Pergaduhan di antara Epic Games dan Apple bermula pada Ogos tahun lepas yang anda boleh baca secara lanjut melalui artikel – Epic Games Berperang Dengan Apple Dan Google, namun secara ringkasnya Epic Games telah menyertakan pembelian V-Bucks di dalam Fortnite yang tidak melalui App Store dan juga Play Store untuk Android.
Tidak lama selepas itu, Apple dan juga Google membuang Fortnite daripada gedung mereka dan kemaskini untuknya tidak lagi boleh diberikan kepada pemain.
Bagi Android ia tidak menjadi masalah besar kerana Fortnite masih lagi boleh dipasang melalui aplikasi Epic Games Store yang boleh dimuat secara terus ataupun gedung pihak ketiga seperti Samsung Galaxy Store. Berlainan untuk Apple kerana Epic Games tidak mempunyai cara yang lain untuk menyediakan Fortnite bagi pengguna iOS.
Tidak lama kemudian, Epic Games telah membawa kes ini ke mahkamah, di mana pembicaraan untuknya hanya bermula pada bulan Mei lepas dan minggu ini keputusannya dibacakan oleh hakim.
Untuk mengetahui sama ada keputusan mahkamah berpihak kepada Apple ataupun Epic Games, kita harus melihat apa yang tuntutan oleh Epic Games. Terdapat pelbagai tuntutan, akan tetapi berikut adalah yang besar;
Hakim Gonzales Rogers telah membaca keputusan untuk kes ini dengan mengatakan yang Apple berhak untuk membuang Fortnite daripada App Store kerana Epic Games melanggar polisi App Store secara sengaja. Beliau juga mengatakan yang praktis yang dilakukan oleh Apple tidak melanggar peraturan anti-monopoli.
Oleh itu, tuntutan Epic Games untuk menyertakan Fortnite semula di App Store ditolak, dan mereka terpaksa menunggu untuk Apple membuka pintu untuk ia berlaku. Selain itu, Epic Games juga terpaksa membayar pampasan kepada Apple iaitu sebanyak 30% daripada jumlah yang diperoleh semasa Fortnite menyertakan pembayaran secara terus pada bulan Ogos tahun lepas.
Tuntutan untuk Apple dikatakan melanggar peraturan anti-monopoli juga tidak berjaya, oleh itu Apple masih lagi berhak untuk menghalang mana-mana aplikasi untuk menyertakan pembayaran secara terus tanpa melalui App Store.
Namun, sesuatu yang boleh dikatakan sebagai kemenangan kecil adalah mahkamah juga mengarah Apple untuk membolehkan mana-mana aplikasi meletakkan pautan ataupun kenyataan yang membolehkan pengguna melakukan pembelian ataupun pembayaran di luar dan tidak melalui App Store.
Epic Games melalui pengasasnya Tim Sweeney sudah mengatakan yang keputusan mahkamah adalah kegagalan untuk mereka oleh itu mereka sudah semestinya akan melakukan rayuan. Selain itu, selain di Amerika Syarikat, Epic Games juga telah memfailkan saman terhadap Apple di negara-negara lain. Dengan kata lain pergaduhan di antara Epic Games dan Apple belum selesai.
Manakala Apple pula mengeluarkan kenyataan yang mengatakan mereka gembira dengan keputusan mahkamah tersebut dan menegaskan yang mereka tidak melakukan sebarang praktis yang melanggar peraturan anti-monopoli. Mengenai membolehkan aplikasi meletakkan pautan ke pembayaran luar, Apple tidak memberi kenyataan lagi tetapi perkara yang sama sudah dilakukan untuk aplikasi yang dikatakan sebagai “reader app”.