Wales Interactive adalah penerbit permainan video yang memfokuskan kepada genre permainan interaktif FMV, mereka telah hadir dengan pelbagai permainan seperti Maid of Sker dan juga The Complex.

Namun, pada tahun lepas mereka lebih dikenali melalui sesuatu yang lebih negatif iaitu permainan Gamer Girl. Selepas permainan tersebut diumumkan, ia telah menerima reaksi yang negatif, dan permainan tersebut dibatalkan tanpa pengumuman lanjut.

Beralih daripada perkara tersebut, mereka telah hadir dengan pelbagai permainan lain dan yang terbaru adalah Bloodshore, yang juga permainan interaktif FMV akan tetapi kali ini mengambil tema battle royale.

Ia akan dikeluarkan pada 3 November untuk PlayStation 4, Xbox One, Switch, PC dan iOS. Ia juga boleh dimainkan di PlayStation 5 dan Xbox Series melalui keserasian belakang.

Di dalam permainan ini, pemain akan mengawal watak Nick iaitu pelakon yang kurang berjaya, setiap sesi permainan akan bergantung kepada pilihan yang dilakukan.

Bloodshore dibangunkan oleh Wayout Pictures, Good Gate Media, Posterity Entertainment dan Wales Interactive yang juga akan menjadi penerbit.

Sohor Kini