Marvel’s Avengers adalah permainan yang boleh dikatakan menerima penerimaan yang bercampur, ada yang menyukainya ada yang tidak. Namun, dari segi kewangan, Marvel’s Avengers sebelum ini dilaporkan masih lagi membawa kerugian kepada Square Enix.

Dengan permainan ini menyambut ulang tahun pertama bulan ini, Square Enix dan juga Crystal Dynamics menegaskan yang mereka masih lagi percaya dengan permainan ini dan akan terus memberi sokongan untuknya dengan pelbagai kandungnan baharu.

Selain berkongsi mengenai pelbagai cabaran yang dihadapi oleh mereka serta beberapa nombor yang memperlihatkan aktiviti dilakukan oleh pemain sepanjang tahun lepas (anda boleh baca secara penuh di pautan ini), mereka juga berkongsi mengenai perancangan kandungan tambahan sepanjang tahun ini.

Pada bulan lepas, mereka sudah melancarkan penambahan War for Wakanda yang akan menjadi penambahan utama terakhir untuk tahun pertama ini. Pada bulan ini mereka akan melakukan pelbagai aktiviti komuniti termasuk juga untuk menyambut ulang tahun pertama di mana pemain boleh dapatkan kostum Iron Man dan Thor secara percuma.

Sepanjang tahun ini, mereka juga akan membawa kostum-kostum baharu berdasarkan Marvel Cinematic Universe dan bermula dengan watak baharu iaitu Black Panther.

Pelbagai acara sebelum ini juga akan kembali seperti Red Room Takeover, Tachyon Anomaly dan Cosmic Threat. Mereka juga akan buat pertama kali menyertakan Raid iaitu Klaw Raid untuk pemain Power Level 150 sehingga 175. Ia akan menjadi penamat untuk kisah Kalue di dalam War for Wakanda.

Bagi pemain di PlayStation, watak Spider-man juga masih lagi akan tiba pada akhir tahun ini, namun masih tiada tarikh tetap untuknya.

Tahap Power Level juga akan dipertingkatkan dan bersama dengannya pemain boleh meningkatkan tahap Gear untuk menyamai dengan Power Level baharu agar pemain dapat terus menggunakan gear yang mereka gemari.

Crystal Dynamics juga mengatakan yang perancangan untuk tahun 2022 akan dikongsi apabila mereka sudah bersedia dan menegaskan yang terdapat pelbagai lagi kandungan yang akan tiba di masa hadapan.

Marvel’s Avengers sudah dilancarkan untuk PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series, dan PC. Untuk ulasan anda boleh layari pautan ini; Ulasan Marvel’s Avengers – Berpotensi Tetapi Mengecewakan.

Sohor Kini