Genshin Impact melalui kemaskini 2.0 yang dikeluarkan pada bulan Julai lepas telah menerima penambahan kandungan terbesar setakat ini, terutama dengan hadirnya Inazuma iaitu bandar baharu yang disertakan menyertai Mondstadt dan Liyue Harbor.

Bagi menambah lagi kandungan baharu, Mihoyo hari ini telah mengumumkan yang kemaskini 2.1 akan dikeluarkan pada 1 September 2021. Ia antaranya akan menyertakan penceritaan, pulau dan juga watak baharu.

Anda boleh tonton video pengumuman di bawah.

Kemaskini 2.1 ini akan menyertakan penceritaan baharu yang akan menyambung serta menjadi penamat kepada penceritaan yang disertakan melalui kemaskini 2.0 iaitu mengenai Traveler, Raiden Shogun dan juga penduduk Inazuma.

Sepanjang penceritaan tersebut, pemain juga dapat mengakses dua pulau baharu di Inazuma, iaitu Pulau Watatsumi yang merupakan tempat utama penentang Raiden Shogun, dan juga Pulau Seirai yang dikelilingi dengan ribut.

Tiga Bos Penjahat baharu juga disertakan iaitu Hydro Hypostasis, Thunder Manifestation dan juga bos untuk Trounce Domain kelima iaitu Singora yang akan memberikan barangan untuk pemain meningkatkan tahap watak.

Bercakap mengenai watak, tiga watak baharu juga akan disertakan sepanjang kemaskini 2.1 ini iaitu Raiden Shogun yang merupakan watak 5 bintang, dan dia merupakan pengguna polearm dan mempunyai kuasa Electro.

Seterusnya adalah Sangonomiya Kokomi yang juga merupakan watak 5 bintang yang menggunakan catalyst dengan kuasa Hydro, yang tampaknya merupakan watak penyokong. Akhir sekali adalah Kujou Sara iaitu pengguna panah dengan kuasa Electro, dia merupakan watak 4 bintang.

Kandungan baharu juga tidak akan memfokuskan Inazuma sahaja, Genshin Impact juga akan menerima Moonchase Festival yang akan berlaku di Liyue Harbor. Ketika acara ini, pemain akan berjumpa dengan Keqing dan Xianglin untuk merasa pelbagai masakan dan juga menyediakan masakan tersendiri.

Pemain juga berpeluang untuk mendapat pelbagai ganjaran melalui acara Moonlight Seeker yang akan memerlukan pemain untuk mencari harta karun di Liyue, Mondstadt dan juga Dragonspine.

Genshin Impact tampaknya juga akan menerima fungsi memancing dengan hadirnya Fishing Association, selain memancing untuk mendapatkan bahan masakan, ikan-ikan tersebut juga boleh ditukar untuk mendapat ganjaran termasuk juga joran baharu.

Untuk Serenitea Pot, binaan baharu dipekenalkan iaitu Pool of Sapphire Grace yang membolehkan pemain untuk membela Ornamental Fish.

Seperti diumumkan pada bulan lepas, Aloy iaitu watak dari permainan Horizon Zero Dawn akan disertakan secara percuma sebagai watak 5 bintang, yang menggunakan panah dan mempunyai kuasa Cryo. Bagi kemaskini 2.1, Aloy hanya boleh didapati melalui konsol PlayStation, tetapi selepas ditebus dia boleh digunakan di mana-mana platform.

Jika anda tidak memiliki konsol PlayStation, Aloy akan tiba untuk semua platform apabila kemaskini 2.2 dikeluarkan kelak yang dijangka tiba pada bulan November. Pemain perlu mempunyai Adventure Rank 20 untuk mendapatkan watak Aloy.

Genshin Impact sudah dikeluarkan untuk PlayStation 4, PlayStation 5, PC, iOS dan Android. Ia adalah permainan percuma dan menyertakan pembelian di dalam aplikasi.

Sohor Kini