Ubisoft telah mengumumkan yang musim ketiga untuk tahun enam iaitu Crystal Guard bagi Tom Clancy’s Rainbow Six Siege akan menyertakan operator baharu iaitu Osa bersama dengan perubahan untuk peta Coastline, Bank dan Clubhouse.

Osa akan menjadi Operator yang ke-61 disertakan di dalam permainan ini, beliau merupakan Attacker yang menggunakan Talon-8 Clear Shield iaitu perisai lutsinar kalis peliru yang boleh dipasang di mana-mana tempat termasuk juga di pintu dan tingkap.

Beliau juga boleh membawa perisai tersebut akan tetapi tidak dapat menggunakan senjata, lari ataupun tunduk semasa perisai di tangan. Osa mempunyai kelajuan dan juga ketahanan yang sederhana dan menggunakan 556 XI atau PDW9 sebagai senjata utama dan PMM sebagai senjata kedua.

Selain daripada itu, peta Bank, Coastline dan Clubhouse juga akan diubah suai untuk memberikan keseimbangan, kemusnahan persekitaran, penyebaran bunyi dan juga pencahayaan yang lebih baik. Ia juga menerima keseimbangan yang lain terutama untuk Operator Twitch, IQ, Fuze dan Mute.

Crystal Guard akan disertakan di dalam pelayan percubaan pada 17 Ogos dan Osa boleh digunakan bermula pada 18 Ogos. Ia juga akan menerima kostum Leon S. Kennedy dari siri permainan Resident Evil.

Tom Clancy’s Rainbow Six Siege sudah dikeluarkan untuk PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series dan PC. Rainbow Six Operation League Musim Keempat akan bermula tidak lama lagi dan pendaftaran dibuka sehingga 5 September.

Sohor Kini