10 Permainan Menarik Untuk Bulan September 2021

September adalah bulan terakhir untuk suku ketiga tahun ini, berdasarkan pada tahun-tahun lepas, bulan September adalah antara bulan yang menjadi pilihan untuk penerbit mengeluarkan permainan mercu mereka. Namun, bagi tahun ini seperti bulan-bulan lain ia sedikit mengecewakan. Terdapat pelbagai permainan yang telah ditunda ke beberapa bulan lebih lewat dan ada juga yang terus ke tahun depan.

Namun, ia tidak bermakna yang tiada permainan baharu, bulan September pemain akan diberikan pelbagai pilihan permainan, ada permainan baharu daripada siri terkenal seperti Life is Strange, NBA 2K dan juga Tales. Terdapat juga IP baharu seperti Deathloop dan eFootball walaupun ia adalah penjenamaan semula sahaja.

Oleh itu, berikut adalah 10 permainan menarik untuk bulan September 2021.

WRC 10

KT Racing/Nacon | 2 September 2021 | PS, Xbox, PC

Sebagai permainan rasmi untuk kejohanan World Rally Championship, WRC 10 menyertakan kesemua pusingan untuk kejohanan tersebut, termasuk juga lokasi baharu seperti Estonia, Crotia, Belgium dan Sepanyol menjadikan 12 tempat kesemuannya. Menyambut ulang tahun ke-50 kejohanan World Rally Championship, WRC 10 juga menyertakan mod untuk pemain mengalami sendiri perlumbaan-perlumbaan klasik.

Pathfinder: Wrath of the Righteous

Owlcat Games/Koch Media | 2 September 2021 | PC

Pathfinder adalah permainan yang merupakan adaptasi kepada RPG berjudul sama, permainan pertama iaitu Kingmaker dilancarkan pada tahun 2018, dan Pathfinder: Wrath of the Righteous walaupun satu permainan susulan akan tetapi ia membawa penceritaan yang berbeza dengan permainan pertama. Wrath of the Righteous juga melakukan pelbagai penambah-baikkan untuk mempertingkatkan kualiti berbanding Kingmaker.

Life is Strange: True Colors

Deck Nine Games/Square Enix | 10 September 2021 | PS, Xbox, Switch, PC

Life is Strange: True Colors sekali lagi memperkenalkan kepada watak dan kawasan baharu, akan tetapi ia masih mengekalkan sesuatu yang menjadi siri ini unik iaitu watak yang mempunyai kuasa. Seperti Life is Strange pertama dan berbeza dengan Life is Strange kedua, True Colors menjadikan watak yang pemain kawal mempunyai kuasa Empati iaitu pemain boleh mengetahu emosi watak lain, termasuk juga mengubahnya. Ia juga menjadi permainan pertama untuk Life is Strange yang tidak dilancarkan secara berepisod.

NBA 2K22

Visual Concept/2K | 10 September 2021 | PS, Xbox, Switch PC

Dengan EA masih lagi tidak mengumumkan NBA Live yang baharu, NBA 2K22 akan terus menjadi permainan simulasi bola keranjang utama di pasaran. Melalui edisi tahun ini, ia akan menjadi yang kedua dilancarkan untuk konsol generasi terkini. Pada edisi lepas, ia telah membawa peningkatan yang baik dan menjanjikan sesuatu yang lebih baik untuk kali ini.

Lost in Random

Zoink Games/EA | 10 September 2021 | PS, Xbox, Switch, PC

Selepas mengeluarkan Fe pada tahun 2018, Zoink Games sekali lagi bekerjasama dengan EA untuk hadir dengan permainan Lost in Random. Di dalam permainan ini ia banyak memfokuskan kepada sistem rawak, dan juga pertempuran menggunakan kad. Pemain akan mengawal seorang watak bernama Even yang cuba menyelamatkan kakaknya Odd yang telah diculik oleh Permaisuri untuk dunia World of Random.

Tales of Arise

Bandai Namco | 10 September 2021 | PS, Xbox, PC

Tales of Arise akan menjadi permainan ketujuh belas di dalam siri ini, dan ia adalah pertama kali untuk permainan Tales dilancarkan untuk konsol generasi terkini. Ia juga adalah permainan baharu untuk Tales setelah sekian lama iaitu lebih 5 tahun selepas Tales of Berseria dikeluarkan. Di dalam Tales of Arise, terdapat dua dunia iaitu Dahna dan Rena, oleh kerana Rena lebih maju, Dahna sering menjadi tempat untuk mendapatkan sumber sahaja. Pemain akan mengawal watak Alpenh yang berasal dari Dahna dan Shionne dari Rena.

Deathloop

Arkane Lyon/Bethesda Softworks | 14 September 2021 | PS5, PC

Siri Dishonored merupakan antara permainan aksi yang sangat menarik terutama dengan sistem pertempuran yang disertakan. Melalui Deathloop, Arkane dan Bethesda membawa sistem tersebut ke dalam satu permainan baharu yang boleh dikatakan sebagai roguelike. Di dalam permainan ini, pemain akan menjadi seorang pembunuh dan perlu membunuh kesemua 8 sasaran, jika pemain mati, pemain akan bermula semula.

Kena: Bridge of Spirits

Ember Lab | 21 September 2021 | PS, PC

Kena adalah permainan yang menarik minat kami sejak pertama kali ia diumumkan lagi, terutama dengan rekaan grafik yang diperlihatkan. Di dalam permainan ini, pemain akan mengawal Kena yang akan mengembara dan melawan pelbagai penjahat menggunakan tongkat ajaibnya, yang juga boleh diubah menjadi panah. Kena juga akan ditemani oleh Rot yang boleh dihias dan juga digunakan di dalam permainan seperti menggerakkan barang dan juga menjadi pertahanan.

Diablo II: Resurrected

Blizzard | 23 September 2021 | PS, Xbox, Switch, PC

Diablo II boleh dikatakan sebagai permainan Diablo terbaik, bahkan lebih baik jika ingin dibandingkan dengan Diablo III. Namun Diablo III mempunyai kelebihan dari segi grafik dan juga merupakan permainan yang lebih terbaru. Oleh disebabkan itu, Diablo II: Resurrected yang akan memberi nafas baharu kepada Diablo II akan mempunyai potensi untuk menjadi permainan Diablo terbaik dikeluarkan oleh Blizzard.

eFootball 2022

Konami | 30 September 2021 | PS, Xbox, PC

Konami telah membawa era baharu untuk permainan simulasi bola sepak mereka, apabila tidak lagi menggunakan nama Pro Evolution Soccer ataupun Winning Eleven, sebaliknya ia kini dikenali sebagai eFootball 2022. Selain itu, ia juga akan menjadi permainan percuma untuk dimainkan. Sedikit mengecewakan, ia akan dilancarkan terlebih dahulu dengan kandungan terhad seperti 9 pasukan sahaja yang boleh digunakan dan kandungan tambahan akan tiba kemudian.

Selain daripada 10 permainan yang kami senaraikan di atas, terdapat beberapa lagi permainan menarik yang akan dikeluarkan pada bulan ini. Antaranya Bravely Default II yang telahpun dikeluarkan untuk platform lain iaitu di PC selepas dikeluarkan untuk Switch pada awal tahun ini. Death Stranding pula akan menerima versi baharu iaitu Director’s Cut pada 24 September ini yang menyertakan pelbagai kandungan tambahan dan New World yang kami senaraikan permainan menarik untuk bulan lepas tetapi telah ditunda ke bulan ini.

Sohor Kini