Riot Forge telah membuat kejutan apabila telah melancarkan permainan sampingan untuk League of Legends, Ruined King: A League Of Legends Story yang sebelum ini sekadar diumumkan tertunda daripada tarikh pelancaran tahun lepas.

Bersama dengan Ruined King, Hextech Mayhem: A League Of Legends Story juga dilancarkan bersama seperti diumumkan pada minggu lepas.

Ruined King: A League Of Legends Story adalah permainan RPG yang memfokuskan kepada bandar Bilgewater di dalam dunia League of Legends. Ia dibangunkan oleh Airship Syndicate yang pernah mengeluarkan permainan Battle Chaser: Nightwar.

Ia dilancarkan untuk PlayStation 4, Xbox One, Nintendo Switch dan PC. Ia juga boleh dimainkan untuk PlayStation 5 dan Xbox Series melalui fungsi keserasian belakang. Versi khusus untuk konsol generasi terkini akan tiba sebagai naik taraf percuma akan datang.

Manakala Hextech Mayhem: A League Of Legends Story pula adalah permainan runner berdasarkan irama yang dibangunkan oleh Choice Provisions terkenal dengan permainan Bit.Trip. Ia dikeluarkan untuk Nintendo Switch dan PC. Ia juga akan tiba di Netflix Games di masa hadapan.

Selain itu, Riot Forge juga telah mengumumkan satu lagi permainan baharu berdasarkan League of Legends iaitu Song of Nunu: A League of Legends Story yang dibangunkan oleh Tequila Works. Ia akan dikeluarkan untuk PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series, Nintendo Switch dan PC pada tahun 2022.

Sohor Kini