Tahun ini boleh dikatakan yang tahun paling banyak untuk saya bermain permainan roguelite, terutama untuk tujuan ulasan.

Pada April lepas saya telah berkongsi ulasan untuk Returnal iaitu permainan roguelite yang dibangunkan oleh Housemarque secara eksklusif untuk PlayStation 5 dan pada bulan lepas pula saya telah kongsi ulasan untuk Hades yang baru sahaja dikeluarkan untuk PS5.

Hari ini saya ingin kongsikan pula ulasan untuk Deathloop iaitu satu lagi permainan yang dikeluarkan secara eksklusif bagi konsol untuk PS5, tetapi ia juga dikeluarkan untuk PC dan ulasan ini saya bermainnya di PC dan sedikit di PS5.

Deathloop dibangunkan oleh Arkane Studios iaitu studio di bawah Bethesda yang kini sebahagian daripada Xbox Game Studios. Ia telah dikeluarkan pada 14 September lepas. Oleh itu, sebelum saya mulakan ulasan ini, saya boleh katakan yang Xbox Game Studios mungkin baru sahaja mengeluarkan antara permainan terbaik untuk PS5 tahun ini.

Mati Itu Pasti

Deathloop adalah permainan roguelite, berdasarkan judul juga anda boleh jangkakan yang permainan ini akan menjadikan kematian sebagai sebahagian daripada bentuk permainan dan ia adalah benar. Setiap kali pemain mati, pemain akan kembali kepada permulaan dan perlu memulakan semula sesi permainan.

Namun, Deathloop menyertakan konsep yang lebih unik dan menjadikan ia berbeza dengan permainan roguelite yang lain. Bahkan, ia juga menjadikan permainan ini tidak terlalu terasa seperti permainan genre ini, tetapi lebih kepada permainan aksi pengembaraan.

Konsep asas untuk Deathloop adalah bagi menghabiskan permainan ini, pemain sebagai Colt perlu membunuh 8 watak ataupun “Visionary” yang setiapnya mempunyai kebolehan tersendiri yang dipanggil sebagai ‘Slab’. Oleh kerana dunia di dalam permainan ini hanya sehari sahaja, oleh itu apabila hari berakhir, seperti selepas mati, Colt akan kembali kepada permulaan.

Dengan kata lain, Colt mesti membunuh 8 Visionary tersebut dalam masa sehari, hari di dalam permainan ini dibahagikan kepada 4 masa iaitu pagi, tengah hari, petang dan malam. Selain itu, kawasan juga dibahagi kepada empat iaitu Updaam, Karl’s Bay, Fristad Rock, dan The Complex bersama dengan “Rest House” yang menjadi tempat untuk Colt bermula.

Pada satu masa tidak kira pagi ataupun petang, Colt hanya boleh berada di satu tempat sahaja, untuk pergi ke tempat yang berbeza, Colt mesti kembali ke Rest House dan masa akan berubah, contohnya jika pada waktu pagi Colt pergi ke Updaam, dan ingin pergi ke The Complex, Colt mesti kembali ke Rest House dan akan pergi ke The Complex pada waktu tengah hari.

Konsep yang terhad ini menjadikan keseluruhan permainan unik, kerana untuk membunuh kelapan-kelapan watak, Colt perlu mencari cara untuk melakukannya dalam sehari sedangkan watak-watak ini berada di tempat yang berbeza-berbeza.

Oleh itu, selain membunuh, Colt juga perlu menyiasat mengenai kedudukan untuk setiap watak-watak tersebut dan pada masa sama mencari cara untuk contohnya “memaksa” dua ataupun lebih watak untuk berada di satu tempat yang sama agar pembunuhan dapat dilakukannya secara serentak.

Lebih lama pemain bermain, dan meneroka, lebih pelbagai cara yang akan dijumpai. Sesuatu yang pada awalnya mustahil untuk dilakukan kini menjadi sesuatu yang boleh dilakukan, sesuatu yang sukar menjadi lebih mudah apabila perancangan dilakukan dari awal.

Kepelbagaian cara dan juga penceritaan yang dapat dijumpai dengan mengembara di dalam permainan ini yang menyebabkan saya lupa yang Deathloop adalah satu permainan roguelite, ia terasa seperti satu permainan aksi pengembaraan dengan pelbagai misi yang boleh dilakukan. Ia juga hadir dengan cabang misi yang pemain boleh jejak untuk mengetahui lanjut mengenai penceritaan serta seseorang Visionary dan juga mengenai senjata.

Bercakap mengenai penceritaan, ia juga mempunyai misteri yang menarik, yang meliputi misteri di sebalik mengapa “loop” ini berlaku, misteri mengenai perhubungan di antara Colt dengan Visionary lain yang akan terus berkembang sepanjang sesi permainan pemain.

Pelbagai Senjata Dan Kuasa

Selain mencari maklumat terbaru, pemain juga boleh berulang kali membunuh seseorang Visionary untuk mendapatkan “Slab” iaitu yang memberi kebolehan tertentu, contohnya untuk bergerak dengan pantas ataupun menjadi halimunan.

Selain itu, dengan membunuh konco-konco Visionary dan juga Visionary sendiri, pemain juga akan mendapat pelbagai jenis senjata yang setiapnya mempunyai kebolehan serta kekuatan tersendiri. Pemain juga boleh mendapatkan Trinkets yang akan memberi kuasa tambahan sama ada untuk digunakan oleh Colt ataupun untuk digunakan di senjata.

Kesemua barangan ini, slab, senjata serta trinket akan hilang apabila Colt mati ataupun hari berakhir kecuali kepada barangan yang telah di “Infuse”. Untuk melakukan Infuse, Colt perlu menggunakan Residuum yang boleh didapati daripada barangan tertentu dan juga dengan membunuh Visionary.

Residuum tidak boleh di bawah ke sesi baharu, oleh itu sebelum malam berakhir ia mesti digunakan jika tidak ingin terbazir. Hadirnya konsep Infuse yang bagi saya tidak terlalu kedekut membantu untuk menjadikan setiap sesi permainan lebih baik dan juga tidak menjadikan ia tidak terlalu ‘grindy’.

Penggunaan pelbagai slab, senjata dan trinkets juga menjadikan sesi pertempuran yang menarik. Jika anda pernah mencuba permainan Arkane sebelum ini seperti Dishonored dan Prey, ia sepatutnya memberikan perasaan yang sama jika tidak lebih baik kerana Deathloop mengalakkan anda untuk membunuh dengan apa-apa cara sekalipun.

Bagi saya cara paling terbaik adalah melakukan serangan secara menyelinap, dan terdapat pelbagai kuasa untuk melakukannya, akan tetapi jika berlakunya pertempuran senjata, ia masih lagi seronok dan terasa seperti satu permainan FPS walaupun ia akan menjadikan sesi permainan sedikit lebih sukar.

Colt vs Julianna

Julianna adalah salah seorang Visionary yang Colt perlu bunuh, namun, berbeza dengan Visionary lain, Julianna juga akan memburu Colt. Oleh itu, Julianna akan hadir secara rawak semasa sesi permainan Colt dan akan cuba untuk membunuh Colt.

Sebagai Colt, pemain boleh memilih untuk membuka sesi permainan secara dalam talian yang akan membolehkan pemain-pemain lain ‘menceroboh’ sesi dan cuba membunuh anda, ataupun membukannya kepada rakan sahaja (rakan di Steam dan PS), atau Single Player, yang akan menjadikan Julianna sebagai AI.

Oleh itu, secara langsungnya pemain juga boleh memilih untuk menjadi Colt, dan boleh memasuki dunia pemain lain secara rawak, ataupun rakan sahaja. Bermain sebagai Julianna akan memberikan bentuk permainan yang sedikit berbeza kerana anda kini memburu Colt, dan konco-konco penjahat akan membantu anda.

Pilihan ini boleh dilakukan pada awal membuka permainan, iaitu pemain boleh memilih “Break the Loop” untuk bermain sebagai Colt dan “Protect the Loop” untuk bermain sebagai Julianna. Pemain perlu bermain sebagai Colt terlebih dahulu sebelum Julianna dibuka.

Dengan bermain sebagai Julianna, pemain akan meningkatkan Hunter Rank yang antaranya membuka “Feats” iaitu misi yang boleh dilakukan oleh Julianna semasa memburu Colt, dan juga akan membuka kostum untuk Julianna dan juga Colt.

Semasa saya mencuba untuk memasuki dunia pemain lain secara rawak, ia sedikit sukar, dalam masa sejam-dua saya mencuba saya hanya dapat memasuki satu atau dua dunia pemain sahaja. Ini adalah benar untuk PC, dan juga untuk PS5 walaupun di PS5 ia lebih kerap.

Ini mungkin kerana masih ramai pemain yang mencuba permainan ini dan tidak membuka sesi kepada dalam talian. Ia mungkin akan bertambah baik selepas permainan ini dikeluarkan lebih lama, namun buat masa ini cara terbaik adalah mencari rakan untuk bermain bersama.

Sedikit Masalah Prestasi Di PC

Seperti pertempuran, Deathloop juga mempunyai rekaan grafik dan gaya yang lebih kurang dengan Dishonored, tetapi lebih ‘terang’ dan ‘ceria’ dengan penggunaan pelbagai warna. Rekaan setiap watak dilakukan dengan baik, efek senjata dan kuasa juga sangat menarik.

Namun, berdasarkan apa yang dipaparkan saya sedikit terkejut kerana permainan ini lebih berat berbanding apa yang saya jangkakan. Ia juga mempunyai kadar kelancaran yang tidak menentu di PC, saya juga mencuba di PS5 ia memberi prestasi yang lebih stabil walaupun di PC anda boleh dapatkan tetapan yang lebih cantik.

PC saya mempunyai spesifikasi seperti berikut;

  • CPU: AMD Ryzen 5 3600
  • GPU: NVIDIA Geforce RTX 2060
  • RAM: 16GB

Bagi Deathloop saya mencuba dan merasakan yang tetapan Medium adalah yang terbaik untuk tidak mengorbankan kualiti grafik tetapi pada masa sama memberi kelancaran yang baik. Jika tidak dihadkan, kadar kelancaran adalah di antara 60 sehingga 100 FPS, ia sangat tidak menentu oleh itu saya merasakan menghadkan kepada 60 FPS adalah terbaik untuk mendapat sesi permainan yang lebih stabil.

Kadar kelancaran yang tidak stabil ini berlaku dengan sangat rawak, ada masa tempat yang sama memberikan FPS lebih rendah dan ada masa lebih tinggi, oleh itu saya merasakan di PC ia masih mempunyai masalah optimasi yang boleh diperbaiki oleh Arkane.

Ada pemain yang menyalahkan Denuvo iaitu sistem yang menghalang cetak rompak, akan tetapi saya merasakan ia bukanlah penyebab utama kerana terdapat banyak permainan lain yang menggunakan Denuvo tidak mempunyai masalah yang sama.

Jika anda ingin mendapatkan permainan di PS5, saya boleh katakan di dalam sesi singkat saya mencuba permainan ini, ia dalam keadaan yang baik. Oleh itu, saya jangkakan Deathloop tidak akan mempunyai sebarang masalah di konsol tersebut.

Kesimpulan

Deathloop adalah satu permainan yang sangat menarik dan unik, ia membawa konsep yang lebih segar untuk genre roguelite, jika anda tidak menyukai genre ini sebelum ini, saya sangat mengesyorkan untuk anda mencuba Deathloop kerana berbanding terlalu memfokuskan kepada membunuh sasaran, Deathloop lebih kepada permainan pengembaraan untuk mencari cara terbaik.

Ini ditambahkan lagi penceritaan menarik mengenai misteri yang berlaku di pulau Blackreef, dan juga misteri perhubungan di antara Colt dengan Visionary. Berbanding sekadar permainan yang memerlukan pemain mencuba dan terus mencuba, Deathloop adalah permainan yang memerlukan pemain untuk merungkai kepelbagai misteri di dalamnya.

Permainan ini mungkin akan menjadi satu kebiasaan untuk genre roguelite selepas ini, dan saya sangat menyukai prospek tersebut. Akhir kata, Xbox Game Studios telah mengeluarkan salah satu permainan terbaik untuk PlayStation 5.

Penafian: Kod permainan Deathloop untuk PS5 dan PC (Steam) disediakan oleh Bethesda bagi tujuan ulasan ini.

Deathloop
Deathloop membawa satu konsep yang menarik untuk genre permainan roguelite. Ia bukan sahaja menjadikan satu sei permainan menarik tetapi juga segar
Positif
Konsep Permainan Yang Unik
Bentuk Pertempuran Menyeronokkan
Penceritaan Yang Baik
Negatif
Masalah Prestasi Di PC
Sukar Untuk Matchmaking
9

Sohor Kini