8 Permainan Menarik Untuk Bulan November 2021

Bulan November ini boleh dikatakan sebagai bulan ‘peperangan’ di antara dua permainan yang berkongsi genre sama iaitu Call of Duty Vanguard oleh Activision dan Battlefield 2042 oleh EA. Selepas tertunda, Battlefield 2042 tiba beberapa minggu selepas Vanguard, persoalannya adakah November satu bulan yang mencukupi untuk menerima dua permainan besar bagi genre ini?

Selain itu, terdapat juga beberapa permainan dari siri terkenal yang menerima permainan baharu iatiu Football Manager 2022, Forza Horizon 5 dan juga Shin Megami Tensei V. Akhir sekali, dua permainan klassik yang diperbaharui juga akan tiba pada bulan ini iaitu Grand Theft Auto Trilogy dan Pokemon Brillian Diamond serta Pokemon Shining Pearl.

Secara ringkasnya, bulan ini terdapat pelbagai permainan menarik daripada genre yang berbeza. Berikut adalah 8 permainan menarik untuk bulan November 2021.

Call of Duty Vanguard

Activision | 5 November 2021 | PlayStation, Xbox, PC

Call of Duty Black Ops Cold War adalah satu kejayaan untuk siri Call of Duty dan dengan pengenalan Call of Duty: Warzone, siri ini menjadi satu siri yang besar bukan sahaja untuk genre ini tetapi juga untuk permainan keluaran Activision. Melalui Vanguard mereka akan terus menyertakan kempen penceritaan yang memfokuskan kepada kejadian ketika perang dunia kedua dan juga mod multi-pemain yang akan menjadi fokus utama pemain dikatakan akan menerima kandungan terbesar untuk permainan ini.

Jurassic World Evolution 2

Frontier Development | 9 November 2021 | PlayStation, Xbox, PC

Selepas Jurassic World Evolution dikeluarkan pada tahun 2018, ia adalah antara permainan yang benar-benar memberi peluang kepada pemain untuk membina Jurassic World mereka sendiri. Melalui permainan kedua ini, Frontier Development telah mengumumkan pelbagai mod baharu dan juga lebih banyak pilihan raksasa yang boleh dijadikan sebagai penarik bagi taman zoo pemain.

Football Manager 2022

Sports Interactive | 9 November 2021 | Xbox, PC

Football Manager terus menjadi permainan simulasi pengurusan bola sepak utama di pasaran, dengan pelancaran permainan terbaru ini tampaknya mereka akan terus kekal memegang takhta tersebut. Persoalan mungkin adakah ia membawa perubahan yang besar berbanding tahun lepas? Berdasarkan pengumuman dan percubaan oleh pemain, sistem permainan terasa sedikit berbeza dan memberikannya pengalaman yang lebih baik. Sports Interactive juga telah menambah pelbagai fungsi baharu terutama penggunaan data dan informasi daripada perlawanan.

Forza Horizon 5

Playground Games – Xbox Game Studios | 9 November 2021 | Xbox, PC

Walaupun kita sudah menghampiri penghujung tahun 2021, akan tetapi permainan yang benar-benar mengguna pakai konsol generasi terkini masih terhad. Forza Horizon 5 adalah permainan seterusnya yang mungkin akan memperlihatkan lebih mendalam kelebihan Xbox Series, terutama Xbox Series X. Berdasarkan perkongsian sebelum ini, ia benar-benar nampak sangat berkualiti tinggi dengan rekaan dunia yang menawan. Tambahan itu, ia juga disertakan di dalam Xbox Game Pass secara terus.

Grand Theft Auto: The Trilogy

Rockstar Games | 11 November 2021 | PlayStation, Xbox, Switch, PC

Setiap permainan Grand Theft Auto, Rockstar Games akan membawa sesuatu yang baharu untuk genre permainan terbuka dan terus menjadi penanda aras baharu. GTA III, GTA Vice City dan GTA San Andreas setiapnya adalah permainan yang baik secara sendiri dan kini Rockstar Games bakal memberi ketiga-tiga permainan tersebut sentuhan baharu. Walaupun sedikit kecewa kerana perubahan yang dibawa tidak besar akan tetapi ia sudah semestinya alasan yang baik untuk kembali bermain ketiga-tiga permainan tersebut.

Shin Megami Tensei V

Atlus | 12 November 2021 | Switch

Shin Megami Tensei V akan menjadi permainan baharu yang pertama bagi siri ini yang dikeluarkan untuk konsol Nintendo generasi terkini. Dikeluarkan selepas lebih 5 tahun Shin Megami Tensei IV, kali ini ia akan membawa semula beberapa bentuk permainan yang lama tetapi juga memperkenalkan sesuatu yang baharu. Antara sistem yang hadir semula adalah menggabungkan pelbagai raksasa untuk mendapatkan raksasa yang berlainan.

Pokemon Brilliant Diamond / Pokemon Shining Pearl

Nintendo | 19 November 2021 | Switch

Satu lagi permainan eksklusif untuk Nintendo Switch adalah versi baharu bagi Pokemon Diamond dan Pokemon Pearl yang dikeluarkan pada tahun 2006 untuk Nintendo DS. Nintendo telah memberikan sentuhan grafik baharu bagi permainan ini, walaupun tidak mengikut rekaan grafik seperti Pokemon Sword & Shield, gaya Chibi sudah semestinya memberi pengalaman yang berbeza untuk pemain. Pokemon Brilliant Diamond dan Pokemon Shining Pearl sudah semestinya satu alasan yang baik untuk kembali ke benua Sinnoh.

Battlefield 2042

EA | 19 November 2021 | PlayStation, Xbox, PC

Selepas dua tahun tiada permainan Battlefield baharu, Battlefield 2042 tiba yang menjanjikan bentuk permainan yang lebih modem tetapi mengekalkan sesi multi-pemain yang riuh. Bagi konsol generasi terkini dan juga PC, ia mempunyai sesi permainan sehingga 128 pemain serentak dan 64 pemain untuk konsol generasi lepas. Walaupun tidak menyertakan kempen penceritaan kali ini, EA memberikan pelbagai mod berbeza termasuk juga Battlefield Portal yang membolehkan pemain mencipta mod tersendiri.

Sohor Kini