BlueStacks iaitu penyedia pelagak untuk Android di PC telah melancarkan versi terbaru bagi perkhidmatan mereka iaitu BlueStacks X (dilaporkan oleh The Verge). Selain membolehkan pengguna untuk bermain permainan mudah alih di PC, ia kali ini juga boleh dimainkan secara terus melalui pelayar.

Fungsi terbaru ini adalah menggunakan teknologi awan mereka iaitu now.gg, sebarang permainan yang dimainkan melalui awan tidak akan memerlukan sebarang muat turun, dan boleh diakses melalui pelayar tidak kira di PC atau di telefon pintar seperti iPhone.

Menurut Tom Warren iaitu Editor untuk laman The Verge di Twitter, BlueStacks X juga boleh digunakan melalui pelayar Edge yang terpasang di Xbox membolehkan Xbox untuk bermain permainan Android.

Buat masa ini jumlah permainan yang menyokong sesi permainan melalui awan adalah terhad, namun BlueStacks mengatakan yang mereka akan menambah permainan baharu setiap minggu.

Permainan lain, masih boleh dimainkan tetapi memerlukan pemasangan aplikasi BlueStacks X dan juga pemasangan permainan itu sendiri.

Anda boleh cuba BlueStacks X melalui pautan ini.

Sohor Kini