PlayStation Store dan juga aplikasi untuk PlayStation tampaknya telah berkongsi, berkemungkinan secara tidak sengaja, tarikh pengumuman untuk Call of Duty: Vanguard iaitu permainan baharu bagi siri oleh Activision ini.
Melalui perkongsian oleh akaun Twitter CharlieIntel – Call of Duty News, Call of Duty Vanguard akan diumumkan pada 20 Ogos 2021, pukul 1.30 pagi melalui Call of Duty: Warzone iaitu sepertimana pengumuman siri Call of Duty sebelum ini.

Seperti kami laporkan sebelum ini, Call of Duty Vanguard dijangka akan dilancarkan pada bulan November tahun ini, dan ia memfokuskan kepada Perang Dunia Ke-2. Ia juga dikatakan akan terus menyertakan kempen penceritaan.
Selain itu, Activision juga ingin mempunyai integrasi kandungan yang lebih baik dengan permainan Call of Duty: Warzone, antaranya adalah peta Warzone akan ditukar untuk menggunakan tema Perang Dunia Ke-2 sepertimana Vanguard.
Activision juga telah mengesahkan yang mereka sedang membangun permainan mudah alih yang dikatakan sebagai Call of Duty Warzone Mobile.
Call of Duty Vanguard dijangka akan dikeluarkan untuk PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series dan PC pada bulan November ini.