Seperti yang diumumkan ketika persidangan Ubisoft Forward di E3 pada bulan Jun lepas, Ubisoft akhirnya mengumumkan yang Discovery Tour: Viking Age untuk Assassin’s Creed akan dilancarkan pada 19 Oktober 2021 untuk setiap platform Valhalla dikeluarkan.
Ia adalah percuma untuk pemilik Assassin’s Creed Valhalla, dan buat pertama kali ia juga ditawarkan secara kendiri dengan harga RM65. Buat masa ini versi kendiri hanya dilancarkan untuk PC dengan versi konsol akan tiba pada awal tahun depan.
Melalui Discovery Tour, pemain boleh mengembara di dalam dunia Assassin’s Creed Valhalla, namun ia tidak akan menyertakan perlawanan ataupun penceritaan, tetapi memfokuskan kepada pembelajaran dan informasi mengenai Viking.
Mereka telah bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk memberi informasi yang terbaik, antaranya adalah Hampshire Cultural Trust, The British Library, The National Museum of Denmark dan Preston Park Museum & Grounds.