Nintendo hari ini berkongsi Animal Crossing Direct di mana mereka telah mengumumkan pelbagai penambahan percuma akan disertakan dan juga DLC berbayar untuknya iaitu Happy Home Paradise.

Kemaskini percuma yang akan tiba pada 5 November ini juga diumumkan sebagai kemaskini terakhir untuk Animal Crossing: New Horizons, antara yang akan disertakan adalah watak baharu iaitu Brewster bersama dengan cafe-nya The Roost.

Selain itu, ia juga akan menyertakan pelbagai peralatan, pilihan rambut, reaksi dan juga lagu untuk K.K Slider. Pemain juga boleh mengambil perkhidmatan Kapp’n Boat Tours untuk melawat pulau rawak yang juga mungkin mempunyai musim berbeza.

Anda boleh tonton pengumuman lanjut untuk kemaskini percuma ini di bawah.

Selain itu, mereka juga mengumumkan DLC berbayar iaitu Happy Home Paradise, ia juga akan dilancarkan pada 5 November ini dengan harga $24.99 ataupun dengan melanggan pelan baharu untuk Nintendo Switch Online.

Melalui DLC ini, pemain akan menjadi pereka hias dalaman, watak akan datang meminta anda untuk membina tempat tinggal bagi mereka. Pemain boleh menghias menggunakan pelbagai barangan dan rekaan mengikut cita rasa watak tersebut.

Anda kemudian boleh kongsi hiasan tersebut secara dalam talian dan melihat rekaan daripada pemain lain. Anda juga boleh mengikut pereka-pereka kegemaran untuk dijadikan sebagai inspirasi. Selepas menghasilkan sejumlah tertentu hiasan, pemain juga boleh menghias rumah penduduk di pulau anda.

Anda boleh tonton lanjut mengenai DLC ini melalui video di bawah.

Animal Crossing: New Horizons sudah dikeluarkan untuk Nintendo Switch. Anda boleh baca ulasan kami melalui pautan ini; Ulasan Animal Crossing: New Horizons – Permainan Terbaik Untuk Dimainkan Ketika Berkurung Di Rumah.

Sohor Kini