Apple Arcade hari ini telah mengumumkan satu lagi permainan yang mengambil inspirasi daripada Clash Royale iaitu Transformers: Tactical Arena, selepas melancarkan LEGO Star Wars Battles yang sudah dilancarkan sebelum ini.

Permainan ini dibangunkan oleh Red Games Co, seperti Clash Royale pemain akan mempunyai tiga menara yang perlu dipertahankan menggunakan pelbagai watak serta senjata dari Transformers. Ia juga akan menyertakan sesi permainan 1v1 secara masa nyata.

Buat masa ini mereka tidak mengesahkan lagi bila ia akan tiba, tetapi turut mengumumkan yang permainan popular Crossy Road akan dilancarkan di Apple Arcade oleh Hipster Whale pada hari Jumaat ini.

Ia adalah permainan yang dikeluarkan sejak tahun 2014 lagi yang menjadikan pemain seekor ayam ataupun binatang lain dan cuba menyeberangi jalan sejauh yang mungkin dan mengelak daripada pelbagai halangan termasuk juga dilanggar oleh kereta.

Apple Arcade ditawarkan dengan harga RM19.90 yang boleh dikongsi dengan 5 orang keluarga, ia juga boleh diperoleh melalui langganan Apple One yang juga menyertakan Apple Music dan Apple TV+ dengan harga RM19.90 untuk pelan individu dan RM33.90 untuk pelan keluarga.

Anda juga boleh baca 10 permainan menarik untuk anda cuba jika memiliki langganan Apple Arcade ataupun bercadang untuk mendapatkannya: 10 Permainan Baharu Di Apple Arcade Yang Menarik.

Sohor Kini