Skip to main content

Marvel Future Revolution adalah satu lagi permainan mudah alih berdasarkan watak-watak Marvel. Kali ini, ia dibangunkan oleh Netmarble iaitu pembangun untuk Marvel Future Fight, Lineage 2: Revolution dan BTS World.

Di dalam permainan ini, pelbagai dunia daripada jalur masa telah menghampiri satu sama lain yang mengakibatkan convergence, ia sepatutnya akan memusnahkan semua dunia, akan tetapi Vision berjaya menghasilkan Convergence Engine yang berbanding menghancurkan dunia, ia membuatkan dunia-dunia ini bergabung.

Walaupun ia satu kejayaan mengelak malapetaka, akan tetapi ia juga telah membuatkan penjahat dan adiwira daripada pelbagai jalur masa lain berada di satu tempat, membawa perkara baik dan juga buruk mengenainya.

Permainan ini akan dilancarkan secara global pada 25 Ogos ini, dan sejak beberapa minggu lepas kami sudah berpeluang untuk mencuba terlebih dahulu Marvel Future Revolution dan berikut adalah pandang pertama kami.

Dunia Terbuka Marvel

Marvel Future Revolution antara tarikan utama adalah merupakan satu permainan MMO dan menawarkan dunia terbuka, pada awal permainan pemain boleh memilih satu daripada 8 adiwira Marvel iaitu Captain America, Captain Marvel, Spider-Man, Black Widow, Iron Man, Doctor Strange, Star Lord dan Storm.

Pemain boleh menukar adiwira yang digunakan pada bila-bila masa, akan tetapi pada awalnya dia adalah terhad kepada 4 adiwira, slot tambahan perlu dinyah-kunci dengan bermain ataupun membeli dengan wang ringgit.

Selain berada di HQ, pemain juga boleh mengakses pelbagai kawasan yang akan mempunyai penjahat sertai misi tersendiri. Misi-misi ini biasanya akan memerlukan pemain untuk mengumpul barangan tertentu, dan barangan ini hanya diperoleh dengan melawan penjahat yang membawanya.

Walaupun ia menyertakan penceritaan akan tetapi biasanya ia tidak menarik yang menyebabkan ia mungkin perkara yang agak menyusahkan akan tetapi sebagai satu permainan mudah alih, Future Revolution mempunyai fungsi “Auto”, di mana anda boleh meninggalkan permainan ini terpasang, dan membiarkan adiwira anda bertempur tanpa memerlukan sebarang input daripada anda.

Ini termasuk juga untuk melakukan misi, akan tetapi ada masa ia memerlukan sedikit input terutama apabila misi tersebut sudah selesai.Ia memudahkan walaupun terasa agak ‘murah’, bagi yang sudah biasa dengan permainan gacha, Idle Farming adalah sesuatu yang sudah menjadi kebiasaan.

Misi utama juga adalah perkara yang sama akan tetapi ia mempunyai penceritaan yang lebih baik dan biasanya akan berakhir dengan pertempuran dengan boss yang lebih mencabar dan menarik. Jika anda mahu, ia juga boleh dilakukan secara auto.

Masalah utama dengan permainan ini bagi saya adalah bagaimana misi-misi ini terasa janggal untuk dilakukan oleh satu adiwira yang sudah berpengalaman, watak pemain bagaikan dilayan sebagai adiwira kelas bawahan. Ini juga menjadikan penceritaan sedikit aneh.

Menjadikan Watak Lebih Berkuasa

Fokus utama permainan ini adalah meningkatkan Tahap dan Power, Power bergantung kepada tahap watak tersebut, dan juga kostum serta Battle Badge yang digunakan. Sesetengah kawasan terutama apabila bertempur dengan boss penjahat akan mempunyai tahap Power tertentu.

Oleh itu, untuk meneruskan penceritaan ataupun untuk maju di dalam permainan ini pemain perlu meningkatkan Power dengan melakukan misi utama serta misi sampingan, mendapatkan kostum yang lebih berkuasa dan juga Battle Badge.

Marvel Future Revolution menyertakan pelbagai cara untuk meningkatkan power, cara paling mudah adalah dengan meningkatkan tahap adiwira tersebut, ia boleh dilakukan dengan bertempur dengan penjahat yang sedang berada di mana-mana bandar.

Manakala untuk kostum, pemain boleh mendapatkannya dengan melakukan misi ataupun dengan crafting, ia juga boleh dipertingkatkan tahap dengan menukar kostum-kostum yang tidak diinginkan. Bagi mendapat material untuk crafting ini, anda perlu bertempur dan ia kembali kepada “Idle Farming” yang saya nyatakan di atas.

Kostum ini juga akan mengubah pemakaian watak adiwira anda, jika mempunyai kostum yang tahap tinggi tetapi tidak suka dengan rekaan, pemain boleh menggunakan rekaan lain tanpa mengubah kelebihan yang dibawa oleh kostum tahap tinggi tadi.

Terdapat pelbagai lagi cara untuk meningkatkan power, seperti mempertingkatkan tahap Squad yang akan membawa kelebihannya kepada mana-mana watak adiwira yang digunakan. Selain itu, ada Omega Card, iaitu collectible yang boleh dicari dan akan memberi kuasa tambahan, terutama jika mempunyai kesemua kad di dalam satu set.

Oleh itu, sepanjang saya bermain permainan ini, kebanyakan masa adalah melakukan pelbagai misi serta pertempuran untuk meningkatkan Power ini agar mendapat akses kepada penceritaan seterusnya dan juga untuk bermain di pelbagai mod lain.

Pelbagai Mod Disediakan

Selain untuk maju di dalam penceritaan, meningkatkan tahap watak juga akan membantu untuk melakukan pelbagai mod lain di dalam permainan ini, antara mod yang disediakan adalah “Operations” yang memfokuskan kepada sesi multi-pemain dengan konsep PvE, antara yang disertakan adalah Blitz iaitu satu pasukan sehingga 4 pemain melawan dengan Boss Penjahat dan juga Raid.

Ia juga menyertakan mod PvP seperti Omega War jika ingin bertempur secara berkumpulan ataupun Dimensional Duel jika ingin bertempur 1v1 ataupun 2v2. Mod-mod ini sudah semestinya akan memberi sebab untuk pemain meluangkan masa untuk meningkatkan power. Namun dengan anda boleh melakukan pembelian untuk meningkat Power dengan cepat, PvP mungkin tidak menarik pada awalnya.

Mod-mod ini menarik ataupun tidak juga bergantung kepada sistem pertempuran yang disediakan, bagi saya ia adalah baik dengan pelbagai kebolehan yang mempunyai kegunaan berlainan bergantung kepada situasi. Kawalan mungkin sedikit sukar pada awalnya terutama kerana semuanya berada di skrin yang membuatkan sukar untuk melihat apa yang sedang berlaku.

Terdapat lima slot untuk kebolehan dan satu kebolehan Ultimate, pemain boleh dapatkan kebolehan lain akan tetapi ia terhad kepada lima sahaja pada satui masa. Selain itu terdapat juga pergerakan biasa yang lain seperti mengelak, melompat dan bergantung kepada adiwira, termasuk juga terbang.

Grafik Yang Baik Untuk Telefon Spesifikasi Tinggi

Marvel Future Revolution mempunyai rekaan grafik yang baik terutama jika anda menggunakan telefon dengan spesifikasi tinggi. Semasa saya bermainnya di iPhone 12, berdasarkan tetapan yang dicadangkan adalah Graphic Quality High dan Frame Rate medium.

Walaupun kedua-dua tetapan tersebut sudah cukup baik akan tetapi saya boleh meningkatkannya kepada Very High dan High tanpa sebarang masalah, namun kedua-dua tetapan ini akan membuatkan telefon panas dan ia juga mempunyai penggunaan bateri yang tinggi.

Rekaan watak adalah baik terutama kepelbagai kostum yang disertakan, rekaan kawasan juga pelbagai dan dipenuhi dengan pelbagai rekaan lain. Ia adalah kawasan yang menarik untuk diluangkan masa.

Namun, berbeza pula dengan rekaan wajah, selain daripada hero rekaan-rekaan NPC terasa lebih kurang, walaupun mempunyai nama yang berbeza, wajah mereka adalah sama sahaja. Ini serba sedikit mencacatkan pengalaman bermain.

Oleh kerana semasa melakukan misi sampingan, saya membuat auto sahaja, oleh itu ia tidak menjadi masalah yang ketara akan tetapi lebih baik jika mereka meluangkan lebih masa untuk menghasilkan watak NPC dengan lebih pelbagai.

Semasa pertempuran juga setiap aksi dilakukan dengan baik, pemain boleh memilih tiga tetapan kamera yang akan mengubah kejauhan daripada watak pemain. Saya menyukai tetapan pertama kerana ia lebih dekat, akan tetapi ada masa menggunakan tetapan ketiga untuk dapat melihat lebih banyak kawasan terutama semasa pertempuran yang melibatkan ramai penjahat.

Kesimpulan

Marvel Future Revolution adalah permainan yang baik, akan tetapi dengan sistem peningkatan tahap serta Power yang sedikit rumit, ia mungkin akan menjadi sukar untuk pemain yang lebih kasual yang sekadar ingin mencuba.

Jika mereka sekadar ingin melakukan penceritaan, ia juga sedikit mengecewakan kerana setakat yang saya main, ia tidak membawa penceritaan yang terlalu mendalam dan watak-watak adiwira juga terasa sangat kaku.

Namun, dengan rekaan grafik yang baik serta berpeluang untuk mencuba pelbagai jenis adiwira ia sudah semestinya satu permainan yang menarik tambah lagi jika anda seorang yang gemarkan permainan yang memerlukan ketelitian untuk meningkatkan tahap, yang memerlukan grinding, terutama dengan disertakan idle grinding.

Marvel Future Revolution akan dikeluarkan pada 25 Ogos 2021 untuk iOS dan Android. Ia adalah permainan percuma dan menyertakan pembelian di dalam aplikasi.

Penafian: Akses awal untuk permainan ini disediakan oleh Marvel dan Netmarble.

Leave a Reply