8 Permainan Menarik Untuk Bulan Oktober 2021

Kita sudah memasuki bulan pertama untuk suku terakhir bagi tahun 2021, dengan kata lain kita mempunyai kurang daripada 3 bulan lagi untuk mengakhiri 2021 dan menjemput 2022. Tahun ini bukanlah tahun yang “terbaik” untuk industri permainan video, walaupun sepatutnya menjadi tahun pertama bagi PlayStation 5 dan Xbox Series, akan tetapi kebanyakan permainan telah tertunda ataupun diumumkan akan tiba pada tahun-tahun depan.

Ini juga adalah peluang terakhir untuk permainan-permainan yang berhajat merebut gelaran permainan terbaik tahun ini, terutamanya di The Game Awards yang dijangka akan mengumumkan pencalonan pada bulan depan. Bulan Oktober ini, boleh dikatakan antara bulan yang mempunyai pelbagai pilihan permainan. Tidak kira permainan tahunan, permainan baharu ataupun permainan yang diolah-semula.

Berikut adalah 8 permainan menarik untuk bulan Oktober 2021.

FIFA 22

EA | 1 Oktober 2021 | PS, Xbox, Switch, PC

EA kembali lagi dengan permainan terbaru untuk siri permainan simulasi bola sepak mereka, pada tahun ini mereka bukan sahaja menawarkan pengalaman generasi baharu seperti FIFA 21, tetapi turut memperkenalkan teknologi iaitu HyperMotion yang dikhususkan untuk versi PlayStation 5 dan juga Xbox Series. Selain itu, mereka juga menyertakan pelbagai penambahan untuk mod lain seperti Career dan juga Volta.

Alan Wake Remastered

Remedy Entertainment/Epic Games | 5 Oktober 2021 | PlayStation, Xbox, PC

Alan Wake pertama kali dikeluarkan pada tahun 2010, dan ia adalah satu permainan seram yang sangat popular pada waktu itu. Terbatas dengan teknologi pada waktu itu, Remedy Entertainment telah membawa versi Remastered untuk permainan ini. Ia bukan sahaja memberi penambah-baikkan grafik, akan tetapi juga akan membawa ke lebih banyak platform iaitu PlayStation.

Far Cry 6

Ubisoft | 7 Oktober 2021 | PlayStation, Xbox, PC

Far Cry adalah satu lagi siri permainan oleh Ubisoft yang terus menerima sambutan, Ubisoft telah mengumumkan perancangan baharu untuk Assassin’s Creed, manakala untuk Far Cry, melalui permainan terbaru Far Cry 6 ini mereka tampaknya masih mengekalkan resipi yang sama tetapi dengan pelbagai penambahan. Kali ini, pemain akan bermain sebagai pejuang menentang diktator yang memerintah Kepulauan Yara.

Metroid Dread

Nintendo | 8 Oktober 2021 | Nintendo Switch

Pemain ternanti-nanti untuk Nintendo berkongsi lanjut mengenai Metroid Prime 4 yang sudah lama dibangunkan, tetapi dengan ia melalui pembangunan semula, Nintendo sebaliknya mengumumkan permainan Metroid yang berlainan iaitu Metroid Dread, ia adalah permainan sambungan kepada Metroid Fusion dan akan mengekalkan bentuk permainan secara side scroller.

Back 4 Blood

Turtle Rock Studios/Warner Bros | 12 Oktober 2021 | PlayStation, Xbox, PC

Left 4 Dead adalah satu permainan multi-pemain yang menjadi kegilaan pada suatu masa dahulu, dengan Valve tampaknya tidak berminat untuk membawa permainan baharu baginya, bekas-bekas pembangun permainan tersebut iaitu Turtle Rock Studios telah hadir dengan permainan sendiri iaitu Back 4 Blood. Ia mengekalkan kebanyakan bentuk permainan Left 4 Dead tetapi dengan pelbagai pembaharuan.

Marvel’s Guardians of the Galaxy

Eidos-Montreal/Square Enix | 26 Oktober 2021 | PlayStation, Xbox, PC

Selepas sambutan yang kurang baik untuk Marvel’s Avengers, Square Enix bakal mencuba nasib sekali lagi dan kali ini melalui IP Guardians of the Galaxy. Mereka juga kali ini membawa permainan aksi pengembaraan secara solo berbanding permainan ‘live-service’ untuk Avengers. Melalui perkongsian pelbagai bentuk permainan untuknya, ia sudah memperlihatkan potensi yang lebih baik berbanding Avengers.

Riders Republic

Ubisoft | 28 Oktober 2021 | PlayStation, Xbox, PC

Berbanding hadir dengan permainan baharu untuk siri Steep, Ubisoft telah beralih ke permainan baharu dengan genre yang sama iaitu Riders Republic. Dengan Steep memfokuskan kepada sukan lasak salji, Riders Republic pula lebih kepada sukan lasak beroda, tetapi juga menyertakan pelbagai sukan lain. Seperti Steep ia juga adalah satu permainan multi-pemain tetapi boleh melakukan kebanyakan aktiviti secara solo.

Mario Party Superstars

Nintendo | 29 Oktober 2021 | Nintendo Switch

Nintendo telah hadir dengan permainan baharu untuk Mario Party bagi Switch melalui Super Mario Party yang dikeluarkan pada 3 tahun lepas, melalui Mario Party Superstars pula, Nintendo akan membawa kembali pelbagai peringkat serta permainan mini daripada permainan-permainan Mario Party yang lepas, termasuk juga Mario Party pertama yang dikeluarkan untuk Nintendo 64 pada tahun 1998.

Selain 8 permainan yang kami senaraikan di atas, sudah semestinya terdapat juga permainan-permainan lain. Antaranya adalah Nickelodeon All-Star Brawls iaitu permainan seakan Super Smash Bros tetapi dengan watak-watak Nickelodeon, ia tiba pada 5 Oktober.

Terdapat juga Demon Slayer: Kimetsu no Yaiba – The Hinokami Chronicles bagi yang ingin mengikuti siri popular ini dalam bentuk permainan video. Ia akan dikeluarkan pada 15 Oktober. Bagi yang mengikut siri permainan The Dark Pictures pula, permainan terbaru iaitu House of Ashes akan dikeluarkan pada 22 Oktober.

Sohor Kini