Pandang Pertama Galaxy Tab S7 FE – Tablet S7 Yang Mesra Poket

Samsung telah melancarkan pilihan terbaru di dalam penawaran tablet Galaxy Tab S7, iaitu Galaxy Tab S7 FE ataupun ‘Fan Edition’. Model ini hadir untuk memberi pilihan yang lebih mesra dompet jika ingin dibandingkan dengan Galaxy Tab S7 dan juga Galaxy Tab S7+.

Galaxy Tab S7 FE ditawarkan dengan harga RM1899 untuk storan 64GB dan RAM 4GB atau RM2199 untuk storan 128GB dam RAM 6GB. Ia hadir dengan pilihan warna empat pilihan warna iaitu Mystic Black, Mystic Silver, Mystic Green and Mystic Pink.

Setiap pembelian juga akan disertakan dengan kerangka Galaxy Tab S7 FE Book Cover yang bernilai RM339 secara percuma.

Samsung telah menyediakan kami satu peranti Galaxy Tab S7 FE, iaitu model 128GB. Kami akan menguji tablet ini secara lanjut untuk mengetahui mengenai pengalaman bermain permainan mudah alih, artikel untuknya akan tiba dalam masa seminggu dua lagi dan buat masa ini berikut adalah pandang pertama mengenai Galaxy Tab S7 FE.

Apa Di Dalam Kotak

Selain tablet tersendiri, di mana model yang kami terima adalah warna hitam ataupun “Mystic Black”, ia juga menyertakan S Pen untuk digunakan bagi menulis nota, melukis atau mewarna dan juga sebagai penggunaan tatalan secara umum.

Ia juga hadir dengan pengecas 15W dan kabel USB. Bagi saya, ia sedikit mengecewakan kerana ia masih lagi menggunakan pengecas 15W sahaja, dan juga kabel USB ke Type-C, terutama saya sudah beralih sepenuhnya ke Type-C.

Seperti saya nyatakan di atas, jika anda membeli Galaxy Tab S7 FE ia juga akan disertakan bersama dengan kerangka Book Cover secara percuma, tetapi kami tidak menerimanya dan anda boleh lawat laman Samsung ataupun mana-mana cawangan mereka untuk melihatnya.

Spesifikasi

Galaxy Tab S7 FE hadir dengan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 778G yang boleh dikatakan sebagai cip kelas pertengahan. Model ditangan kami mempunyai storan 128GB dan 6GB RAM, seperti saya nyatakan di atas ia juga mempunyai pilihan 64GB dan 4GB RAM.

Dengan penggunaan cip ini dan juga 6GB RAM, saya boleh katakan ia memberikan prestasi yang memuaskan tetapi bukan dengan tetapan yang tinggi. Contohnya, tetapan Low/60FPS untuk Genshin Impact dan tetapan high untuk Pokemon Unite tanpa sebaran masalah untuk mendapatkan 60FPS.

Namun, ini adalah percubaan awal, dan saya akan kongsikan lebih lanjut apabila mencubanya dengan lebih lama melalui artikel yang berlainan.

Bagi storan, tidak kira anda mendapatkan model 128GB atau 64GB, ia menyokong penambahan storan melalui slot Mikro SD sehingga 1TB. Oleh itu, ia sepatutnya tidak memberikan sebarang masalah jika anda merasakan 64GB ataupun 128GB terlalu kecil.

Bagi skrin, ia mempunyai saiz 12.4″ dengan resolusi 2560 x 1600 ataupun WQXGA, dengan menggunakan panel TFT dengan kadar segar semula 60hz, ia tidak sebaik dengan pengalaman saya sebelum ini dengan beberapa peranti Samsung yang lain, terutama yang menggunakan AMOLED.

Pada percubaan awal, paparan yang diberikan sedikit mengecewakan untuk penggunaan biasa dan juga melayar laman Web ataupun perkhidmatan video, akan tetapi apabila sesuatu video ditetapkan dengan kualiti terbaik, paparan akan menjadi lebih baik, termasuk juga untuk permainan video.

Bagi kapasiti bateri, ia mempunyai saiz bateri yang memuaskan iaitu 10090 mAh, pada percubaan secara umum oleh saya dengan bermain beberapa permua, menonton video di Youtube dan Netflix serta melayar web, Galaxy Tab S7 FE bertahan sehingga 10 jam sebelum memerlukan pengecasan.

Rekaan

Dengan saiz skrin 12.4″, Galaxy Tab S7 FE adalah satu tablet yang agak besar, semasa saya memegangnya untuk bermain permainan mudah alih, ia tidak sangat janggal, ini ditambah lagi dengan tablet ini mempunyai berat 608 gram sahaja.

Namun, untuk sesi bermain yang lama saya masih mengesyorkan untuk menggunakan pendiri, ataupun menggunakan alat kawalan, dengan Android 11 dan juga permainan mudah alih menyokong kebanyakan alat kawalan utama ia adalah cara untuk bermain terbaik di tablet.

Kesemua butang terletak di bahagian atas jika menggunakan secara melintang, dan di bahagian tepi jika menggunakan secara menegak. Dengan cara penggunaan tablet adalah berbeza dengan telefon pintar, kedudukan butang ini tidak mempunyai sebarang masalah untuk diakses.

Jika anda seorang yang menggunakan S Pen, kerangka Book Cover akan mempunyai bahagian untuk menyimpannya, akan tetapi tablet sendiri juga mempunyai satu bahagian di bawah kamera di mana S Pen akan melekat menggunakan magnet.

Saya tidak mencadangkan ia dibiarkan di situ semasa di dalam beg, kerana sebarang sentuhan akan menjatuhkannya, tetapi cukup baik untuk penggunaan sementara.

Ia mempunyai dua speaker Stereo yang terletak di bahagian tepi ataupun atas dan bawah, seperti kebanyakan produk Samsung yang lain, ia juga ditetapkan oleh AKG dan pada percubaan awal saya, prestasi speaker adalah sangat baik. Ia adalah kuat dan jelas.

Kesimpulan

Samsung Galaxy Tab S7 FE adalah satu tablet pertengahan yang mempunyai pelbagai ciri untuk menjadikan ia satu tablet yang baik. Namun, ia masih lagi di dalam kelas pertengahan oleh itu tidak boleh menjangkakan prestasi yang tinggi untuk sebarang permainan mudah alih, setakat percubaan awal saya boleh katakan ia adalah seperti yang saya jangkakan.

Ini adalah pandang pertama sahaja, saya akan kongsikan satu lagi artikel yang akan memfokuskan kepada pengalaman bermain permainan mudah alih di tablet ini. Adakah ia satu tablet untuk para pemain?

Sohor Kini