Ketika acara pembukaan untuk Gamescom 2021 pada awal pagi tadi, Mihoyo telah berkongsi video bentuk permainan untuk watak Aloy di dalam permainan Genshin Impact. Anda boleh tonton video tersebut di bawah.

Seperti diumumkan sebelum ini, Aloy adalah watak 5 bintang yang akan diberikan kepada semua pemain yang telah mencapai Adventure Rank 20 secara percuma apabila kemaskini 2.1 tiba pada 1 September ini. Pemain di PS4 dan PS5 akan mendapatnya terlebih dahulu pada 1 September ini, manakala pemain di platform lain apabila kemaskini 2.2 dikeluarkan kelak.

Selain itu, Mihoyo juga mengumumkan pengajuran konsert digital iaitu Genshin Concert 2021 – Melodies of an Endless Journey bersempena dengan ulang tahun pertama bagi permainan tersebut. Konsert yang akan berlangsung pada 3 Oktober ini akan disertai oleh komposer asal permainan iaitu Yu-Peng Chen dan Hoyo-Mix. Ia boleh ditonton secara percuma.

Selain itu, Maestro Dirk Brosse dan Flanders Symphony Orchestra juga akan mempersembahkan muzik runut untuk Genshin Impact bersama dengan ramai lagi artis dari Amerika Syarikat, Korea Selatan dan lain-lain negara.

Genshin Impact sudah dikeluarkan untuk PlayStation 4, PlayStation 5, PC, iOS dan Android. Ia adalah permainan percuma dan menyertakan pembelian di dalam aplikasi.

Sohor Kini