Jika Giant Software sebelum ini mengumumkan penganjuran acara esukan untuk Farming Simulator, kami merasakan mana-mana permainan boleh menjadi satu permainan esukan dan kali ini ia adalah giliran Stardew Valley iaitu permainan simulasi berkebun dan juga sosial.

ConcernedApe ataupun nama sebenar beliau Eric Barone yang merupakan pencipta untuk Stardew Valley telah mengumumkan penganjuran Stardew Valley Cup dengan kerjasama bersama dengan Zach Hartman ataupun pencipta kandungan dengan nama UnsurpassableZ.

Kejohanan ini akan melibatkan empat pasukan yang terdiri daripada 4 pemain iaitu pencipta kandungan yang banyak memfokuskan kepada kandungan Stardew Valley. Mereka akan merebut hadiah terkumpul $40 ribu yang disediakan oleh ConcernedApe sendiri.

Di dalam kejohanan ini, setiap kumpulan akan mempunyai 3 jam untuk bermain dan cuba mendapatkan markah sebanyak mungkin. Markah akan diberikan berdasarkan aktiviti yang diselesaikan iaitu seperti berikut;

  • Menyiapkan bilik Craft – 10 markah
  • Memenangi ‘Ice Fishing Contest’ – 15 markah
  • Memberikan Pale Ale kepada Pam – 5 markah
  • Memberikan ‘Loved Gift’ ketika Winter Star – 25 markah
  • Mencapai Tahap 120 untuk mines – 10 markah
  • Menyelesaikan ‘Monster Eradication Goal’ – 20 markah
  • Mendapat Trash Hat – 10 markah

Selain itu, ketika kejohanan ConcernedApe dan UnsurpassableZ akan memberikan 5 cabaran rahsia yang setiapnya akan memberikan 50 markah jika diselesaikan.

Kejohanan ini akan di strim secara langsung di laman Twitch UnsurpassableZ pada 5 September 2021. Ia sudah semestinya satu idea yang menarik, buat masa ini ia hanyalah secara jemputan, namun jika ia adalah satu yang berjaya Stardew Valley mungkin akan menjadi permainan seterusnya menerima layanan esukan.

Stardew Valley sudah dikeluarkan untuk PlayStation 4, Xbox One, Switch, PC, iOS dan Android. Ia juga boleh dimainkan di PS5 dan Xbox Series melalui keserasian belakang.

Sohor Kini