Pada minggu lalu, kerajaan China telah mengehadkan waktu bermain permainan video atas talian ke tiga jam seminggu sahaja di hujung minggu. Langkah tersebut dibuat untuk mengekang ketagihan permainan video di kalangan kanak-kanak di sana.

Terkini, ia turut dilaporkan bahawa kerajaan tersebut akan memperlahankan proses pengesahan permainan video untuk tujuan yang sama. Sebuah perjumpaan telah diadakan diantara pihak kerajaan dan badan penyelia permainan, iaitu National Press and Publication Association (NPPA), mereka sebulat suara berkata ia akan dilakukan serta-merta, secara ringkasnya membekukan proses pengesahan permainan video baru.

Langkah ini dilihat akan memberi kesan yang agak serius kepada syarikat-syarikat seperti Tencent dan NetEase, khususnya kerana buat mereka, China merupakan pasaran permainan video terbesar mereka setakat ini. Jika had permainan tiga jam seminggu sebelum ini dilihat agak kasar buat garis keuntungan syarikat-syarikat tersebut, melihat projek akan datang mereka terbengkalai sebegini pastinya cukup sukar buat mereka.

Walaupun China kini dilihat sebagai pasaran permainan video terbesar di dunia sekarang dan akan merumahkan sejumlah permainan komputer di acara Sukan Asia 2022 kelak, mereka tidak teragak-agak untuk melakukan tindak drastik seperti ini untuk memperbaiki mutu mental dan sosial kanak-kanak di negara tersebut supaya tidak terlalu taksub dan ketagih dengan permainan-permainan ini.

Sumber: South China Morning Post

Sohor Kini