Saya pasti yang sistem kotak tikam akan menjadi topik perbahasan sekali lagi, dan kali ini ia melibatkan sesuatu yang lebih peribadi. Saya tidak akan menghuraikan lanjut perkara tersebut, akan tetapi sekadar ingin berbincang mengenai adakah permainan video memerlukan sistem kotak tikam?

Sebelum ini saya ada bincangkan mengenai kebaikan dan keburukan sistem ini, dan mengambil pendapat yang ia adalah sistem yang tidak baik dan harus ditinggalkan.

Baca: Sistem Kotak Tikam – Baik Atau Buruk Untuk Industri Permainan Video?

Persoalannya, adakah permainan video boleh terus untung besar jika tidak menggunakan sistem ini? Jawapan ringkas adalah ya, dan jawapan yang lebih panjang, bergantung kepada jenis permainan.

Mengapa saya mengatakan ya adalah apabila kita melihat permainan seperti Fortnite, ia adalah permainan percuma untuk dimainkan akan tetapi masih lagi menjana berbilion ringgit setiap tahun walaupun mereka tidak langsung mempunyai sistem kotak tikam.

Sebaliknya pendapatan Fortnite hadir melalui langganan untuk Battle Pass, langganan untuk Crew dan juga pembelian secara terus di dalam kedai permainan. Tiada satu pun daripada sistem ini bersifat rawak, dan pemain mengetahui apa yang mereka akan peroleh. Namun masih ada sistem tawaran untuk masa tertentu sahaja yang dengan kata lain memaksa untuk pemain membelinya jika tidak ingin terlepas.

Oleh itu, jika Fortnite boleh melakukannya mengapa PUBG, PUBG Mobile, Free Fire, Apex Legends dan banyak lagi permainan battle royale lain yang secara sendirinya mempunyai setiap sistem lain akan tetapi masih menggunakan sistem kotak tikam, adakah mereka tidak boleh meninggalkan sistem ini?

Perkara yang sama kita boleh katakan untuk Valorant, yang tidak menyertakan sistem kotak tikam, sama ada Riot Games akan memperkenalkannya ataupun tidak lama adalah sesuatu yang kita perlu tunggu. Namun, buat masa ini ia adalah satu sistem yang lebih baik jika ingin dibandingkan dengan CS:GO.

Anda boleh memilih untuk membeli mana-mana hiasan senjata, sedangkan CS:GO menyertakannya di dalam sistem kotak tikam, lebih menjadikan ia bermasalah, anda boleh menjual barangan tersebut untuk wang tunai. Jika ingin bercakap mengenai perjudian, ini adalah sistem yang benar-benar menghampiri perjudian.

Selain permainan battle royale dan menembak, permainan kad digital juga sebenarnya boleh dilakukan tanpa sistem kotak tikam. Gwent iaitu permainan kad digital oleh CD Projekt Red baru-baru ini melancarkan penambahan Price of Power, yang membolehkan pemain membeli kesemua kad tanpa perlu membuka kotak tikam.

Manakala Riot Games melalui permainan Legends of Runeterra juga membolehkan pemain membeli Coins yang boleh digunakan untuk membeli mana-mana kad yang ada, sekali lagi tanpa memerlukan pemain untuk bergantung kepada nasib melalui sistem kotak tikam.

Oleh itu, persoalan sama terhadap Hearthstone yang masih lagi permainan paling popular untuk genre permainan kad digital, masih sepenuhnya bergantung kepada sistem kotak tikam?

Mengapa saya mengatakan bergantung kepada jenis permainan?

Permainan-permainan seperti FIFA Ultimate Team, permainan yang mengumpul watak seperti Genshin Impact dan juga permainan kad fizikal seperti Magic: The Gathering, di mana sistem kotak tikam adalah sesuatu yang menjadi sesuatu yang terbina dengan lebih mendalam di dalam sistem permainan.

Permainan seperti ini bergantung kepada sistem pek kerana mereka mempunyai ratusan kad, dan nilai kad tersebut bergantung kepada kesukaran untuk mendapatkannya. Tambahan pada itu, andai contohnya FUT membolehkan kesemua pemain membeli permainan yang tertentu, ia sudah semestinya menjadi satu permainan yang “bayar untuk menang”.

Ini adalah kerana pemain yang mempunyai bajet yang besar dapat membentuk pasukan tanpa masalah, sedangkan pemain yang tidak ingin berbelanja akan mempunyai masalah untuk mendapatkannya.

Sistem kotak tikam di dalam FUT masih lagi adalah “bayar untuk menang” akan tetapi ia masih memberi peluang kepada pemain untuk mendapatkannya walaupun tidak berbelanja dengan banyak. Ia juga akan mencipta pasaran di dalam permainan di mana pemain boleh membeli mana-mana kad menggunakan FIFA Coins.

Permainan mengumpul watak pula, mereka hadir dengan puluhan jika tidak ratusan watak, jika watak-watak ini boleh didapatkan dengan mudah, ada kemungkinan yang kesemua pemain akan menggunakan sesuatu watak sahaja dan tidak menghiraukan watak-watak yang lain.

Oleh itu, saya juga tidak pasti bagaimana permainan seperti Genshin Impact dapat hadir tanpa menggunakan sistem kotak tikam. Sistem ini digunakan untuk memastikan yang pemain yang tidak ingin berbelanja akan menggunakan watak-watak yang mereka ada sahaja dan masih lagi dapat bermain tanpa masalah.

Bagaimana pula dengan permainan seperti Magic: The Gathering? Jika semua pemain boleh mendapatkan kad yang mereka inginkan, oleh itu kesemua kad tidak lagi bernilai sedangkan pengumpul kad ini ramai yang mengumpul kerana ia mempunyai nilai.

Oleh itu, saya tidak mempunyai jawapan mengenai alternatif kepada sistem kotak tikam untuk jenis tiga permainan ini, namun, EA mungkin hanya memberikan sistem kotak tikam secara percuma ataupun melalui Battle Pass, manakala mereka juga menjual FIFA Coins berbanding FIFA Points yang membolehkan pemain terus membeli mana-mana kad yang mereka inginkan. Sistem ‘Preview’ yang baru diperkenalkan juga adalah sistem yang baik tetapi bukan penyelesaian penuh.

Bagi Genshin Impact dan Magic: The Gathering, ia benar-benar akan mengubah konsep asas pengumpulan watak dan kad itu sendiri, oleh itu saya tidak merasakan ia sesuatu yang mudah untuk diubah.

Sistem kotak tikam akan terus menjadi perkara yang akan mencetus kontroversi dan masalah, ia adalah sistem yang perlu ditinggalkan, sesetengah permainan sangat mudah untuk melakukannya dan harus terus membuang sistem ini. Mereka juga memberi alasan yang sistem kotak tikam akan menjadikan kos memiliki sesuatu barangan akan menjadi lebih rendah, akan tetapi bagi saya ia bukan untuk semua.

Bernasib baik, mungkin, yang tidak bernasib baik?

Manakala ada juga permainan yang keseluruhan model permainan dihasilkan berdasarkan sistem kotak tikam, oleh itu ia memerlukan pertukaran yang lebih menyeluruh, namun saya masih berpendapat yang ia adalah sesuatu yang perlu diusahakan sebelum ia menjadi masalah yang lebih besar.

Sohor Kini