saya sangat menghargainya.

S: Setakat ini, Alhamdulillah, tapi macam Laphel cakap, mula-mula tu diorang rasa macam “Shoutcaster? Ok..” tapi bila dah start masuk TV sampailah ayah saya akan menjadi orang pertama yang akan tunggu dekat TV. Dekat situ, saya rasa macam “Dad, I make you proud.” So, Ayah saya sangat-sangat berbanggalah dan saya rasa dari keluarga terdekat saya ataupun kenalan perspektif mereka terhadap kerjaya ini nampak positif la sebab benda ini pun boleh buat duit.

Dari segi kawan-kawan sebab diorang pun dalam esukan jadi bagi saya, tiada masalah bagi diorang, juga memberikan perspektif yang positif sebab setiap kali masuk dalam Facebook pun diorang akan bagi pujian walaupun saya tahu kadang-kadang tak nampak macam pujian tapi saya anggap benda itu macam pujian la. Tapi secara tidak langsungnya, diorang faham dan rasa benda tu positif.

F: Sejujurnya, pada awal sekali, kita mulakan dengan orang yang dekatlah, iaitu keluarga. Keluarga memang sangat-sangat risau sebab diorang memang tak terdedah langsung dalam esukan ini, memang tak tahu apa-apa. Jadi bila kita cakap kita dalam bidang esukan iaitu permainan video ini, memang persepsi biasa lah. Akan risau sebab tak nampak kelebihannya jadi saya cuba untuk pujuk, cuba untuk buktikan dan selepas saya menang Junior Shoutcasting Challenge barulah mereka terbuka hati untuk merelakan saya ini berada dalam bidang eesukan, barulah mereka yakin yang saya ada hala tuju.

Sebab selama ini, untuk saya, mengulas atau bercakap dihadapan orang ini bukanlah perkara baru, tapi dalam esukan ini sendiri mereka tahu, saya kata dengan diorang ‘”High Risk High Return”. Sekarang, kebanyakannya mereka lebih menyokong saya selepas saya menang dalam Junior Shoutcasting Challenge ini.

Seterusnya, untuk kawan-kawan, memang daripada awal, semuanya memang sokongan daripada kawan-kawan. Memang meyakinkan saya yang saya boleh teruskan dalam bidang ini. Sampailah sekarang mereka memang selalu tolong kalau ada apa-apa event, memanglah mereka yang tolong share, tolong view apa semua, memang support saya sangat-sangat.

Soalan: Apa nasihat kepada orang ramai yang berminat untuk menceburkan diri di dalam industri esukan terutamanya sebagai shoutcasting?

L: Kata-kata semangat untuk shoutcaster baru, saya cuma nak cakap, rezeki tak salah alamat. Saya pernah ada dalam situasi yang sangat teruk, 2 tahun lebih tiada kerja kemudian saya mula shoutcasting dengan gaji yang sangat-sangat sikit, ada beberapa acara saya buat secara percuma, ada beberapa yang okay, berapa ratus je buat, tetapi terus mencuba, kerja keras dan kemaskan portfolio, labur terhadap diri sendiri untuk pastikan ramai orang kenal sampai tahap yang situasi kewangan menjadi baik dan bila kat luar orang kenal siapa kita.

S: Tips untuk shoutcaster, yang saya boleh tambah atas jawapan Laphel tadi, sentiasa rendahkan diri dan jadi diri sendiri. Kadang-kadang ada yang apabila melihat Laphel, mereka ingin membawa gaya yang sama, bagi saya kita perlu jadi diri sendiri dan sentiasa menghormati antara satu sama lain.

F: Saya pun tak boleh nak cakap sangat sebab saya pun masih lagi baru, cuma kita kena berani mencuba dengan segala benda yang ada sebab masa saya sendiri, kalau saya tak membuat keputusan untuk terus mencuba, untuk membuktikan kepada keluarga saya, saya tak akan berdiri di sini.

Soalan: Apa penambah-baikkan lain yang perlu dilakukan oleh mana-mana pihak bagi industri esukan ini?

L: Harapan saya untuk esports adalah untuknya menjadi besar sebesar mana bola sepak dekat Malaysia, saya nak dia dekat skala yang macam itu. Kalau macam kita tengok bola, orang lepak dekat Mamak ramai-ramai untuk tengok dan bila dapat gol diorang jerit gol. So, saya nak benda yang sama jadi dekat esports sebab buat masa sekarang ini, esports dah boleh kata besar dalam Malaysia, tetapi kita masih belum ada proper structure lagi untuk bertanding dengan negara-negara luar, Indonesia, Phillipines, China, America dan sebagainya. Government dah bagi banyak support, Alhamdulillah, semua itu bagus tetapi kita masih kena ada proper structure. So that’s why I nak kita sama besar macam bola sepak.

S: Harapan saya terhadap esports sama macam Lafel tapi mungkin saya nak tambah satu. Saya mengharapkan dekat Malaysia, khususnya kita ada satu ekosistem yang baik. Sebab esports ini, kita dah nampak dunia yang dah mula iktiraf, the next Olympics, InsyaAllah, Paris 2024, the first Olympics yang akan ada esports, akan sumbang kepada pingat. So, kita dah nampak yang benda ini menjadi salah satu tiang dalam sukan dekat dalam dunia. Jadi saya mengharapkan dengan adanya ekosistem yang baik, esports dekat Malaysia boleh berkembang dengan pesat dan baik dan semua orang dapat merasa benefit dia bila kita dah ada ekosistem tersebut.

F: Harapan saya dalam esports ini lebih kepada rakyat kita untuk mengubah perception terhadap esports. Sebab kita (boleh) tengok, (esports) telah diiktiraf oleh negara dan dunia, tapi dari segi mentaliti masyarakat, masih lagi belum mendapat tempat yang sepatutnya. Sebab esports ialah esukan, jadi kita pun kena treat dia macam sukan yang biasa. Kepenatan atlet-atlet dalam esports ini juga perlu diambil kira juga. Usaha-usaha mereka juga mendapat penghargaan yang sepatutnya.

*jawapan mungkin diolah dan diringkaskan untuk pembacaan yang lebih baik.

Sohor Kini