E1 Championship merupakan kejohanan lumba kereta yang dianjurkan oleh Axle Motosports. Tahun ini, mereka telah dan sedang menganjurkan E1 Championship Untuk Musim 2, yang juga tahun ketiga untuk penganjuran kejohanan ini.

Bersempena dengan musim baharu ini, kami berpeluang untuk melakukan temubual bersama dengan tiga individu penting di dalam kejohanan ini iaitu Alex Yoong iaitu pengasas untuk Axle Motospors, Naquib Azlan yang menjadi juara pada tahun pertama kejohanan dan Kalen Chin antara pelumba termuda di dalam kejohanan ini.

Alex Yoong

Bagi yang mengikuti arena lumba kereta, Alex Yoong ataupun nama penuh beliau Alexander Charles Yoong Loong sudah semestinya seorang yang dikenali. Beliau merupakan pelumba kereta yang terlibat dengan pelbagai kejohanan antarabangsa termasuk juga untuk F1 pada tahun 2001 dan 2002, kini beliau fokus untuk mengembangkan lagi arena perlumbaan simulasi di Malaysia dan juga Asia Tenggara.

Soalan: E1 Championship memasuki musim ketiga pada tahun ini, selama penganjuran ini apa pendapat Alex Yoong mengenai penerimaan untuk kejohanan perlumbaan simulasi?

Industri perlumbaan simulasi telah berkembang dengan baik untuk dua tahun lepas dengan pelbagai kejohanan akan datang. Selain itu, pasukan dan pelumba di benua ini juga telah menjadi semakin baik. Pelumba-pelumba di dalam E1 sendiri seperti Naquib Azlan dan Aleef Hamilton telah memenangi kejohanan di Eropah, membuktikan yang kualiti pelumba di Asia Tenggara semakin baik.

Soalan: Pada tahun ini, kos pendaftaran untuk E1 Championship memperlihatkan penurunan, adakah di masa hadapan kejohanan ini tidak lagi mempunyai kos pendaftaran?

Kita boleh lihat ia akan terus menurun apabila lebih banyak tajaan diterima oleh kejohanan ini.

Soalan: Pada tahun ini, E1 Championship akan menggunakan platform iRacing berbanding Raceroom seperti dua musim sebelum ini, mengapa perubahan ini berlaku?

RaceRoom adalah satu platform yang sangat baik dan kami juga menyukainya. Kami membuat keputusan untuk menukar platform agar dapat memberikan lebih banyak cabaran kepada pasukan dan juga pelumba.

Soalan: Apa yang boleh dilakukan oleh kerajaan dan juga syarikat tempatan untuk menyokong industri perlumbaan simulasi?

Sudah terdapat banyak wang ringgit yang diumumkan untuk esukan, akan tetapi saya tidak tahu kemana ia dibelanjakan? Mungkin soalan ini lebih baik ditanya ke kerajaan?

Soalan: Apa harapan Alex Yoong untuk E1 Championship musim dua ini?

Untuk melihat ia menjadi kejohanan terbesar bagi perlumbaan simulasi secara global.

Naquib Azlan

Naquib Azlan merupakan salah seorang pelumba yang terlibat dengan E1 Championship untuk tahun ini dan juga untuk dua tahun lepas. Beliau telah memenangi E1 Championship untuk tahun pertama, dan mendapat tempat kedua bagi musim lepas. Tahun ini beliau sekali lagi bersama dengan Stratos Motosports untuk merebut kejuaraan bagi tahun ini.

Soalan: Tahun lepas, anda telah mendapat tempat kedua, bagaimana persediaan tahun ini untuk mendapat semula tempat pertama?

Persedian tahun ini berganda jika ingin dibandingkan dengan tahun lepas, ia juga disebabkan perubahan platform yang digunakan iaitu kepada iRacing. Jadi buat masa ini sedang cuba untuk menyesuaikan diri dengan platform tersebut sebaik mungkin.

Soalan: Bagaimana anda dan rakan sepasukan bekerjasama? Adakah terdapat pelumba 1 dan pelumba 2 seperti di dalam F1?

Saya tidak merasakan akan terdapat konsep pelumba 1 dan pelumba 2 di dalam pasukan ini. Ketua kumpulan kami James Russell memberikan perhatian yang sama kepada setiap pelumba yang bagi saya adalah sangat baik. Namun, jika hadir situasi di mana seorang pelumba perlu memberi laluan, matlamat pasukan akan menjadi keutamaan.

Soalan: Bagi anda secara peribadi, kejayaan individu ataupun pasukan yang lebih penting?

Secara peribadi ia adalah kedua-duanya. Memenangi ‘Team Championship’ adalah sangat penting kerana tanpa pasukan saya tidak mempunyai peluang untuk berlumba di dalam kejohanan ini, dan memenangi kejohanan adalah cara terbaik untuk membalasnya. Jelasnya juga memenangi kejohanan secara individu juga adalah sasaran yang penting untuk membuktikan saya adalah terbaik di luar sana.

Soalan: Apa perasaan anda mengenai perubahan yang dilakukan pada tahun ini iaitu penggunaan platform iRacing berbanding Raceroom, adakah perlu melakukan perubahan di dalam persedian?

Persedian bagi saya adalah lebih kurang sama jika tidak lebih daripada tahun lepas. iRacing memerlukan gaya pemanduan yang berbeza berbanding Raceroom seperti mana ia berbeza dengan permainan-permainan lain. Oleh itu sasaran utama sekarang adalah untuk membiasakan diri dan selepas itu ia adalah seperti biasa. Setiap perlumbaan kami melakukan persediaan untuk menang.

Kalen Chan

Manakala Kalen Chan adalah antara pelumba termuda yang terlibat di dalam kejohanan ini iaitu berumur 14 tahun. Beliau berasal dari Australia tetapi menetap di Singapura. Beliau mendapat tempat keenam pada musim sulung, dan berjaya mempertingkatkan kedudukan pada tahun lepas dengan mendapat tempat ketiga, beliau kembali lagi pada tahun ini bersama dengan pasukan Blackwolf.

Soalan: Pengenalan diri dan juga bagaimana bermulanya terlibat dengan kejohanan perlumbaan simulasi?

Saya berasal dari Australia dan menetap di Singapura. Saya berumur 14 tahun dan melakukan perlumbaan simulasi hampir setiap hari. Secara amnya saya sangat menyukai arena sukan pemotoran dan mempunyai impian untuk menjadi juara dunia F1. Saya mula terlibat dengan perlumbaan simulasi melalui acara, iaitu Formula 1 Pit di Singapura, ia adalah kejohanan yang menggunakan Raceroom dan saya sangat menyukainya. Sejak daripada itu saya menyertai lebih banyak kejohanan dan mencuba pelbagai platform lain seperti Assetto Corsa, iRacing, RFactor2 dan Kartkraft.

Soalan: Tahun lepas, anda telah mendapat tempat ketiga, bagaimana persediaan tahun ini untuk mendapat semula tempat pertama?

Bagi saya melakukan persediaan bersama dengan pasukan adalah satu permulaan yang baik. Maksud saya menjalinkan hubungan yang baik dengan Mika dan membantu untuk mendapatkan tetapan yang terbaik. Selain itu, perhubungan dengan DRS Wave Italy (syarikat yang saya mempunyai kontrak untuk bermula kejohanan ini) juga penting – individu seperti Marco Zipoli, Adrian Falcon dan ramai lagi. Dan saya rasakan jika terus berlatih kami mampu untuk mencapai tempat terbaik.

Soalan: Bagaimana anda dan rakan sepasukan bekerjasama? Adakah terdapat pelumba 1 dan pelumba 2 seperti di dalam F1?

Saya mempunyai kerjasama yang baik dengan Mika. Kami bukan sahaja berkerjasama di dalam kejohanan E1 tetapi juga untuk kejohanan F3. Oleh itu di dalam kejohanan ini kami merasakan sudah mempunyai satu perhubungan yang baik. Saya tidak merasakan terdapat pelumba 1 dan pelumba 2. Ia masih lagi bergantung kepada siapa terpantas di dalam sesuatu litar. Kami mempunyai tetapan yang sama, oleh itu siapa yang lebih pantas akan mendapat tempat yang lebih baik.

Soalan: Bagi anda secara peribadi, kejayaan individu ataupun pasukan yang lebih penting?

Bagi saya, memenangi Team Championship adalah kejayaan yang lebih baik secara keseluruhannya. Ia memerlukan dua orang pelumba untuk sentiasa mendapat sekurang-kurangnya lima teratas untuk berpeluang memenanginya, ia tidak boleh dimenangi dengan seorang pelumba yang menang banyak pusingan dan memenangi Driver Championship akan tetapi rakan pasukan berada di tempat yang kurang baik. Untuk memenangi Team Championship ia memerlukan prestasi yang mapan daripada kedua-dua pelumba, oleh kerana itu saya merasakan Team Championship adalah kejayaan yang lebih baik.

Soalan: Apa perasaan anda mengenai perubahan yang dilakukan pada tahun ini iaitu penggunaan platform iRacing berbanding Raceroom, adakah perlu melakukan perubahan di dalam persedian?

Saya merasakan persedian adalah lebih kurang sama. Meluangkan masa untuk melakukan penetapan adalah sama jika tidak lebih lama kerana iRacing mempunyai sistem yang lebih rumit berbanding RaceRoom. Saya juga sudah berpengalaman menggunakan iRacing di mana saya sudah mencubannya sejak Oktober lepas. Oleh itu ia tidak menjadi masalah yang besar untuk saya.

Soalan: Sebagai antara pelumba termuda di dalam kejohanan ini adakah ia memberi tekanan yang lebih kepada anda?

Sejujurnya, perbezaan umur tidak memberi tekanan semasa saya memandu. Bahkan, ia memberi saya lebih motivasi untuk menang kerana perasaan memenangi E1 Championship dan mengalahkan yang mungkin berumur dua kali ganda. Oleh itu, ia tidak memberi tekanan kepada saya tetapi memberi lebih semangat untuk saya menang.

E1 Championship Musim 2 sudah pun bermual di mana pusingan pertama berlangsung pada 25 Ogos dan pusingan kedua pada 1 September lepas. Pusingan seterusnya adalah pada 15 September 2021. Anda boleh layari pautan ini untuk jadual penuh.

Kejohanan E1 Championship boleh ditonton secara langsung di laman Facebook E1 Championship dan channel eGG Network di Astro.

Sohor Kini