Ketika acara DC Fandom baru-baru ini, selain berkongsi beberapa treler untuk filem seperti The BatmanThe Flash dan Black Adam, mereka juga telah berkongsi treler baharu untuk permainan video berdasarkan watak DC, antaranya adalah Suicide Squad dan juga Gotham Knights.

Gotham Knights juga diperlihatkan pertama kali ketika DC Fandom pada tahun lepas, dari segi bentuk permainan ia kelihatan memfokuskan bentuk multi-pemain di mana pemain boleh menghasilkan adiwira mereka sendiri berdasarkan empat adiwara utama lain di bandaraya Gotham iaitu Robin, Bat Girl, Nightwing dan Red Hood.

Di dalam treler terbaru, diperlihatkan yang Bruce Wayne ataupun Batman telah mati, bagi yang bermain permainan Arkham Knights, ia mungkin bukan perkara yang mengejutkan. Selain itu, ia juga memperlihatkan patung yang dihasilkan untuk Jim Gordon, berkemungkinan menandakan yang beliau juga menemui nasib yang sama dengan Bruce Wayne.

Selain itu, treler juga memfokuskan kepada Courts of Owls yang merupakan satu kumpulan kultus yang terdiri daripada orang-orang kaya dan juga penjenayah di Gotham. Mereka dikatakan yang mengawal segala yang berlaku di bandar tersebut.

Pasukan Gotham Knights tampaknya cuba menyiasat mengenai mereka termasuk juga memasuki ke tempat Courts of Owls. Tidak disahkan jika ia adalah satu-satunya watak jahat yang akan tiba ataupun salah satu sahaja di dalam permainan ini.

Gotham Knights yang dibangunkan oleh Warner Bros. Games Montreal dan dijangka akan tiba sekitar tahun depan untuk PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series dan PC.

Sohor Kini