Selepas Konami mengumumkan yang eFootball akan ditawarkan sebagai permainan percuma, ramai yang boleh dikatakan teruja dengan perubahan ekonomi untuk permainan ini, bahkan ada yang merasakan ia akan mencabar permainan oleh EA iaitu FIFA.

Namun, selepas Konami mengumumkan cara mereka akan melancarkan permainan ini, pelbagai pertanyaan hadir. Mengapa mempunyai kandungan terhad pada pelancaran? Adakah setiap kandungan tambahan akan dikunci di belakang dinding pembayaran?

Dengan kata lain, ramai yang mula menjangkakan eFootball mungkin menjadi satu kes “too good to be true”. Semua itu sekadar pertanyaan awal, dan tidak disahkan.

Konami akhirnya melancarkan eFootball secara rasmi dan kerisauan pemain bukan sahaja benar akan tetapi ia juga mempunyai pelbagai masalah lagi berbanding kandungan terhad. Bahkan, jika ia dilancarkan secara penuh, ia masih tidak dapat menyelesaikan masalah-masalah ini.

Semasa penulisan ini, eFootball adalah permainan dengan ulasan terburuk di Steam di mana ia menerima 10 ribu ulasan dengan skor ‘Overwhelmingly Negative’.

Antara masalah yang dikatakan oleh pemain adalah sistem kawalan terasa perlahan, pepijat grafik yang terlalu ketara, kualiti wajah yang sangat tidak sekata dan juga sesi perlawanan yang tidak realistik.

Ini menjadi satu kejutan kerana masalah-masalah ini tidak hadir untuk permainan PES sebelum ini, oleh itu ia adalah kerana sesuatu baharu yang diperkenalkan akan tetapi tidak mencapai kualiti yang memuaskan.

Konami sebelum ini ada mengatakan yang eFootball yang dilancarkan boleh dikatakan sebagai versi ‘demo’ sahaja, akan tetapi mereka memfokuskan kepada kandungan yang ada dan bukan masalah prestasi.

Mereka mengatakan yang tambahan kandungan akan tiba pada akhir tahun ini, adakah mereka sempat untuk memperbaiki masalah ini, hanya Konami yang tahu.

eFootball 2022 sudah dikeluarkan untuk PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series dan PC. Ia adalah permainan percuma dan menyertakan pembelian di dalam aplikasi.

Sohor Kini