Kejohanan terbesar esukan dan juga Dota 2, The International 10 akhirnya menutup tirai dengan Team Spirit iaitu pasukan yang terdiri daripada pemain dari Russia dan Ukraine telah dinobatkan sebagai juara mengalahkan pasukan yang dijangka memenangi kejohanan ini iaitu PSG.LGD dari China.

Dengan kejayaan ini, Team Spirit membawa pulang hadiah tunai $18,208,300 (~RM75 juta), hadiah yang sekali lagi memecah rekod untuk kejohanan esukan dan juga kejohanan Dota 2 sendiri.

Sebelum mencapai peringkat akhir, Team Spirit terpaksa melalui Lower Bracket selepas tewas kepada Invictus Gaming ketika pusingan pertama untuk acara utama. Mereka mengalahkan Fnatic, juara kejohanan lepas OG, membalas dendam terhadap Invictus Gaming dan Team Secret untuk mencapai peringkat akhir.

PSG.LGD pula sekali lagi dikecewakan seperti mana mereka dikecewakan oleh OG pada The International 8, mereka memenangi kesemua pusingan di Upper Bracket tetapi tewas di peringkat yang terpenting untuk kejohanan ini. Mereka masih lagi membawa pulang hadiah tunai $5,202,400 (~RM21 juta).

Seperti xNova pada tahun 2018, NonthingToSay atau nama sebenar beliau Cheng Jin Xiang, masih lagi tidak berjaya untuk menjadi pemain seterusnya dari Malaysia yang memenangi The International selepas ChuaN atau Wong Hock Chuan menjadi juara bersama Invictus Gaming pada The International 2012.

Team Secret dan Invictus Gaming berada di tempat ketiga dan keempat, manakala juara tahun lepas OG berada di tempat 7-8 selepas tewas kepada Team Spirit.

Artikel dikemaskini untuk memperbetulkan kenyataan mengenai pemain dari Malaysia tidak pernah menjuarai The International. (Terima kasih Syapei)

Sohor Kini