Blizzard telah mengumumkan yang mod baharu untuk permainan kad digital mereka iaitu Hearthstone Mercenaries akan tiba pada 12 Oktober ini, seperti permainan asas ia adalah percuma tetapi menyertakan pembelian di dalam aplikasi untuk kandungan tambahan.

Menurut Blizzard, melalui Mercenaries mereka membawa permainan RPG dan Roguelike ke dalam Heartstone, di mana pemain boleh mengumpul pelbagai kad/watak yang mempunyai kelebihan tersendiri, dan kali ini ia tidak terhad kepada watak-watak daripada War of Warcraft sahaja tetapi juga dari permainan Blizzard yang lain antaranya adalah Diablo.

Mercenaries akan menyertakan sesi permainan secara PVE melalui Bounty, di mana sesi perlawanan secara rawak akan hadir setiap hari. Melakukannya akan memberikan pemain pelbagai ganjaran termasuk juga Mercenaries Packs iaitu pek kotak tikam baharu yang khusus untuk mod ini.

Bounty boleh dikatakan sebagai di mana mereka menyertakan elemen roguelike, dengan untuk membunuh satu boss, pemain perlu melalui terlebih dahulu pelbagai kawasan yang hadir secara rawak. Setiap kawasan akan mempunyai risiko dan ganjaran tersendiri.

Bagi sesi perlawanan pula, pemain boleh memilih tiga daripada 6 mercenaries yang di bawa di dalam satu dek. Setiap mercenaries akan mempunyai kelas tersendiri iaitu Fighter, Caster dan Protector, setiap-nya mempunyai kekuatan yang lebih atau kurang apabila melawan dengan kelas lain.

Sebelum Mercenaries dilancarkan secara rasmi pada bulan depan, pemain boleh melakukan pra-pembelian untuk beberapa berkas untuk menambah koleksi permulaan dengan lebih baik. The Diablo Mercenaries ditawarkan dengan harga $49.99 yang memberikan kad Diamond Diablo Mercenary bersama dengan 50 Pek Mercenaries.

Seterusnya adalah The Lich King Mercenaries juga dengan harga $49.99 yang akan memberikan kad Diamond Lich King bersama dengan 50 Pek Mercenaries. The Sylvanas Mercenaries pula akan memberikan kad Golden Sylvanas dengan 30 Pek Mercenaries, ia ditawarkan dengan harga $29.99.

Bagi pemain yang turut bermain World of Warcraft, dengan melakukan kesemua misi prologue dan juga bounty pertama di dalam Mercenaries, semua pemain akan diberikan Sarge sebagai mount.

Hearthstone sudah dikeluarkan untuk PC, iOS dan Android. Ia adalah permainan percuma dan menyertakan pembelian di dalam aplikasi.

Sohor Kini