Selain menjadi sebahagian pasaran untuk industri permainan video, Malaysia juga mempunyai industri pembangunan video yang tersendiri. Ia bukan sahaja melalui studio-studio tempatan, tetapi juga pelbagai studio luar negara yang telah memilih Malaysia sebagai salah satu destinasi untuk cawangan mereka.

Bersempena dengan minggu Hari Malaysia ini, berikut adalah 5 studio permainan video luar negara yang mempunyai cawangan di Malaysia;

Sony Interactive Entertainment

Sony Interactive Entertainment Worldwide Studios yang juga dikenali sebagai PlayStation Studios tidak perlu diperkenalkan lagi. Mereka bertanggungjawab untuk hadir dengan pelbagai permainan pihak pertama bagi konsol PlayStation.

Buat masa ini, di bawah mereka terdapat lebih kurang 18 studios seperti Insomniac Games, Guerrilla Games, Naughty Dogs dan yang baru sahaja ditubuhkan pada tahun lepas adalah SIE Worldwide Studios Malaysia yang diketuai oleh Hasnul Hadi.

SIE Worldwide Studios Malaysia ini akan memberikan perkhidmatan untuk menghasilkan seni serta animasi bagi permainan-permainan SIE yang lain dan juga membangunkan permainan secara eksklusif untuk PlayStation.

Double Eleven

Double Eleven adalah studio pembangun dan penerbit permainan video yang ditubuhkan pada tahun 2009 di England, mereka sebelum ini telah hadir dengan permainan seperti Minecraft Dungeons, Rust, Prison Architect dan Goat Simulator.

Mereka juga mengumumkan cawangan di Malaysia pada tahun lepas dan ia diketuai oleh Ian Ng. Menurut Double Eleven mereka memilih untuk membuka cawangan di Malaysia kerana memudahkan mereka untuk mendapat akses kepada bakat-bakat baru dan berkualiti di rantau Asia.

Selain itu, mereka juga ingin mengambil kesempatan dengan pasaran permainan video di rantau Asia yang semakin meningkat setiap tahun. Kami sebelum ini berkesempatan untuk melakukan temubual bersama CEO Double Eleven Mark South yang anda boleh tonton di bawah.

Larian Studios

Larian Studios merupakan studio permainan video yang sudah lama bertapak di dalam industri ini, ditubuhkan sejak tahun 1996 di Belgium, mereka telah hadir dengan pelbagai permainan popular seperti Divinity Original Sin dan yang akan datang Baldur’s Gate III.

Pada tahun 2019, mereka telah mengumumkan pembukaan cawangan baharu di beberapa negara termasuk juga di Malaysia. Buat masa ini mereka masih lagi mencari pembangun untuk mengisi pelbagai jawatan di studio Malaysia ini.

Mereka sebelum ini mengumumkan yang merancang untuk mempunyai 50 pekerja di cawangan Malaysia, yang akan terlibat dengan pembangunan permainan mereka termasuk juga Baldur’s Gate III.

Bandai Namco

Bandai Namco adalah satu nama yang besar di dalam industri permainan video dan telah terlibat di dalam industri ini lebih 60 tahun melalui syarikat Namco dan selepas mengambil alih Bandai, mereka menjadi Bandai Namco pada tahun 2006.

Bandai Namco Malaysia adalah antara studio permainan video terawal yang ditubuhkan di Malaysia iaitu sejak tahun tahun 2016 lagi.

Buat masa ini mereka tidak mempunyai permainan tersendiri akan tetapi telah membantu membangunkan pelbagai permainan Bandai Namco seperti Tekken 7, Soul Calibur VI, God Eater 3 dan Code Vein.

Streamline Media Group

Streamline Media Group mempunyai perhubungan yang unik dengan Malaysia, walaupun ia ditubuhkan pada tahun 2001 di Belanda akan tetapi sekarang kebanyakan studio mereka bertempat di Malaysia, oleh itu kami juga boleh katakan yang mereka adalah syarikat tempatan.

Namun secara teknikal, kami menganggap mereka adalah studio luar negara yang telah menjadikan Malaysia sebagai rumah utama. Mereka mempunyai beberapa studio seperti All Pixels, Streamline Studios, Streamline Game, Day Zero dan Streamframe yang kesemuanya bertempat di Malaysia.

Mereka telah terlibat dengan pelbagai permainan termasuk juga permainan mercu seperti Death Stranding, Oddworld Soulstrom, dan Little Nightmare II. Mereka juga mempunyai permainan sendiri seperti Bake N’ Switch dan Nightstream.

Sohor Kini