505 Games telah mengumumkan pelancaran kemaskini terbaru untuk permainan aksi mereka Ghostrunner, ia menyertakan satu mod baharu dan juga pelbagai tetapan untuk mengurangkan kesukaran permainan ini.

Mod baharu yang disertakan adalah Wave Mode, yang membawa genre permainan roguelike di mana pemain akan melawan dengan gelombang penjahat yang akan tiba secara rawak. Di antara pusingan pemain boleh meningkatkan kebolehan serta tahap, dan apabila mati perlu memulakan semula sesi permainan.

Bagi pemain yang ingin menghabiskan permainan ini untuk mengetahui lanjut mengenai penceritaan, akan tetapi terasa ia terlalu sukar untuk dihabiskan, mereka juga menyertakan beberapa tetapan untuk mengurangkan kesukaran permainan. Tetapan yang disertakan adalah kebolehan boleh digunakan dengan lebih kerap, memperlahankan sesi permainan dan juga nyawa tambahan.

Mereka juga mengumumkan DLC kosmetik baharu iaitu Neon Pack boleh didapatkan dengan harga diskaun iaitu RM18 di PlayStation 4, Xbox One, PC. Di Switch ia akan tiba tidak lama lagi. Manakala versi khusus untuk PlayStation 5 dan Xbox Series akan tiba pada 28 September 2021.

Ghostrunner sudah dikeluarkan untuk PlayStation 4, Xbox One, Switch dan PC. Kami sebelum ini pernah mengeluarkan ulasan dan ia adalah antara permainan aksi terbaik dikeluarkan pada tahun lepas. Anda boleh baca ulasan penuh di pautan ini; Ulasan Ghostrunner – Permainan Aksi Parkour Ninja Cyberpunk Yang Sangat Mencabar.

Sohor Kini