Blue Mammoth Games dan Capcom telah mengumumkan kerjasama untuk menyediakan kostum berdasarkan Street Fighter di dalam permainan Brawlhalla di mana ia akan menyertakan kostum Ryu, Chung-Li dan Akuma pada 23 November ini.
Anda boleh tonton video pengumuman di bawah.
Seperti kebanyakan kandungan sebelum ini untuk Brawlhalla, ia bukanlah satu watak baharu tetapi kostum untuk watak sedia ada. Ryu adalah untuk watak Petra, Chung-Li untuk watak Wu Shang dan Akuma untuk watak Val. Namun, ia masih lagi menyertakan gerakan seperti watak-watak Street Fighter tersebut, ia juga menyertakan suara tersendiri.
Buat masa ini, kandungan tersebut tidak ditawarkan lagi akan tetapi ia berkemungkinan berharga 300 Mammoth Coins ataupun RM40 jika ditukar ke wang biasa.
Selain kostum, Brawlhalla juga akan menerima mod baharu iaitu Street Brawl yang akan menjadikan sesi pertempuran seakan satu permainan Street Fighter.
Brawlhalla adalah permainan percuma dan sudah dikeluarkan untuk PlayStation 4, Xbox One, Nintendo Switch, PC, iOS dan Android. Ia juga boleh dimainkan di PlayStation 5 dan Xbox Series melalui keserasian belakang.