Valve sebelum ini telah mengumumkan secara rasmi yang mereka akan menyertai industri pengeluaran konsol melalui Steam Deck. Ia adalah konsol mudah alih yang boleh memainkan permainan untuk PC.

Namun, Steam Deck adalah konsol yang menggunakan sistem operasi Linux dan kebanyakan permainan di Steam dihasilkan untuk PC yang menggunakan sistem operasi Microsoft Windows.

Valve telah menggunakan Proton iaitu lapisan keserasian yang membolehkan permainan untuk Windows boleh dimainkan di Linux, dan Steam Deck telah menggunakan teknologi yang sama.

Oleh kerana ia dikeluarkan oleh Valve, dan berdasarkan beberapa laporan, ramai yang bersangka ataupun berharap yang Steam Deck boleh memainkan kesemua permainan yang terdapat di Steam.

Menurut James B. Ramey (dilaporkan oleh Rock Paper Shotgun) iaitu Presiden untuk CodeWeavers yang membangungkan Proton bersama dengan Valve, tidak kesemua permainan di Steam boleh dimainkan secara terus di Steam Deck.

Ada kemungkinan yang sesuatu permainan masih lagi perlu dilakukan penambah-baikkan, termasuk juga oleh pembangun Proton sendiri. Menurut laman ProtonDB, buat masa ini ia menyokong sehingga 16 ribu permainan dan bertambah dari semasa ke semasa.

Sohor Kini