Acara rentas-siri terakhir Arrowverse adalah pada tahun lepas melalui Crisis On Infinite Earth. Ia adalah antara episod siri TV DC The CW paling menarik dan paling gempak yang cuba memuaskan hati peminat dengan mengambil inspirasi daripada peristiwa yang lebih kurang sama daripada komik.

Ia juga adalah pengakhiran kepada siri TV Arrow dengan kematian Oliver Queen. Terkini, The CW sudah bersedia untuk satu lagi acara rentas-siri pada tahun ini yang digelar Armageddon. Ia akan mempunyai lima episod dan bermula dengan The Flash yang akan menyertakan Batwoman versi Javicia Leslie, The Atom asli oleh Brandon Routh, Black Lightning lakonan Cress Williams, Sentinel lakonan Chyler Leigh, Mia Queen lakonan Kat McNamara dan juga Ryan Choi lakonan Osric Chau.

Siaran di The CW akan bermula pada 17 November 9 pagi waktu Malaysia, pasukan adiwira ini akan menentang Eobard Thawne (Tom Cavanagh) dan juga Damien Darhk (Neal McDonough) serta menentang makhluk asing baharu. Masih tidak pasti sama ada adakah ia akan mengikut peristiwa komik dengan judul sama pada tahun 2001 – Armageddon.

Tetapi jika ia mengambil inspirasi daripada komik, sekali lagi konsep rentas-masa akan terlibat. Buat masa ini video acah dan sebarang informasi lain masih belum didedahkan lagi. Sama-sama kita nantikan.

Sohor Kini