Kejohanan terbesar Dota 2, The International 2021 telah melalui pelbagai kesukaran di dalam penganjuran mereka akibat pandemik Covid-19. Selepas ditunda pada tahun lepas, ramai yang menantikan ia untuk dianjurkan semula.

Walaupun menerima berita baik yang The International akan dianjurkan pada tahun ini, akan tetapi ia tidaklah satu penganjuran yang lancar.

The International 2021 sepatutnya dianjurkan di Sweden, akan tetapi kerajaan Sweden tidak menganggap esukan sebagai satu sukan utama dan akan menyukarkan untuk pemain dibenarkan memasuki negara tersebut, terutama pemain dari luar Eropah.

Oleh disebabkan perkara ini, Valve telah mengambil keputusan untuk menukar tempat penganjuran ke Romania, dan dengan kejohanan sudah menghampiri, iaitu akan berlangsung pada 7 Oktober ini, Valve telah mengumumkan yang setiap pembelian tiket untuk kejohanan ini akan menerima pembayaran balik.

Ini adalah kerana selepas menilai mengenai kes Romania yang terus meningkat sejak bulan lepas, dan juga peraturan terbaru oleh kerajaan, mereka mengambil keputusan untuk tidak melakukan penganjuran kejohanan dengan penonton.

Dengan Romania baru sahaja mencatat jumlah kes harian tertinggi sejak pandemik Covid-19 bermula semalam, ini adalah tidak mengejutkan bahkan sesuatu yang diharapkan daripada Valve untuk memastikan keselamatan bukan sahaja penonton tetapi juga pemain.

Peringkat kumpulan akan bermula pada 7 Oktober dan berakhir pada 10 Oktober, dan peringkat Main Stage akan bermula pada 12 Oktober diikuti peringkat akhir pada 17 Oktober. The International 2021 menawarkan hadiah terkumpul sebanyak $40,018,195 (~RM165 juta).

Sohor Kini