Seperti diumumkan sebelum ini, acara kolaborasi Free Fire dan juga filem Venom: Let There Be Carnage kini bermula sehingga 24 Oktober. Selain kandungan di dalam permainan, Free Fire juga diperlihatkan di dalam filem tersebut di mana anda boleh tonton treler khas tersebut di bawah.

Sepanjang acara ini berlangsung, beberapa bahagian Free Fire seperti kapal terbang dan juga payung terjun akan menggunakan tema filem ini. Pemain juga boleh melakukan pelbagai misi untuk mendapatkan ganjaran seperti kostum dan hiasan senjata. Bermula 16 Oktober, terdapat tambahan ganjaran termasuk juga hiasan motorsikal.

Selain itu, pada 24 Oktober, Garena juga akan menganjurkan perlawanan persahabatan di antara Team Venom lawan Team Carnage. Team Venom akan terdiri daripada pencipta kandungan tempatan, manakala Team Carnage terbuka kepada semua pemain dan pengumuman mengenai pendaftaran akan dilakukan di laman Facebook Free Fire tidak lama lagi.

Garena Free Fire sudah dikeluarkan untuk iOS dan Android. Ia adalah permainan percuma dan menyertakan pembelian di dalam aplikasi.

Sohor Kini